Wednesday, May 18, 2011

Karathu Senyum Lebar


KEGEMBIRAAN jelas terpancar di raut wajah pengendali Kelantan, Datuk M. Karathu sebaik sahaja barisan kendaliannnya mengesahkan tempat ke final Piala FA.

KAPTEN Kelantan, Badri Radzi (kiri) melakukan percubaan ke gawang Selangor pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu 

Tambah manis, anak-anak buah Karathu melangkah penuh bergaya selepas membenam Selangor di hadapan ribuan penyokong The Red Warriors.

Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, Kelantan hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1.

Bagaimanapun, keputusan itu sudah memadai buat Kelan- tan mara ke final Piala FA dengan agregat 6-2 selepas membelasah Selangor 5-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam minggu lalu.

Tanpa berselindung, Karathu mengakui yang kejayaan itu merupakan hadiah bermakna buatnya selepas melihat barisan pemainnya mempamerkan semangat juang tinggi sepanjang mengharungi Piala FA musim ini.

Menurut Karathu, beliau gembira dengan persembahan barisan pemainnya yang disifatkan telah menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan yang dilalui sepanjang saingan kali ini sehingga berjaya menyingkirkan Selangor.

“Saya puji semangat yang ditunjukkan barisan pemain kerana mereka bermain mati- matian.

“Bermula dengan T-Team pada perlawanan yang saya anggap cukup getir diikuti pertemuan menentang Johor FC pada pusingan kedua.

“Kedua-dua perlawanan itu kita bermain di tempat lawan, namun kita berjaya menang hasil komitmen dan disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh barisan pemain.

“Pada pusingan ketiga baru kita bermain di tempat sendiri seterus- nya bertemu dengan Selangor pada perlawanan separuh akhir, namun kita tetap dapat memberikan tumpuan dengan mempamerkan aksi terbaik,” kata Karathu.

Mengulas mengenai persembahan Kelantan malam kelmarin, Karathu memberitahu, beliau tetap berpuas hati dengan apa yang telah dipamerkan oleh barisan pemainnya.

Katanya, meskipun turun tanpa kelibat penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha serta dua tonggak pertahanan Mohd. Farisham Ismail dan Mohd. Zairul Fitree Ishak yang digantung akibat mengumpul dua kad kuning, pasukannya tetap tampil mantap.

“Para pemain telah menunjukkan satu tahap keghairahan yang tinggi iaitu mahu membawa pulang Piala FA ke Kelan- tan musim ini.

“Kemenangan ini adalah hadiah buat para penyokong yang telah banyak memberikan sokongan kepada pasukan dan inilah masa terbaik buat kita menghadiahkan satu lagi kejuaraan buat mereka untuk musim ini,” ujarnya.

Kejayaan layak ke pentas final Piala FA musim ini menyaksikan Karathu berpeluang mencipta satu lagi sejarah baru Kelantan iaitu membawa pulang gelaran itu buat kali pertama selepas gagal disempurnakan oleh Peter James Butler apabila The Red Warriors tumbang kepada Selangor pada final edisi 2009.

0 komen:

Post a Comment