Sunday, April 24, 2011

Karathu Gembira Aksi Cemerlang


KOTA BHARU – Aksi cemerlang barisan pemain Kelantan ketika mengalahkan Perlis 4-0 bukan sahaja menggembirakan penyokong setia The Red Warriors, malah mendapat pujian daripada Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu sendiri yang tanpa berselindung mengakui anak buahnya ternyata memiliki karisma untuk mempamerkan persembahan cemerlang dalam perlawanan itu.

“Walaupun kita hanya berjaya menjaringkan satu gol pada penghujung perlawanan babak pertama, namun anda dapat lihat kebangkitan pemain Kelantan yang mempamerkan aksi bertenaga dan lebih tersusun dengan menjaringkan tiga gol lagi pada separuh masa kedua.

“Memang Perlis bertandang ke Kota Bharu untuk bermain secara bertahan dalam perlawanan ini. Selepas mengalami kekalahan besar 5-1 tempoh hari, sudah pasti mereka tidak mahu dibelasah lagi. Anda dapat lihat terdapat sembilan pemain mereka turun berkampung mereka setiap kali pemain kita menyerang ke pintu gol mereka.

“Namun yang lebih penting, ialah apabila kita berjaya memecahkan kebuntuan dengan memperoleh gol pertama. Saya lihat gol tersebut membangkitkan semangat pemain dan mengubah rentak permainan kita pada separuh masa kedua,” katanya.

Malah Karathu turut menyifatkan resipi kejayaan pasukannya mencatatkan kemenangan besar malam semalam berpunca daripada posisi tengah yang dilihat berfungsi sepenuhnya dengan perlawanan itu.

“Separuh masa kedua ternyata jentera tengah kita bermain dengan cukup baik. Tidak salah saya katakan kita sememangnya menguasai hampir sebahagian 90 minit perlawanan ini berlangsung. Mereka mencipta peluang dengan baik dan menjaringkan gol dengan cara menarik.

“Mungkin kita boleh jaring tiga gol lagi pada babak kedua. Inilah bola sepak dan saya berpuas hati dengan komitmen semua pemain. Satu permulaan yang cukup baik bagi kita pada perlawanan pertama pusingan kedua ini.

Karathu turut memuji aksi mantap yang ditunjukkan pemain Piala Presiden, Mohd Izuan Salahuddin yang menjaringkan gol pertama, seterusnya membakar semangat rakan sepasukan yang lain.

“Dia seorang pemain yang cukup rajin dan mempunyai keupayaan untuk pergi lebih jauh. Saya bangga dengan prestasi yang ditunjukkan dia dalam perlawanan ini. Mana-mana pemain yang menunjukkan prestasi yang baik seperti dia, tidak ada masalah bagi saya untuk berada di dalam kesebelasan utama pemain.

“Malah aksi Mohd Nizab (Ayub) dan Muhammad Khalid (Jamlus) yang dimasukkan pada pertengahan babak kedua juga harus dipuji,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan membawa keluar penyerang, Norshahrul pada pertengahan babak kedua, Karathu berkata, tindakan tersebut adalah tepat bagi memberi rehat secukupnya sebelum pertemuan menentang Selangor pada Selasa ini. 

0 komen:

Post a Comment