Palestin terus menyusuri saat-saat genting dan sukar berikutan dengan pengenalan undang-undang baru yang diperkenalkan oleh rejim Zionis Yahudi bahawa rakyat Palestin perlu menyatakan taat setia tidak berbelah bagi terhadap rejim Zionis haram yang merampas bumi Palestin dan menamakan rejim itu negara Israel.
Kabinet Perdana Menteri (PM), Benjamin Natenyahu yang membentuk rejim bersama beberapa parti politik ultra kanan termasuk parti pelampau ugama Yahudi telah mengemukakan rang undang-undang di Knesset (Parlimen) rejim yang memerlukan rakyat Palestin yang tinggal di bumi yang dirampas Yahudi itu menyatakan taat setia kepada rejim.
Rakyat Palestin telah membantah undang-undang ini dan ia menjadi halangan terbaru yang membantutkan sebarang pertemuan dan rundingan langsung antara rejim dan Pihak Berkuasa Palestin (PA), yang pusat pentadbirannya di Ramallah, Tebing Barat.
Halangan-halangan yang sedia ada seperti penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang terus berkembang sehingga mencecah 500,000 penduduk Yahudi dan kini penempatan baru pula dibina di Baitulmuqaddis Timur yang dikenal pasti mahu dijadikan ibu negara Palestin, sedang rancak berjalan.
Penempatan-penempatan baru ini diteruskan rejim setelah berakhirnya pembekuan sementara selama sepuluh bulan. Pembekuan dibuat bagi mengadakan suasana yang lebih kondusif bagi membolehkan rundingan damai disambung semula setelah terhenti beberapa lama sebaik sahaja Presiden Obama dipilih Presiden Amerika Syarikat (AS) dan rejim baru pimpinan Natenyahu mengambil alih kuasa rejim dari Ehud Olmert sebagai PM.
Sebaik sahaja rundingan langsung yang dibroker AS diteruskan beberapa hari, ia terhenti lagi apabila tarikh pembekuan penempatan berakhir dan kontraktor-kontraktor pembinaan meneruskan kerja-kerja pembinaan untuk membina rumah-rumah baru bagi menempatkan orang-orang Yahudi di Tebing Barat.
Pembinaan rumah-rumah penduduk haram Yahudi dalam perancangan perluasan wilayah oleh rejim di kawasan-kawasan Pihak Berkuasa Palestin telah membantutkan rundingan langsung, sedangkan AS dan sekutu baratnya terus mengasak dan mendesak, mahukan Pihak Berkuasa Palestin yang dipimpin Mahmoud Abbas meneruskan rundingan langsung.
Rejim Zionis tidak mahu menjadikan penempatan penduduk haram Yahudi dijadikan halangan atau syarat penerusan rundingan langsung sedangkan Pihak Berkuasa Palestin bersikap tidak akan menyertai persidangan selagi rejim Zionis meneruskan agenda penempatan haramnya. AS mengasak dan mendesak supaya Mahmoud Abbas meneruskan rundingan.
Setakat ini Pihak Berkuasa Palestin berkeras tidak akan meneruskan rundingan, tetapi mampukan ia diteruskan, sedangkan Pihak Berkuasa Palestin mengharapkan bantuan kewangan dan ekonomi dari AS bagi melaksanakan pentadbiran hariannya.
Beberapa buah Negara Arab yang menjadi tali barut AS seperti Mesir dan Jordan turut menerima bantuan ekonomi, kewangan dan kelengkapan senjata dari AS untuk memanjangkan dan meneruskan jangka hayat rejim masing-masing.
Atas desakan-desakan berterusan ini akan melemahkan keupayaan Pihak Berkuasa Palestin untuk menolaknya sedangkan pihak rejim Zionis mempunyai kesanggupan dan keupayaan untuk tidak akur dengan arahan AS dan sekutu barat yang kononnya mengecam rejim Zionis yang tidak menghentikan pembinaan penempatan baru Yahudi ini.
