Warga asing guna bot pukat tunda jual hasil tangkapan ke negara asal
KUANTAN: Jabatan Perikanan mendakwa nelayan warga asing laut dalam yang bekerja dengan pemilik bot pukat tunda laut dalam rakyat tempatan menjual hasil tangkapan ke negara asal masing-masing bagi mengaut keuntungan, sekali gus menjejaskan pendaratan ikan bagi kegunaan rakyat tempatan.
Dakwaan itu dibuat selepas mendapati hasil tangkapan ikan oleh 1,315 bot pukat tunda laut dalam (C2) gagal menepati sasaran apabila hanya mampu mendaratkan 315,000 tan ikan atau 80 peratus berbanding sasaran pendaratan 349,500 tan sepanjang tahun lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, berkata siasatan pihaknya mendapati nelayan asing mengambil kesempatan menutup sistem pemantauan kapal (VMS) yang dipasang pada bot bagi mengelak dikesan pihak berkuasa termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Justeru, beliau meminta majikan mereka yang juga pemilik bot pukat tunda laut dalam supaya memantau perkara itu dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pemilik bot jika mendapati turut bersekongkol dan tidak mematuhi peraturan dan syarat pelesenan yang ditetapkan jabatan, termasuk menggantung dan pembatalan lesen bot dan peralatan yang digunakan.
“Kita akan membuat pemantauan secara berterusan bagi menjamin bot C2 yang menggunakan khidmat nelayan asing mendaratkan hasil tangkapan 100 peratus di eti pendaratan yang ditetapkan.
“Kita akan memantau operasi mereka menerusi VMS yang dipasang di setiap bot bagi menjamin hasil laut didaratkan di jeti perikanan negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pembangunan dan Penyelidikan Tukun Tiruan Kebangsaan 2011 di sini, semalam.
AHAMAD Sabki (kiri) mendengar penerangan mengenai model tukun tiruan daripada Mohamad selepas merasmikan seminar pembangunan dan penyelidikan tukun tiruan Kebangsaan 2011 di Hotel Vistana Pahang.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pelesenan dan Pengurusan Sumber, Gulamsawar Jan Mohammad dan Pengarah Perikanan Pahang, Datuk Mohamad Mat Saman.
Sementara itu, Ahamad Sabki berkata, Jabatan Perikanan memerlukan peruntukan RM25 juta bagi meningkatkan hasil pengeluaran ikan negara sebanyak 1.76 juta tan menjelang 2020, di samping menambah 50 tapak tukun tiruan selain menjalankan pemantauan.
0 komen:
Post a Comment