Wednesday, July 6, 2011

Kereta, Van Tembung 2 Maut

KOTA BHARU - Dua maut manakala seorang lagi cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan yang membabitkan dua kenderaan dalam kejadian di Kampung Teko Air Merah, dekat Kandis di sini, pagi semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu, kedua-dua mangsa, pemandu van Fatimah Mat Saman, 42, dan pemandu kereta, Mohd Noor Hafiz Ahmad, 21, masing-masing meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai tersepit dalam remukkan kenderaan mereka. 


Bagaimanapun, rakan kepada Mohd Noor Hafiz, Che Salwa Che Johan, 20-an, cedera parah dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan keadaannya dilaporkan kritikal. 

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Kelantan/Trafik, Superintendan Azli Mohd Noor, semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. 

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika kereta yang dipandu Mohd Noor Hafiz yang bekerja sebagai pemandu bot pelancong bersama rakannya dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Bachok. 

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Proton Wira itu dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan van yang dipandu Fatimah. 

”Kedua-dua pemandu dipercayai tersepit dalam remukkan kenderaan masing-masing sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat sebaik tiba di tempat kejadian,” katanya. 

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke HUSM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sementara itu, suami kepada Fatimah, Yassin Seman, 38, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa isterinya itu kira-kira jam 6.30 pagi selepas dihubungi polis. 

Beliau berkata, sebaik menerima panggilan itu, dia bergegas ke tempat kejadian dan mendapati isterinya sudah meninggal dunia serta van yang dipandunya remuk di bahagian depan. 

”Isteri saya keluar dari rumah kira-kira jam 5 pagi untuk membeli barang di pasar Jelawat sebelum ke tempat berniaga di pasar Besut, Terengganu. 

”Saya terkilan kerana tidak sempat menatap wajah dan bercakap dengan dia. Kebiasaannya, setiap hari ketika memunggah barang masuk ke dalam van, saya sempat berbual dengan dia sebelum keluar,” katanya. 

Katanya, dia tidak menyangka pemergian isterinya bagi mencari nafkah keluarga hari ini (semalam), adalah untuk selama-lamanya apabila dia terlibat dalam kemalangan maut dan jenazah isterinya akan dibawa pulang ke Kampung Gong Manok, Semerak, Pasir Puteh untuk dikebumikan. 

Sementara itu, kakak kepada Noor Hafiz, Noramiza, 24, berkata, dia sekeluarga mengetahui kejadian menimpa adiknya kira-kira jam 6.45 pagi, selepas dimaklumkan polis. 

Dia berkata, ketika itu, adiknya bersama rakannya dikatakan dalam perjalanan dari Kota Bharu selepas keluar dari rumah malam semalam dan keluarga amat terkejut kerana tidak sampai setahun adik kepada arwah iaitu, Mohd Ridzuan juga maut akibat kemalangan jalan raya. 

“Ketika berada di Pulau Perhentian pagi semalam, dia kelihatan muram dan kurang bercakap. Biasa dia sangat periang dan mudah bercakap apabila ditegur tetapi semalam dia kelihatan pendiam dengan adik beradik lain,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HUSM, di sini semalam.

0 komen:

Post a Comment