Halangan-halangan besar sedia ada ini telah cukup membantutkan sebarang rundingan, kini rejim Zionis menambah lagi halangan baru dengan peruntukan undang-undang yang mencabar dan sengaja di-adakan bagi meneruskan agenda Zionis mereka.
Pihak Berkuasa Palestin telah mengiktiraf rejim Zionis dan begitu juga beberapa buah negara Arab melalui beberapa perjanjian yang dimeterai sebelum ini. Ini masih tidak cukup bagi rejim Zionis mahu tumpahan taat setia hanya kepada rejim Zionis dan tidak yang lain.
Peruntukan undang-undang ini menyukarkan dan menyulitkan lagi penyelesaian Palestin. Rejim Zionis akan terus mengadakan halangan-halangan baru bagi menggagalkan sebarang rundingan untuk mewujudkan sebuah Negara Palestin merdeka.
Di kalangan anggota Kabinet rejim Zionis terdapat individu-individu yang menentang kewujudan sebuah Negara Palestin. Mereka mahu mengekalkan status quo yang ada dengan wilayah-wilayah Palestin yang dikenal pasti bakal menjadi wilayah Negara Palestin terus berada di bawah penaklukan rejim Zionis dan mereka dapat meluaskan penempatan baru untuk orang Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.
Slogan-slogan pelan damai Palestin, kewujudan Negara Palestin beriringan dengan rejim Zionis yang mempunyai keluasan dua pertiga wilayah bumi Palestin yang dirampas sejak 1948, adalah retorik dan gimik politik semata-mata. Hakikatnya bumi Palestin akan terus dicerobohi dan diperkosa sekehendak hati mereka.
Rakyat Palestin akan terus menderita disekat, dibunuh di samping ditambah halangan-halangan baru bagi mengukuhkan agenda survaival rejim Zionis Yahudi sementara rakyat Palestin menjadi bahan mainan nafsu serakah mereka.
Jika ada di kalangan rakyat Palestin yang percaya dan yakin bahawa akan wujd sebuah Negara Palestin melalui meja rundingan, maka mereka perlu membaca sejarah kelicikan bangsa Yahudi sebagaimana yang dirakamkan oleh Allah dalam Al-Quran.
Rakyat Palestin perlu melaksanakan perjuangan pembebasan sebagai jalan keluar dari kemelut yang yang dihadapi mereka berkesinambungan sejak lebih 60 tahun lalu. Dengan perjuangan jihad yang konsisten dan istiqamah sahajalah nanti rakyat Palestin akan dapat merasai kemanisan perjuangan pembebasan yang telah pun mereka mulakan sejak enam dekad lalu.
Perjuangan yang digariskan oleh Hamas dan pertubuhan jihad yang lain terutama di Gaza kelihatan konsisten untuk mengembalikan hak milik bumi Palestin kepada yang berhak memilikinya dan bukan diserahkan pemilikan ini kepada Zionis Yahudi yang merampasnya dan terus menaklukinya hingga kini.
Lupakanlah rundingan damai kerana ia adalah satu penipuan dan pembohongan yang begitu licik dan halus untuk melemahkan semangat juang sedangkan hakikatnya tiada sesuatu yang bermanfaat diperoleh dari rundingan yang diadakan sekian lama.
Penipuan dan pembohongan dapat di lihat dari penolakan terhadap Hamas. Hamas memenangi pilihan raya tetapi tidak diiktiraf, bahkan dianggap sebagai pertubuhan pengganas. Rejim Zionis yang terus membunuh rakyat Palestin dianggap sebagai hak mempertahankan diri. Hamas yang berjuang untuk pembebasan dicap sebagai pengganas. Di mana kebenarannya. Cukup-cukuplah. bumi Palestin merintih untuk dibebaskan. Palestin oh Palestin.
Suhaimi Mokhtar
0 komen:
Post a Comment