NAMA Norshahrul Idlan Talaha dan Abdul Hadi Yahaya berada dalam senarai terakhir 23 pemain untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan malam esok seperti diumum jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal semalam.
Tujuh pelatih digugurkan iaitu Syed Adney Syed Hussein, K. Sasikumar (penjaga gol), Azmi Muslim, Rizal Fahmi Rosid, Hisyamudin Shaari (pertahanan), Yong Kuong Yong (sayap) dan Shahrizal Saad (penyerang).
"Pemain yang digugurkan ini mengalami kecederaan atau baru pulih daripada kecederaan seperti Adney, Azmi dan Shahrizal.
BARISAN pemain negara giat menjalani latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan malam esok.
"Manakala bagi Rizal dan Hisyamudin, saya mempunyai ramai pilihan di posisi pertahanan tengah," kata Rajagobal ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Dengan penyenaraian Norshahrul dan Hadi yang telah menjalani latihan penuh semalam, Rajagobal mempunyai pilihan besar di posisi penyerang selain Safee Sali, Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saarani.
Empat pilihan untuk mengemudi jentera tengah ialah Safiq Rahim, Amar Rohidan, Shakir Shaari dan K. Gurusamy manakala bahagian sayap digerakkan Amirulhadi Zainal, S. Kunanlan, Ashari Samsudin dan S. Chanthuru.
Posisi pertahanan tengah pasti memeningkan Rajagobal dengan empat pemain mampu menggalas tugas tersebut iaitu Aidil Zafuan Radzak, Muslim Ahmad, Fadhli Shas dan Farisham Ismail.
Posisi pertahanan kanan bakal diisi Helmi Remeli, pertahanan kiri Asraruddin Putra Omar manakala Mahali Jasuli bersedia beraksi di kedua-dua posisi tersebut andai diperlukan.
"Kecederaan Azmi menyebabkan hanya Asraruddin di posisi pertahanan kiri, tetapi kita masih memiliki dua pemain yang boleh beraksi di posisi tersebut iaitu Mahali dan Fadhli.
"Saya tak kata barisan 23 pemain ini yang terbaik, tetapi inilah pemain yang kita miliki untuk menghadapi Taiwan," jelas Rajagobal.
Bagi posisi penjaga gol, Rajagobal menyenaraikan Khairul Fahmi Che Mat, Sharbinee Allawee Ramli dan Nasril Nourdin.
Ditanya tentang pasukan lawan, Rajagobal berkata, dia telah menunjukkan video corak permainan Taiwan ketika Kelayakan Piala Cabaran AFC 2012 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Mac lalu kepada anak-anak buahnya.
"Tapi kita tak boleh anggap ia pasukan Taiwan yang sama kerana mungkin kali ini mereka menyenaraikan beberapa pemain baharu yang lebih baik.
"Jadi di sini saya pentingkan persiapan pasukan sendiri dan pada masa sama menghormati juga lawan biarpun ranking mereka lebih rendah," tegas Rajagobal.
Pada Kelayakan Piala Cabaran AFC itu, Taiwan tewas ketiga-tiga perlawanan kepada India (0-3), Turkmenistan (0-2) dan Pakistan (0-2).
0 komen:
Post a Comment