Wednesday, March 31, 2010

Mac bulan menonton ikan paus


AKTIVITI menonton ikan paus berlangsung pada bulan Februari hingga Mac setiap tahun.


TATKALA seekor ikan paus yang besar berwarna kelabu berenang di sisi bot kayu milik Pachico Mayoral, lelaki itu berasa cukup gugup untuk menyentuhnya. 

Seperti nelayan-nelayan yang lain, dia mengetuk botnya menggunakan sebatang kayu untuk cuba menakutkan dan mengusir mamalia gergasi itu. Tetapi dia teragak-agak untuk berbuat demikian. 

"Ikan paus itu enggan menjauhi bot saya. Ia bergerak dari satu bahagian ke bahagian yang lain. 

"Suatu ketika saya ingin tahu apa yang berlaku dan dengan lemah-lembut mengusap paus itu. 

"Tiada apa yang berlaku sebaliknya paus itu tenang," kata Mayoral yang memandu bot membawa pelancong-pelancong merentasi lagun San Ignacio di Mexico. 

Mayoral julung-julung kalinya bertemu ikan paus yang begitu jinak di tapak pembangunan industri pelancongan ikan paus itu pada 40 tahun lalu. 

Kawasan itu terletak tidak jauh dari barat laut Semenanjung Baja California. 

Di situlah ikan paus kelabu itu membiak dan menyusukan anak-anaknya setelah berhijrah beribu-ribu kilometer dari Kanada dan Alaska saban tahun. 

"Ikan-ikan paus ini yang menghampiri kami dan bukan sebaliknya," ujar lelaki berbadan kurus yang sudah pun berusia 68 tahun itu. 

Kini Mayoral dan keluarganya menguruskan salah satu daripada tujuh kem yang mengendalikan pelancongan ekologi itu. 

Aktiviti itu mampu menarik lebih 3,000 pengunjung pada setiap musim yang berlanjutan selama tiga bulan. 

Ikan paus kelabu Pasifik adalah mamalia marin yang dilindungi sejak tahun 1947.

Sehingga tahun 1990-an, bilangannya merudum kepada satu pertiga daripada sekitar 26,000 ekor pada beberapa dekad lalu.

40 tan

SAAT ikan paus mengangkat ekor di permukaan air sentiasa ditunggu-tunggu.


Para saintis berkata, penurunan itu disebabkan pencairan ais di Artik yang secara tidak langsung memberi kesan kepada rantaian makanan termasuk ikan-ikan kecil, sotong dan organisma-organisma kecil. 

Namun ada pula spesies yang sesuai dengan keadaan ini dan bilangannya semakin meningkat. 

Puncak musim aktiviti melihat ikan paus ialah pada Februari dan Mac. 

Para pelancong yang ingin menyaksikan ikan itu akan dibawa dengan bot-bot ke lagun yang kaya dengan variasi hidupan marin. 

Kebanyakan ikan paus yang mencecah berat lebih 40 tan metrik dan berukuran 14 meter panjang dilihat menggelungsur di sebelah kanan bot-bot itu. 

Tetapi ikan-ikan yang jinak sahaja yang menghampiri bot tersebut dan kadangkala diiringi oleh anak-anak ikan lain.

Syarikat-syarikat yang melabur dalam industri pelancongan ikan paus dan para aktivitis turut berganding bahu dengan para saintis serta ahli ekologi bagi mengawal aktiviti pelancongan ini seperti membataskan pelayaran bot-bot di kawasan operasi. 

Seorang ahli biologi marin yang mengkaji lagun itu sejak tiga dekad lalu berkata, kajian mereka tidak mengganggu sifat semula jadi ikan-ikan tersebut.


PELUANG mengusap mamalia terbesar di dunia mungkin hanya datang sekali dalam seumur hidup.


"Ancaman terbesar mereka hari ini, pada asasnya ialah kehilangan habitat kerana pembangunan drastik," kata Schwartz kepada AFP.
 
Baru-baru ini, kerajaan Mexico dan syarikat Mitsubishi Corporation dari Jepun bercadang membina loji penyejatan garam terbesar dunia berhampiran tapak berkenaan. 

Mereka juga menggalakkan pelancongan ekologi dalam skala kecil di sekitar lagun itu yang merupakan Tapak Warisan Dunia Unesco. 

"Tidak bermakna disebabkan kawasan ini merupakan taman semula jadi maka syarikat multinasional boleh menjejaki tempat ini dan membelinya. 

"Mengikut undang-undang Mexico, tanah berkenaan masih milik persendirian ataupun milik kolektif," ujar Pengarah Eksekutif Kumpulan Ekologikal Wild Coast, Serge Dedina. 

Kumpulan itu bersama pencinta alam sekitar lain telah membina ikatan dengan pemilik-pemilik tanah di sekitar lagun berkenaan. 

Bukan semua warga tempatan dapat melihat faedah pelancongan ekologi itu. 

Para nelayan yang mengetuai lawatan melihat ikan paus itu sendiri masih bergelut untuk meneruskan kehidupan di luar musim menonton ikan paus. 

Apa pun, Mayoral memang berminat terhadap lawatan ke lagun itu walaupun sudah lebih 40 tahun menjadi nelayan. 

"Adakah saya rasa takut sekarang? Tidak, tidak sama sekali," katanya yang mengemudikan sebuah bot nelayan yang penuh dengan para pelancong untuk merentasi lagun itu. 

Katanya, dia berasa macam hendak berenang bersama ikan-ikan paus itu. 

"Kita mesti menjaga sumber ini dengan baik. Tiada siapa yang tahu berapa lama ia akan kekal untuk menjadi tontonan orang ramai," katanya. 

Sumber: AFP

0 komen:

Post a Comment