"LUPAKAN seketika saingan Piala FA, sebaliknya berikan tumpuan penuh dalam Liga Super jika mahu terus mencabar kejuaraan musim ini."
Itu pesanan ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu kepada barisan pemainnya menjelang pertemuan dengan Felda United di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur malam ini.
Menurutnya, meskipun masih ada baki tujuh lagi perlawanan untuk diharungi, beliau tetap melaungkan keyakinan pasukannya mampu menjadi juara sekiranya berjaya mendapatkan tiga mata dalam setiap perlawanan yang bakal dilalui selepas ini.
"Walaupun dibezakan dengan dua mata dengan pendahulu liga, Selangor, saya tetap tidak akan mengalah dan kita akan terus memberikan tentangan sengit.
"Untuk itu kita perlu fokus dalam setiap perlawanan yang dilalui dan kita tidak boleh terus keciciran mata dalam perlawanan selepas ini kerana Terengganu sentisa menunggu peluang untuk memintas kita," katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.
Mengulas mengenai perlawanan menentang Felda United malam ini, Karathu tidak mahu terlalu yakin meskipun mereka pernah membenam Felda 6-0 pada perlawanan pusingan pertama lalu.
Beliau sudah mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak mengambil mudah perlawanan ini.
"Saya yakin Felda United akan turun bermati-matian dalam perlawanan malam esok (malam ini), lagipun semua pemain mereka sudah mendapat rehat yang cukup sebelum menentang kami.
"Jadi saya ingatkan kepada semua pemain saya agar berhati-hati dan tugas penting mendapatkan tiga mata dalam perlawanan ini perlu direalisasikan sebaik mungkin," katanya.
Tambahnya, ini merupakan perlawanan pertama buat pasukannya selepas mengharungi perlawanan berprofil tinggi ketika bertemu Selangor, Selasa lalu.
"Oleh itu saya harap pemain dapat memberikan aksi yang terbaik dalam perlawanan ini dan jangan terlalu dibuai dengan kejayaan menyingkirkan Selangor dalam saingan Piala FA sebaliknya fokus dalam saingan Liga Super" ujarnya.
0 komen:
Post a Comment