Saturday, April 3, 2010

Mana Perginya Air?


KAWASAN bukit dan hutan yang diceroboh akibat aktiviti pembalakan dan pertanian tanpa kawalan akan membawa kesan buruk.


BAYANGKAN suatu hari nanti, anda terpaksa menggunakan air osmosis balikan (RO) untuk keperluan harian. RO berharga kira-kira 50 sen seliter dan kalau anda menggunakan 1,000 liter sebulan, bil anda boleh mencecah RM500.

Sanggupkah anda membayar sebegitu mahal untuk air yang digunakan bagi tujuan memasak, mandi atau membasuh baju?

Mungkin sukar membayangkan senario ekstrem sebegitu. Apa tidaknya, kita kini secara purata hanya membayar 70 sen bagi satu meter padu atau 1,000 liter air. Sumber air bersih dan dirawat dirasakan seperti tidak akan kehabisan.

Tapi hakikatnya, Malaysia semakin kekurangan sumber air bersih.

Masalah ini bukan saja membelenggu Malaysia, malah seluruh dunia. Ingat, hanya dua peratus daripada sumber air seluruh dunia boleh digunakan manusia. Selebihnya ialah air laut. 

Jika kita gagal menjaga dan melindungi sumber bekalan air yang dua peratus itu, kita mungkin terpaksa menggunakan proses desalinasi untuk bekalan air harian kita.

Desalinasi adalah proses yang menjadikan air laut selamat diminum oleh manusia, seperti osmosis balikan. Namun begitu, prosesnya menelan kos yang begitu tinggi dan tentunya orang ramai tidak sanggup membayar harganya.

Tadahan air dimusnahkan

Mengapa begitu sukar untuk mendapatkan sumber air bersih?

"Di Malaysia, sebab utama adalah pencemaran dan tadbir urus yang lemah di kawasan tadahan air," kata Setiausaha Agong Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia, S. Piarapakaran.

"Antara petanda pertama perkara ini sedang berlaku ialah tarif air yang semakin meningkat."

GENERASI akan datang mungkin tidak lagi dapat merasai bekalan air besih secara semula jadi.


Kata beliau, kawasan tadahan air dan sekitarnya harus diwartakan. Namun, apa yang sedang berlaku adalah kerajaan negeri memberi kebenaran kepada syarikat pembalakan dan perladangan menggunakan kawasan itu demi keuntungan jangka pendek.

Hasilnya? Pencemaran berlaku di kawasan tadahan air hingga meningkatkan kos rawatan air. Lebih buruk, jika tahap pencemarannya mencapai tahap kritikal, loji rawatan air berkaitan terpaksa ditutup.

Beliau memberi contoh projek terbaru di sebuah negeri yang merupakan satu projek ladang getah seluas 443 hektar. Projek ini membabitkan penerokaan hutan di dua stesen pengambilan dan penapisan air.

"Apa yang sedang berlaku di situ adalah hutan-hutan ditebang dan pokok getah pula ditanam. Tanah pula ditabur baja dan racun perosak dalam jumlah yang banyak. Semua bahan kimia ini akan meresap ke dalam tanah seterusnya terbawa ke dalam sungai apabila hujan.

"Kalau ada kawasan petempatan di kaki bukit di situ yang menggunakan air telaga, kesemua bahan berbahaya ini akan masuk sekali. Baja dan racun perosak mengandungi amonia, nitrat dan fosfat. Kalau ketiga-tiga bahan kimia ini berada di dalam air, kos merawatnya amat tinggi. Biasanya, jika pencemaran amonia dikenal pasti berlaku di sesuatu loji rawatan air, ia akan ditutup serta-merta," katanya.

Itulah yang berlaku di Sungai Batang Nilai, Negeri Sembilan dan Sungai Langat, Selangor.

Piarapakaran mengingatkan bahawa racun yang digunakan untuk membunuh haiwan perosak turut boleh membunuh manusia.

Hutan kita, sumber air kita

Malaysia masih banyak sumber air kerana hutan dan fungsinya sebagai kawasan tadahan air.

"Tetapi kalau pihak berkuasa sering tunduk kepada syarikat pembalakan yang hanya ingin membuat pembalakan terancang, kita akan menghadapi masalah yang besar," kata Piarapakaran.
Katanya di Perak, banyak hutan hujan di Banjaran Titiwangsa telah dimusnahkan.

Keratan rentas Semenanjung Malaysia menunjukkan bagaimana banjaran itu merupakan tulang belakang kepada kehidupan rakyat Malaysia. Apabila hujan turun, air akan mengalir dari Pantai Timur ke Pantai Barat dengan dikawal oleh pokok-pokok di hutan yang menadah air hujan itu dan melepaskannya perlahan-lahan ke seluruh Semenanjung.

Selebihnya akan diserap ke dalam tanah dan juga menjadi sumber air tanah yang dilepaskan sedikit demi sedikit ke dalam tasik. Ini memastikan sumber air yang berterusan tidak kira pada musim hujan atau pun kemarau.

"Dengan cara itulah hutan menyokong kehidupan kita," kata Piarapakaran.

Kegagalan melindungi khazanah ini boleh mengakibatkan masalah air yang kronik, seperti halnya di Perak.

Dahulu, jarang sekali didengar banjir berlaku di Perak, lebih-lebih lagi di kawasan seperti Larut Matang dan Selama.

Kawasan itu menerima kadar hujan tertinggi di Malaysia iaitu 5,000 milimeter (mm) setahun. Namun, ia tidak pernah dilanda banjir sehinggalah baru-baru ini bila Bukit Larut di Taiping mengalami banjir.

Itu semua gara-gara penebangan hutan yang berleluasa di bukit itu, kata Piarapakaran.

Beliau menerangkan kadar aliran masuk yang rendah ke dalam tanah menyebabkan air hujan mengalir terus ke dalam tasik sehingga berlakunya banjir.

Apabila cuaca panas kembali, tasik itu akan kekeringan dan keseluruhan sumber air akan hilang begitu sahaja.

Katanya perkara itu sudah pun berlaku di Gunung Semanggol, Perak, yang kehilangan sebuah sungai disebabkan aktiviti pembalakan di sekelilingnya.

Katanya negeri-negeri yang mengalami tekanan air yang sama ialah Selangor, Pulau Pinang, Melaka dan Kelantan.

"Lihat sahaja Melaka, yang pernah mengalami krisis air yang teruk. Mengapa? Cubalah lihat berapa hutannya yang tinggal. Hampir tiada, kerana semuanya dikorbankan untuk aktiviti perladangan."

Di Kelantan pula, mana-mana aktiviti pembalakan akan memberi kesan buruk serta-merta kerana tanahnya merupakan tanah liat yang mempunyai paras ketelapan air yang rendah. Ini dicerminkan melalui banjir teruk yang berlaku saban tahun di negeri itu.

Bukan perubahan iklim

Memang selalu didengar pihak yang mengatakan perubahan iklimlah penyebab krisis air, kemarau, banjir dan pelbagai masalah lain.

"Tetapi bukan perubahan iklim semata-mata yang mengakibatkan kekurangan bekalan air. Kita juga telah 'mendera' sistem itu," kata Piarapakaran.

Sistem yang dimaksudkan bukanlah rumit - jika keseimbangan hutan dikacau ganggu, impaknya akan menjejas bekalan air.

0 komen:

Post a Comment