Thursday, July 7, 2011

Kelantan Sah Bergelar Juara Liga Super 2011

KUALA LUMPUR – Kelantan berjaya muncul juara Liga Super buat julung kali selepas mengutip mata berharga dengan menumpaskan Sabah 2-1 pada perlawanan akhir musim 2011 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Rabu malam.

Kelantan, yang meraih Piala Sumbangsih 2011, berjaya menafikan juara bertahan Selangor dengan perbezaan empat mata manakala Terengganu berjaya menduduki tangga kedua liga dengan 53 mata.


Kejayaan Kelantan itu sekaligus bagaikan kejayaan misi membalas dendam buat negeri Cik Siti Wan Kembang apabila sekadar menjadi naib juara Liga Super musim lalu dan secara automatik layak menempah slot beraksi pada Piala AFC 2012.

Selaku juara Liga Super, Kelantan bakal mendapat hadiah wang tunai RM500,000 sementara naib juara mendapat RM300,000.

Majlis penyerahan trofi akan diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Jumaat ini.

Terengganu muncul naib juara liga setelah berpesta gol 6-2 ke atas Felda United pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Kelana Jaya sementara Selangor terpaksa berpuas hati di tempat ketiga setelah seri tanpa jaringan menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh.

Kemenangan sulung yang dikecapi skuad kendalian Datuk M.Karathu ini juga merupakan pengubat duka pasukan Kelantan setelah kalah 1-2 kepada Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA bulan lepas.

Ketua pasukan Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha muncul penjaring terbanyak musim ini apabila menghasilkan dua gol malam ini untuk mengumpul 14 gol musim ini serta meraih gelaran kasut emas edisi Liga Super kali ini.

Di PAROI, tuan rumah Negeri Sembilan tidak mensia-siakan peluang bermain di tempat sendiri apabila menumpaskan pasukan tercorot liga, Perlis 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman.

Dua gol pasukan ‘Hoben Jang Hoben’ masing-masing dihasilkan oleh Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-36 dan Shahurain Abu Samah (min-59).

Di KUALA TERENGGANU, Kuala Lumpur yang kini di tangga terakhir liga terselamat daripada tersingkir dari saingan Liga Super musim depan setelah menang 3-2 ke atas T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Mohd Badrul Hisyam Azmi menjadi wira ibu kota dengan melakukan hatrik bermula minit keempat, 30 dan satu sepakan penalti pada minit ke-73 sebelum dua jaringan tuan rumah masing-masing dijaringkan oleh Indra Putra Mahayuddin (min-33) dan Shamsul Kamal Mohamad (min-80).

Kemenangan ini mengesahkan Kuala Lumpur tersenarai dalam kelompok zon selamat untuk ke saingan Liga Super musim hadapan.

Di SHAH ALAM, Harimau Muda A gagal menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri setelah seri 2-2 menentang Johor FC di Stadium Shah Alam.

Di KUANTAN, jaringan tunggal Kedah menerusi Muhammad Fiqry Md Isa meranapkan impian Pahang untuk mencari gol kemenangan di Stadium Darul Makmur.

Dengan kekalahan tersebut, Pahang sekaligus mengesahkan diri akan mengiringi Perlis ke saingan Liga Perdana musim depan.

Penurunan ‘pangkat’ Pahang turun ke Liga Perdana 2012 adalah sejarah kerana skuad Tok Gajah itu belum pernah sekalipun diturunkan ke saingan Divisyen Dua sejak Liga Semi-Pro diperkenalkan pada 1989.

Bagaimanapun nasib dua pasukan yang tercorot itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selewat-lewatnya hujung bulan ini.

0 komen:

Post a Comment