KOTA BHARU - Sama ada juara Piala FA Terengganu atau Negeri Sembilan, itulah pasukan yang akan ditentang oleh juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan dalam saingan suku akhir yang dijadualkan berlangsung 5 Oktober ini.
Berdepan kedua-duanya, The Red Warriors tidak mempunyai pilihan selain mencatatkan kemenangan sekiranya enggan terlepas kejuaraan musim lalu.
Bagi ketua jurulatih, Datuk M. Karathu, beliau tidak mempunyai masalah sama ada berdepan Terengganu atau Negeri Sembilan yang merupakan naib juara Piala Malaysia edisi lalu.
"Kita tidak memilih pasukan mana yang akan ditentang dalam perlawanan suku akhir nanti. Kekuatan kedua-dua pasukan agak seimbang dan kemampuan mereka tidak boleh diambil mudah," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mengulas pertemuan dengan Felda United dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Sultan Muhammed IV malam ini, jurulatih yang kaya pengalaman itu mengakui akan membuat sedikit rombakan dalam senarai kesebelasan utama.
Menurutnya, rombakan tersebut terpaksa dibuat selepas beberapa pemain mengumpul dua kad kuning dalam perlawanan terdahulu antaranya tonggak pertahanan Mohd. Daudsu Jamaluddin dan pemain sayap lincah Nurul Azuwan Roya.
"Kedua-dua pemain ini terpaksa direhatkan untuk mengelak daripada mengumpul kad kuning dalam perlawanan malam esok (malam ini). Sekiranya diturunkan dan mendapat kad kuning mereka berkemungkinan akan terlepas perlawanan peringkat suku akhir nanti.
"Saya tidak mahu mengambil risiko kehilangan mereka dalam perlawanan suku nanti kerana ia cukup penting buat Kelantan. Begitupun saya akan turunkan barisan terbaik dalam perlawanan malam esok (malam ini) dan memastikan tiga mata menjadi milik Red Warriors," ujarnya.
Karathu memberitahu, kekosongan yang ditinggalkan pemain tersebut membuka peluang kepada pemain simpanan untuk membuktikan kemampuan mereka sekali gus kembali dalam senarai kesebelasan utama.
"Saya harap para pemain simpanan dapat menggunakan peluang tersebut untuk membuktikan sesuatu buat pasukan. Saya yakin dan percaya pemain simpanan mampu menggalas tugas tersebut. Sekiranya mempamerkan rentak cemerlang, mereka berkemungkinan besar akan mendapat peluang beraksi dalam saingan suku akhir nanti," jelasnya.
Dalam pada itu, Karathu berkata, Kelantan terpaksa melupakan khidmat penjaga gol nombor satu kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat yang terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan ketika bertemu Johor FC minggu lalu.
Malah, juara bertahan itu dikhabarkan bakal kehilangan pemain lincahnya iaitu S. Chanturu yang dikhabarkan turut mengalami kecederaan.
0 komen:
Post a Comment