PERSIAPAN rapi yang dimiliki skuad Harimau Malaya termasuk dua perlawanan menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Liverpool minggu lalu mencetuskan rasa iri hati buat Singapura yang bakal ditentang pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, Sabtu ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Zainudin Nordin, berkata Malaysia mempunyai kelebihan dari segi persiapan berbanding pasukannya yang dikendalikan jurulatih dari Serbia, Radojko Avramovic.
“Saya kagum dengan kemampuan pihak persatuan (Persatuan Bola Sepak Malaysia) mengatur perlawanan yang bagus untuk pasukan kebangsaan mereka. Secara jujurnya saya iri hati tapi kami tetap melakukan persiapan sebaik mungkin walaupun dengan kekangan dihadapi.
“Persiapan menerusi perlawanan antarabangsa dengan kelab ternama sememangnya akan memberi kelebihan kepada Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis menandatangani kerjasama dengan FAM dan FAS baru-baru ini.
Singapura yang menghuni ranking ke-142 dunia tidak beraksi pada pusingan pertama kerana mendapat bye dan diundi bertemu anak buah Datuk K Rajagobal yang melepasi halangan awal ke atas Taiwan menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas agregat terikat 4-4.
Ternyata pertembungan dengan negara berjiran ini bakal mendapat tumpuan dengan rekod pertemuan kedua-dua pasukan tampak seimbang dalam tiga perlawanan kempen kelayakan Piala Dunia sejak 1989.
Malah pada pertemuan terakhir dalam aksi persahabatan di Stadium Bandaraya Petaling Jaya pada 2008 pula berkesudahan seri 2-2.
Bagaimanapun, Zainudin menyifatkan pasukan Singa bakal berdepan tugas getir menentang juara Asia Tenggara, Harimau Malaya.
“Pasukan kebangsaan kami akan berdepan cabaran sukar, kami sedar Malaysia adalah juara bertahan Piala AFF dan kini berada di puncak prestasi. Kami tahu kualiti pemain yang mereka miliki dan jika kami mahu memberikan tentangan sengit kepada Malaysia, kami harus melakukan persiapan rapi.
“Pasukan Singapura adalah skuad baru dibentuk, anda pasti tahu yang kami memutuskan untuk membentuk pasukan baru untuk masa depan. Kami percaya jika kami berkerja keras dan membuat persediaan rapi pasti kami akan dapat memberikan saingan dalam kejohanan ini,” katanya.
Singapura menumpaskan Taiwan 3-2 dalam aksi persahabatan kelmarin manakala Malaysia berpeluang menguji pemain ketika tewas 4-0 dan 6-3 kepada Arsenal dan Liverpool, minggu lalu.
Selepas aksi di Stadium Jalan Besar Sabtu ini, kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai bagi aksi kedua untuk merebut tempat dalam saingan peringkat kumpulan kelayakan Piala Dunia 2014.
0 komen:
Post a Comment