Thursday, May 5, 2011

Format Komputer Riba



Soalan yang ingin saya kemukakan kepada saudara Sembang ICT ialah:

1.Bagaimana mahu memformat komputer riba (Format C) kerana komputer riba saya kini agak perlahan.

2.Bolehkah memori (RAM) komputer riba ditingkatkan kepada yang lebih tinggi? Jika boleh apakah cadangan Sembang ICT? Adakah ia akan menjejaskan komputer saya (atau rosak)? Saya menggunakan komputer riba dari jenama Acer Inspire.

Sekian terima kasih.

- ASH, Serdang.

SEBELUM menjawab persoalan pertama, anda perlu tahu bahawa sekiranya kita Format C pada cakera keras, segala data yang berada di dalamnya akan dibuang termasuk sistem pengoperasian Windows.

Jadi, selepas melakukan Format C, anda perlu memasang semula sistem pengoperasian Windows ke dalam komputer riba tersebut.

Pastikan anda membuat salinan data-data yang penting ke tempat lain sebelum melakukan Format C.

Anda boleh melakukan format kepada cakera keras ini sama ada ia pemacu C,D,E dan lain-lain menerusi sistem pengoperasian Windows atau menggunakan program komputer yang lain semasa but komputer dijalankan.

Bagi melaksanakan format ini menerusi Windows, ada dua cara iaitu melaksanakan baris arahan dengan menggunakan COMMAND PROMPT atau menggunakan program Windows sedia ada.

Bagi melaksanakan baris arahan, anda perlu pergi ke START > RUN, taip cmd pada ruangan kosong dan tekan ENTER atau pergi ke START > PROGRAMS > ACCESSORIES > COMMAND PROMPT.

Apabila sudah berada dalam program COMMAND PROMT ini, taipkan perkataan seperti yang berikut:

C:\format C:

Dalam sistem pengoperasian Windows juga terdapat program sedia ada yang boleh melakukan format C ini.

Antaranya adalah seperti berikut, pergi ke START. Klik kanan dan pilih EXPLORE. Seterusnya pergi ke MY COMPUTER. Pilih mana pemacu yang hendak diformat dan klik kanan. Pilih FORMAT. Ikut arahan yang seterusnya. Klik START.

Kebanyakan komputer riba pada masa kini mempunyai bahagian pada cakera keras yang dikenali sebagai Recovery Partition.

Ia dikhaskan untuk melaksanakan penyelenggaraan terhadap sistem pengoperasian Windows pada cakera keras yang bermasalah.

Jadi, anda boleh masuk ke dalam bahagian ini dengan menekan butang tertentu pada papan kekunci anda seperti F5 dan sebagainya mengikut kepada manual komputer riba yang digunakan seperti Acer.

Seterusnya, anda akan mempunyai pilihan untuk membuang, memformat, membuat bahagian pada cakera keras dan memasang sistem pengoperasian.

Anda boleh menggunakan CD atau DVD pemasangan Windows. Aktifkan dan masuk ke dalam CD atau DVD anda ketika but permulaan komputer. Seterusnya anda akan mempunyai pilihan seperti mana dalam Recovery Partion di atas.

Akhir sekali, boleh menggunakan mana-mana program komputer seperti Spin Rite, Disk Manager, Fdisk dan sebagainya dengan but menggunakan CD,DVD, Disket atau cakera Flash USB. Pastikan ia sesuai dan disokong oleh komputer riba anda.

Bagi persoalan kedua, memori RAM boleh dinaik taraf kapasitinya mengikut kemampuan sistem komputer riba anda. Penaikan taraf memori RAM yang baik dan betul berupaya meningkatkan prestasi komputer riba anda.

Sebelum membuat sebarang naik taraf memori RAM, beberapa perkara berkenaan perlu diketahui terlebih dahulu. Antaranya adalah seperti berikut:

nKenal pasti jenis, kelajuan dan kapasiti memori RAM yang sedia ada dalam komputer riba anda.

nKena pasti modul dan bilangan slot memori yang ada dalam komputer riba dan berapa slot yang telah digunakan seperti SIMM, DIMM, SODIMM dan lain-lain.

nBagi kapasiti dan kelajuan memori RAM yang tinggi, pastikan komputer riba anda menyokong fungsi Error Corecting Code (ECC).

Bagi mengetahui berapa kapasiti memori RAM yang ada dalam sesebuah komputer, boleh taipkan dalam kotak dialog RUN, msinfo32 dan tekan ENTER atau cari program SYSTEM INFORMATION dalam Windows.

Jenis memori yang sama dan disokong oleh sistem komputer sedia ada sahaja yang dibenarkan di naik taraf seperti sama ada ia SD RAM, DDR, DDR2, DDR3 atau sebagainya. Begitu juga dengan kapasiti bagi setiap kepingan RAM seperti 16 MB, 32 MB, 64 MB, 128 MB, 256 MB, 512 MB, 1 GB, 2GB, 4GB dan lain-lain, perlu dirancang mengikut keperluan dan sokongan oleh komputer riba anda.

Pastikan anda membuat pemasangan kepingan RAM kepada slot dengan cara yang betul dan berhati-hati.

Ini kerana ia boleh menyebabkan memori RAM rosak sekiranya tercalar dan sebagainya. Begitu juga dengan kelajuan bagi setiap kepingan RAM tersebut, sama kelajuannya di antara satu sama lain adalah antara cara yang terbaik.

Maklumat lanjut berkenaan dengan memori RAM, anda boleh layari laman web syarikat pengeluar komputer riba seperti Acer, Dell dan sebagainya atau laman web syarikat pengeluar memori RAM seperti Kingston di www.kingston.com, Crucial di www.crucial.com dan lain-lain.

Anda juga boleh ke laman web berikut, http://www.laptopmemoryupgrade.com.

0 komen:

Post a Comment