Saturday, May 7, 2011

Kelantan Kekal di Puncak Liga


PENYERANG Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (kiri) cuba melepasi pertahanan Kedah di Stadium Sultan Mohamad IV, malam tadi

Selangor, Terengganu tak berubah selepas masing-masing menang 

KELANTAN kekal menerajui Liga Super selepas menang 2-0 ke atas Kedah, dengan pesaing terdekat, Selangor turut mengumpul tiga mata penuh selepas menewaskan Johor FC 3-2 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Di Stadium Sultan Mohamad IV, Khalid Jamlus meledak gol pembukaan Kelantan pada minit ke-54 selepas memanfaatkan hantaran lintang Nurul Azwan Roya, dan S Chanturu melebarkan jaringan menerusi rembatan padu minit ke-66.
Di Stadium Shah Alam, Selangor bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Johor FC 3-2 selepas pelawat di depan menerusi rembatan Syahrizal Saad pada minit ke-22 yang menewaskan penjaga gol, Saiful Amar Sudar. 

Namun bermula babak kedua, Selangor bingkas dengan tiga gol dalam tempoh kurang 15 minit menerusi Rudie Ramli (m-64), Mohd Amri Yahyah (m-69) dan Azidan Sarudin (m-78) sebelum Johor FC merapatkan jurang menerusi Mohd Khairul Ismail seminit kemudian. 

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu mengutip tiga mata penuh untuk terus mengekori Kelantan dan Selangor, selepas mengalahkan Kuala Lumpur 4-0. 

Abdul Hadi Yahya membuka jaringan pada minit ke-18 dengan menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Norazlan Razali untuk mendahului babak pertama dan Manaf Mamat menambah jaringan (m-52) selepas menyempurnakan hantaran Ashaari Shamsudin. 
Terengganu terus mengasak dan memperoleh gol ketiga menerusi Helmi Remeli yang bijak melepasi pertahanan Kuala Lumpur pada minit ke-65 sebelum Manaf melengkapkan kemenangan hasil percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-75. 

Di Stadium Utama Negeri, Kangar, Perlis merakam kemenangan kedua musim ini selepas bangkit untuk menundukkan T-Team 2-1. 

T-Team di depan hasil jaringan Mohd Haris Safwan Kamal pada minit ke-17 tetapi gerakan solo Mohd Rizal Ghazali menewaskan penjaga gol, Mohd Syamsuri Mustafa pada minit ke-25 sebelum Syed Abdul Ghaffar Syed Amir meledak gol kemenangan empat minit sebelum tamat. 

Di Stadium Likas, Sabah terus mempamerkan kehebatan di gelanggang sendiri apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-0 hasil gol lewat permainan Zainizam Marjan (m-68) dan Mohd Farid Idris (m-84). 

Di Stadium MBPJ Kelana Jaya, FELDA United menundukkan Harimau Muda A, 2-0 hasil tandukan padu Liew Kit Kong (m-40) dan Nizaruddin Yusoff (m-76). 

Di Stadium Perak, Ipoh, tuan rumah sekadar seri tanpa jaringan dengan Pahang. 

0 komen:

Post a Comment