Tuesday, July 19, 2011

Pelaburan Wajib Bola Sepak

KOTA BHARU - Klinik Bola Sepak 1Malaysia Cardiff City-Cardiff City Football Club (1MCC-CCFC) bersama jurulatih dan pelatih Akademi Bola Sepak Al-Hamra Red Warriors (ARMY) yang julung kali diadakan di Kota Bharu disifatkan berjaya mencapai matlamat penganjurannya. 


Klinik bola sepak selama sehari itu dikendalikan sepenuhnya tujuh jurulatih CCFC diketuai Ketua Pembangunan Bola Sepak 1MCC-CCFC, Kevin Cooper dan dibantu Scott Young yang memiliki Lesen Kejurulatihan Kelas A daripada Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA). 

Ketua Pegawai Eksekutif ARMY, B Sathianathan mendedahkan betapa manfaat jangka panjang hasil program tersebut bakal memberi impak cukup baik terhadap pembangunan bola sepak remaja di negeri ini. 

“Jika kita mahu melahirkan pemain muda berbakat, kita juga memerlukan jurulatih bagus. Ini merupakan satu pelaburan wajib apabila kita bercakap mengenai pembangunan bola sepak remaja,” katanya. 

Menurutnya, kita mahu melahirkan lebih ramai jurulatih dan pemain muda berbakat di negeri ini, seperti Tengku Hazman (Raja Hassan), seorang bekas pemain kebangsaan dan beraksi dengan banyak pasukan dalam Liga Malaysia. 

“Dari dia pergi ke tempat lain, lebih baik kita bentuk dia menjadi jurulatih bagi melahirkan pemain-pemain muda pada masa akan datang,” katanya. 

Mengenai kesudian jurulatih CCFC, beliau berkata, ia merupakan sejarah baru bagi bola sepak Kelantan memandangkan tiada sebarang bayaran dikenakan mereka. 

“Kita jemput dan mereka datang, saya fikir ini satu program yang cukup bermanfaat,” katanya. 

Mengulas sambutan pelatih ARMY terhadap klinik bola sepak ini, Sathianathan ternyata berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan semua pelatihnya walaupun sempat ‘berguru’ dua jam sahaja dalam program tersebut. 

“Macam hari ini, walau hanya 207 daripada jumlah keseluruhan 305 pelatih ARMY yang datang, namun itu angka yang baik. Kita tidak sediakan pengangkutan tetapi mereka ambil inisiatif sendiri datang dengan ibu-bapa. 

“Mereka nampak seronok apabila mendapat bimbingan jurulatih luar. Kalau seorang jurulatih turunkan ilmu mungkin mereka andaikan jurulatih cakap tidak betul tapi ini ramai jurulatih datang. Mereka kena terima ilmu diajar ini,” katanya. 

Sementara itu, Kevin Cooper dalam sidang media sama melahirkan rasa gembira kerana dapat memberi bimbingan kepada jurulatih dan pelatih ARMY negeri ini sendiri.

0 komen:

Post a Comment