Kemenangan besar Kelantan ke atas Selangor adalah perlawanan terbaik pasukan musim ini
TANPA berfikir-fikir, Datuk M Karathu mentakrif kemenangan besar Kelantan ke atas Selangor dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA, malam kelmarin adalah perlawanan terbaik bagi pasukannya, musim ini.
“Setiap pemain saya menunjukkan azam tinggi dengan mempamerkan permainan cantik sepanjang tempoh perlawanan.
“Mereka yakin apabila mengasak ke kubu Selangor dan bijak mengubah rentak permainan sehingga berjaya menjaringkan dua gol awal pada separuh masa kedua,” katanya selepas Red Warriors membaham Merah Kuning 5-1 di Stadium Shah Alam.
Kemenangan dengan angka besar ini memberi pengertian betapa Kelantan akan menentang Selangor dalam perlawanan kedua peringkat sama di Kota Bharu, esok tanpa sebarang tekanan.
Ketika ditanya mengenai pemain yang bakal diturunkan pada perlawanan timbal balik kedua itu, Karathu enggan mengulas namun tetap menaruh keyakinan tinggi pasukan kendaliannya mampu melangkah ke final edisi kejohanan, musim ini.
Apapun, The Red Warriors bakal kehilangan dua tonggak pertahanan mereka, Mohd Zairul Fitri Ishak dan Mohd Farisham Ismail yang digantung permainan.
Karathu turut menambah kemenangan dicapai hasil kesungguhan ditunjukkan pemain. “Kami sepatutnya mendapat lebih gol pada perlawanan ini terutamanya dua percubaan jentera serangan pada separuh masa kedua hanya menggegar palang dan tiang gol,” katanya.
0 komen:
Post a Comment