Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak mahu ahli-ahli politik negeri Selangor menghabiskan masa yang banyak dengan berpolitik sahaja tanpa mengira tempat dan masa.
"Di dalam dewan ini, gunakanlah kesempatan yang terhad untuk membincangkan dasar-dasar yang baik dan janganlah berkelakuan yang tidak sepatutnya. Semua ahli dewan harus memberi contoh baik (mengenai) akal budi kepada semua," titah baginda pada majlis perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor ke-12 di sini semalam.
Sultan Sharafuddin bertitah, sebagai Ketua Negeri, baginda ingin melihat Selangor terus berkembang maju dan kerajaan dapat menjalankan amanah kepada rakyat dengan cekap dan lancar.
"Beta sedar dalam politik tidak mungkin ada 100 peratus persetujuan dan memang diakui bahawa sistem semak dan imbang diperlukan bagi memastikan semua kepentingan dapat diteliti," titah baginda yang ingin melihat semua pihak melaksanakan sistem yang ada atas landasan amanah dan bukan isu peribadi akibat perbezaan politik.
0 komen:
Post a Comment