KOTA BHARU – UMNO didakwa menyalahgunakan populariti pasukan bola sepak The Red Warriors semata-mata untuk meraih sokongan golongan muda kepada UMNO.
Ketua Pemuda Pas Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, pihaknya juga kesal dengan sikap Presiden Kafa yang mempolitikkan TRW selama ini dan kesal dengan tawaran pembinaan stadium oleh Perdana Menteri.
“Kami menggesa supaya membersihkan TRW dari politik UMNO dan jangan sekali-kali cuba menggunakan pasukan bola sepak itu untuk politik peribadi bagi meraih simpati Perdana Menteri.
“Pemuda Pas juga kesal dengan tindakan menyalahgunakan TRW bagi meraih sokongan anak muda kepada UMNO sedangkan bukan semua penyokong bola sepak menyokong UMNO berdasarkan suasana di stadium setiap kali perlawanan,” katanya kepada :Sinar Harian:, semalam.
Menurutnya, suasana dalam stadium itu menunjukkan secara jelas penonton adalah penyokong Pas walaupun ada usaha setengah pemimpin UMNO yang menyerahkan bendera parti mereka ketika membuat pelepasan penyokong TRW.
Selain itu, pihaknya juga kesal dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang membuat tawaran membina stadium dengan syarat Pas tumbang di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
“Alhamdulillah stadium di Terengganu sebenarnya yang tumbang bukannya Pas Kelantan. Oleh itu kami mengecam sekeras-kerasnya sikap yang ditunjukkan seorang Perdana Menteri dalam sebuah negara demokrasi yang terus mengamalkan sikap :double standard.:
“Beliau terus membuat tekanan politik ke atas Kerajaan Negeri yang dipilih secara sah oleh rakyat dalam keadaan Kelantan dinafikan hak royalti,” katanya.
Abdul Latiff berkata, pihaknya yakin sekiranya royalti petroleum dibayar kepada Kerajaan Negeri bukan saja sebuah stadium serba canggih yang mampu dibina bahkan setiap kawasan parlimen boleh dibina sebuah Kompleks Sukan yang lengkap.
Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang itu menegaskan pihaknya yakin rakyat Kelantan tidak akan menukar sebuah stadium dengan pemerintahan berasaskan Islam yang dipraktikkan Pas selama ini.
0 komen:
Post a Comment