Monday, May 16, 2011

Selangkah ke Final Piala FA



KOTA BHARU - Tatkala pengendali Selangor, K Devan perlu memikirkan ramuan khas untuk pasukannya mencari seberapa banyak gol pada pertemuan separuh akhir kedua Piala FA malam ini, Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu sedikit pun tidak tertekan, malah bersemangat menceritakan persiapan pasukan kendaliannya. 

Berbekal kelebihan empat gol, Karathu optimis membawa The Red Warriors ke perlawanan akhir buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun. 

“Turun tanpa dua pemain pertahanan, Zairul Fitree (Ishak) dan Mohd Farisham (Ismail) tidak menjejaskan perancangan saya,” katanya semalam. 

Beliau menganggap, Kelantan masih belum layak ke perlawanan akhir selagi tempoh 90 minit belum berakhir. 

“Kita harus mempertahankan rekod tanpa kalah di tempat sendiri selain terus melebarkan rekod kemenangan ke atas Selangor. Soal siapa lawan di perlawanan akhir, kita fikir kemudian,” katanya. 

Menurut Karathu, latihan terakhir pasukan Kelantan semalam lebih tertumpu kepada perubahan formasi dalam mencari kesebelasan terbaik setelah dua tonggak utama di benteng pertahanan terpaksa disisihkan gara-gara mengumpul dua kad kuning. 

“Saya tengah mencongak strategi untuk mengekang Selangor. Pastinya kita tidak bermain secara bertahan, saya mahu pemain mendapatkan gol awal bagi membunuh semangat juang lawan. Saya tidak mahu pemain mensia-siakan peluang seperti babak kedua di Shah Alam tempoh hari,” katanya. 

Menurutnya, Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) akan diberi peranan sebagai penggempur utama. 

“Dia belum menemui rentak sebenar kerana baru diturunkan dalam perlawanan lalu, namun saya percaya sumbangan dia cukup penting bagi kejayaan pasukan,” katanya. 

Dalam perlawanan separuh akhir pertama, Jumaat lalu, Kelantan berpesta gol setelah membelasah Selangor 5-1. Muhammad Ramzul Zahini Adenan berjaya menjaringkan dua gol sementara satu gol lagi masing-masing menerusi sumbangan Muhd Badhri Radzi, Mohd Nurul Azwan Roya dan Norshahrul Idlan Talaha.

0 komen:

Post a Comment