(19 Ramadhan 1432 / 19 Ogos 2011)
KHUTBAH JUMAAT NUZUL QURAN 1432H
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ
الْقَائِلِ،
الٓمٓ ﴿١﴾ ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا
رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًۭى لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٢﴾
أَشْهَدُ أَنْ لَّآإِلهَ
إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ,
وَرَسُوْلُهُ
اَللَّهُمَّ صَلِّ
وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ
الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !
اتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَاتَمُوْتُنَّ
إِلَّا وَأَنْتُمْ
مُّسْلِمُوْنَ
Sidang Jumaat yang
dirahmati Allah !
Bertaqwalah
sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati
melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga
sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama
meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah
dengan melakukan segala suruhanNya dan
menjauhi segala yang ditegahNya.
Hadirin yang dirahmati Allah,
17 Ramadhan merupakan suatu tarikh yang
amat bermakna kepada orang yang beriman iaitu Nuzul Al-Quran atau penurunan al-Quran,
Kalam Allah s.w.t. yang berupa mukjizat, yang diturunkan melalui perantaraan
malaikat Jibrail a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang dikira sebagai ibadat
dengan membacanya, bermula dari Surah Al-Fatihah dan berakhir dengan Surah
An-Nas.
Sidang Jumaat Sekelian,
Penurunan Al-Quran
secara sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia, berlaku pada
17 Ramadhan. Al-Quran seterusnya diturunkan secara berperingkat kepada
Rasulullah s.a.w. mengikut ketetapan dan perintah Allah dalam jangka masa lebih
kurang 23 tahun. Firman Allah s.w.t.:
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ
فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ
وَٱلْفُرْقَانِ
Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjadi pembeda antara haq dan batil” - Surah al Baqarah ayat 185.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Berapa
ramai di kalangan umat Islam yang benar-benar menyedari bahawa al-Quran adalah
merupakan mukjizat yang paling besar diberikan oleh Allah kepada manusia.
Kehebatan bahasanya, keindahan ayatnya dan keunggulan isi kandungannya
menjadikan al-Quran tidak mampu ditandingi oleh mana-mana kitab lain. Cabaran
Allah terhadap manusia dari zaman berzaman tidak pernah disahut sehingga ke
hari ini.
وَإِن كُنتُمْ فِى رَيْبٍۢ مِّمَّا
نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا۟ بِسُورَةٍۢ مِّن مِّثْلِهِۦ وَٱدْعُوا۟
شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ ﴿٢٣﴾
Sekiranya kamu merasa ragu tentang apa yang kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka datangkanlah satu surah yang setanding dengannya serta ajaklah saksi-saksi kamu (tuhan-tuhan yang kamu sembah) selain daripada Allah jika kamu orang yang benar - Surah al Baqarah : 23.
Saudara Sidang
Jumaat yang dimuliakan,
Al-Quran
telah terbukti berjaya membentuk para sahabat menjadi generasi al-Quran yang
unik ( جِيْلُ الْقُرْآنِ الْفَرِيْد ) di bawah pentarbiahan secara langsung
oleh Rasulullah saw. Generasi ini telah membawa panji-panji kebenaran Islam sehingga
dikecapi oleh umat manusia sejagat. Generasi ini berjaya membebaskan manusia
daripada perhambaan sesama makhluk kepada pengabdian sepenuhnya kepada Allah.
Generasi ini telah berjaya mengeluarkan segala bentuk penindasan dan kezaliman
sistem ciptaan manusia kepada keadilan Islam. Kehebatan umat Islam yang
berpegang teguh kepada Al-Quran telah diakui oleh Perdana Menteri Britain yang
pertama sebagaimana ungkapannya:
“Selama mana kitab
ini (Al-Quran) berada di tangan orang Islam, maka selama itulah Eropah tidak akan
dapat menguasai Timur Tengah”
Sidang
Jumaat yang dihormati sekalian,
Umat Islam bagaikan anak ayam kehilangan
ibu apabila hilangnya sistem khilafah. Umat Islam bagaikan kehilangan tempat
mengadu segala masalah yang kita hadapi. Kita hanya mampu merayu kepada musuh agar
tidak menzalimi kita kerana kita tidak dapat mengharapkan bantuan daripada negara-negara
umat Islam yang lemah dan berpecah belah. Kekuatan umat Islam tidak akan dapat
dikembalikan selama mana kita tidak menjadikan al-Quran sebagai perlembagaan
hidup kita.
Hadirin
yang dirahmati Allah,
Kesalahan besar yang dilakukan oleh Umat
Islam hari ini yang menyebabkan mereka gagal menjadi manusia yang hebat dan bertaqwa
adalah kerana kita meninggalkan Al-Quran samada secara sedar atau tidak sedar. Imam
Ibnu Katsir menjelaskan maksud meninggalkan Quran sebagai berikut :
a.
Tidak membaca Al-Quran dan tidak mahu
mendengarkannya.
b.
Tidak beriman dengan ajaran Al-Quran.
c.
Tidak mengkaji dan memahami Al-Quran.
d.
Tidak membenarkan isi kandungan Al-Quran.
e.
Tidak mengamalkan ajaran Al-Quran.
f.
Berpaling daripada Al-Quran kepada yang
lain
Muslimin
yang dirahmati Allah,
Kita selalu mengatakan kita berpegang
teguh dan tidak meninggalkan al-Quran. Kita sering mendengar ungkapan mengajak
manusia kembali kepada al-Quran. Namun kita masih melihat berbagai tindakan
kita yang bercanggah dengan al-Quran. Kita seringkali memutuskan sesuatu dan
kemudiannya mencari dalil keharusannya di dalam al-Quran. Dalam urusan
kehidupan seharian selain persoalan ibadat, kita sering kali tidak bertanya apa
kata al-Quran seolah-olahnya urusan kehidupan tidak ada kena mengena dengan
al-Quran. Kita mengatakan bahawa isi kandungan al-Quran adalah yang terbaik
tetapi kita masih memilih untuk melaksanakan peraturan yang bercanggah dengan
al-Quran.
Hadirin
yang dirahmati Allah,
Bulan Ramadhan inilah peluang yang
terbaik bagi kita untuk mengelakkan kita daripada tergolong dalam kalangan
mereka yang meninggalkan Al-Quran. Apa
yang penting kita mesti memastikan adanya peningkatan di setiap Ramadhan yang
kita lalui dan yang kita tinggalkan. Daripada hanya mendengar bacaan Al-Quran
kepada membacanya dengan penuh keimanan. Daripada membaca kepada mengkaji dan
memahami. Daripada memahami kepada membenarkannya. Daripada membenarkannya
kepada mengamalkannya dan mengutamakannya daripada segala yang lain
daripadanya. Jika kita masih masih memandang serong apatah lagi menentang
ajaran al-Quran maka Ramadhan sebenarnya memang bukan untuk kita, maka
bersedialah kita untuk menerima pembalasan dari Allah swt.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ, وَنفَعَنِىْ
وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ
مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ
قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ
الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا
فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
0 komen:
Post a Comment