Thursday, May 13, 2010

Kanak-kanak 8 Tahun Terselamat


ANGGOTA-ANGGOTA pasukan penyelamat melakukan gerakan mencari mayat mangsa nahas pesawat di Tripoli semalam.


Seorang kanak-kanak lelaki dari Belanda berusia lapan tahun merupakan satu-satunya penumpang yang terselamat apabila pesawat Airbus milik syarikat Afriqiyah Airways terhempas semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli dengan menyebabkan 96 orang terbunuh semalam. 

Mengulas mengenai budak lelaki itu yang kini dirawat di sebuah hospital, Menteri Pengangkutan Libya, Ali Zaidan berkata: "Nyawanya tidak berada dalam keadaan bahaya."

Gambar yang disiarkan oleh stesen televisyen menunjukkan budak itu masih sedar dan bernafas dengan alat bantuan pernafasan.

Budak itu dilaporkan menjalani pembedahan ekoran tulangnya yang patah.

SEORANG budak lapan tahun yang terselamat dalam nahas pesawat dirawat di sebuah hospital di Tripoli semalam.


Pesawat A330-200 yang berlepas dari Johannesburg, Afrika Selatan itu membawa 105 penumpang dengan 11 krew. 

Ia dalam perjalanan ke Brussels, Belgium sebelum berhenti seketika di Libya untuk mengisi minyak pada pukul enam pagi waktu tempatan. 

Stesen televisyen Libya menunjukkan sebuah kawasan lapang yang dipenuhi dengan serpihan pesawat manakala pasukan polis dan penyelamat yang memakai topeng keselamatan membawa mayat-mayat keluar dari lokasi kejadian. 

Pemerintah Libya menolak punca nahas disebabkan perbuatan pengganas. 

Sumber: Agensi

0 komen:

Post a Comment