KOTA BHARU – Gol penyamaan Joko Sasongko minit-minit akhir perlawanan menyelamatkan maruah kelab Pelita Jaya daripada diaibkan juara Liga Super yang baru, Kelantan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam semalam.
Dalam perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 yang menyaksikan kedua gol dijaringkan pada babak kedua.
Tanpa lima pemain tonggak yang bersama skuad kebangsaan, Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mempertaruhkan barisan pemain simpanan dengan penampilan pemain jemputan, Jocip Bonasin yang turut beraksi cemerlang di posisi pertahanan.
Seawal minit kesebelas, pintu gol Pelita Jaya hampir dibolosi menerusi sepakan percuma Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi setelah penjaga golnya, Ali Barkah gagal menangkap kemas, sementara rembatan susulan Mohd Nurul Azwan Roya selepas itu dihadang benteng pertahanan pasukan pelawat.
Pemain pertahanan, Jocip seharusnya meletakkan Kelantan berada di depan pada m-33, namun tolakannya terkena jaring sisi sebelah kanan pintu gol Pelita Jaya biarpun Ali Barkah sudah pun tertewas di posisinya.
Begitu pun, pemain sayap, Mohd Izuan Salahuddin menamatkan keresahan hampir 22,000 penyokong setia TRW apabila menjaringkan gol pendahuluan Kelantan pada m-72.
Berpunca lorongan cantik Muhd Badhri, Mohd Izuan bijak melepasi perangkap ofsaid dan mengelecek Ali Barkah sebelum merembat kencang untuk gol Kelantan.
Bagaimanapun, kelekaan benteng pertahanan Kelantan pada penghujung perlawanan, akhirnya mengundang padah apabila Joko Sasongko yang tidak dikawal, mudah merembat kencang dalam kotak penalti untuk gol penyamaan pasukannya.
Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN: Norhadi Ubaidilah, Mohd Daudsu Jamaluddin (S Subramaniam), Wan Rohaimi Wan Ismail, Jocip Bonasin, Mohamad Ab Aziz Ismail, Khairan Eruan Razali (Zul Yusri Che Harun), Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Izuan Salahuddin (Wan Zaman Wan Mustapha), Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Daniel Fadzly Abdullah) dan Mohd Nizab Ayub.
PELITA JAYA FC: Ali Barkah (Kadek Wardana), Gilang Ginarsa (Ipan Priyanto), Edi Hafid, Ruben Karel Sanadi (Tri Rahmad Priadi), Magdis Faris (Andesi Prabowo), Egi Melgiansyah (KP), Joko Sasongko, Dedi Kusiyambar, Mustopha Aji (Riyandi Ramadana Putra), Abdul Rahman dan Engel Berd Sani (Apriansyah).
0 komen:
Post a Comment