Sunday, January 21, 2018

Persija Jakarta juara Piala Super Boost Sportsfix


Kelab dari Indonesia, Persija Jakarta mencipta sejarah selepas muncul juara Kejohanan Bola Sepak Jemputan Piala Super Boost Sportsfix yang melabuhkan tirai, hari ini.

Kejayaan tersebut dibantu oleh kegagalan kelab Liga Super, Kelantan yang tewas mengejut 3-4 kepada kelab Thailand, Ratchaburi Mitr Phol FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Persija muncul juara kejohanan yang julung kali diadakan itu menerusi kelebihan jaringan berbanding pasukan Kelantan dan Ratchaburi FC walaupun ketiga-tiga pasukan berkenaan mengutip tiga mata.

Pada aksi malam ini, Ratchaburi FC terlebih dahulu berada di depan menerusi pemain import dari Korea Selatan, Kang Soo-il yang menyudahkan hantaran silang Phillip Roller pada minit ke-10 sebelum Do Dong Hyun menyamakan kedudukan untuk Kelantan pada minit ke-20.

Kelalaian benteng pertahanan Kelantan dihukum oleh Narakorn Noomchansakul yang menyudahkan hantaran Phillip Roller pada minit ke-36 dan keputusan 2-1 itu kekal sehingga berakhir babak pertama perlawanan.

Sebaik sahaja perlawanan bersambung, kedua-dua pasukan saling bertukar asakan namun tuah lebih memihak pasukan Ratchaburi yang meraih gol ketiga menerusi Roller yang melepaskan rembatan daripada luar kotak penalti bagi menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-55.

Kelantan bangkit menyusun kembali corak permainan dan berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi pemain import baharu dari Brazil, Bruno Lopes pada minit ke-74, sebelum pemain import dari Indonesia, Ferdinand Alfred Sinaga menjadikan kedudukan terikat 3-3, selang empat minit kemudian.

Kesilapan Khairul Fahmi yang tertampan percubaan pemain gantian Ratchaburi FC, Sila Srikampang ke dalam gawang sendiri pada minit ke-89 memberikan kemenangan kepada pasukan dari Thailand itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Lokman Hakim Ali menyampaikan piala kejohanan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Total Sports Asia, Marcus Luer yang mewakili pasukan Persija Jakarta yang telah pulang ke Indonesia pada Rabu lepas.

BERNAMA

Saturday, January 20, 2018

China Larang Pelajar Kunjungi Masjid


Pihak berkuasa di barat laut negara itu melarang para pelajar sekolah untuk mengunjungi masjid ketika cuti musim sejuk, menurut laporan akhbar harian tempatan Global Times.

Larangan tersebut merupakan langkah pihak berkuasa untuk mengetatkan peraturan melibatkan kebebasan beragama.

Lapor akhbar berkenaan, notis larangan terbabit telah dihantar ke semua sekolah tinggi, sekolah rendah dan tadika di daerah Guanghe, wilayah Gansu.

“Semua sekolah harus memastikan pelajar tidak memasuki tempat keagamaan bagi sebarang kegiatan ketika cuti musim sejuk,” kata notis tersebut seperti dipetik oleh Global Times.

Notis itu disahkan oleh jabatan publisiti tempatan daerah itu.

Menurut laman web kerajaan daerah, sekitar 98 peratus daripada 257,000 penduduk Guanghe adalah etnik minoriti, kebanyakannya merupakan penganut Islam Hui dan kumpulan Dongxiang. 

AFP

Sunday, May 20, 2012

Kelantan Akhiri Penantian 22 Tahun, Muncul Juara Piala FA

PEMAIN pasukan Kelantan yang menjuarai Piala FA 2012 malam tadi akan menerima ganjaran setimpal dan perkara itu akan diumumkan Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) dalam masa terdekat, kata Presidennya Tan Sri Annuar Musa.

"Nilai imbuhan bagi setiap pemain tidak boleh saya beritahu lagi... saya yakin dalam dua tiga hari lagi Kafa sendiri yang akan memaklumkan kepada media," katanya

KUALA LUMPUR: Kelantan mengukir sejarah apabila berjaya menamatkan penantian selama 22 tahun untuk menjulang Piala FA buat kali pertama, setelah menewaskan pasukan berstatus kelab, Sime Darby 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Beraksi di hadapan kira-kira 85,000 penonton, pasukan yang terkenal dengan gelaran 'The Red Warriors' itu melancarkan serangan ke kubu Sime Darby seawal minit pertama namun berjaya dipatahkan ketua pasukan Sime Darby, Es Lizuan Zahid Amir. 

Pemain tengah Kelantan Indra Putra Mahayuddin pula gagal memanfaatkan peluang sepakan percuma yang diberi pengadil pada minit ke-15 apabila cubaanya tersasar dari gawang gol yang dikawal Mohd Redzuan Harun. 


Kecewa gagal memecahkan kebuntuan terikat 0-0 pada babak pertama, Red Warriors yang nyata pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan meneruskan asakan yang akhirnya membuahkan hasil apabila dihadiah sepakan penalti pada minit ke-58.

Peluang itu tidak disia-siakan pemain import Kelantan Mohammed Ghaddar yang menceriakan penyokong Red Warriors.

Tersentak dengan jaringan itu, Sime Darby bangkit melakukan beberapa serangan berbahaya namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat. 

Mohammed Ghaddar cuba menggandakan jaringan namun sepak deras yang dilakukan olehnya pada minit ke-79 tersasar. 

Kelebihan satu gol itu gagal dibatalkan Sime Darby yang akur menyaksikan Piala FA dijulang pasukan Kelantan. Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli menyampaikan trofi kepada Red Warriors. 

Ketua pasukan Sime Darby Es Lizuan pula diumum pemain terbaik perlawanan. 

BERNAMA

Perang Psikologi Milik Kelantan

Penyokong Sime Darby tetap imbangi sorakan di Bukit Jalil

BERTEMU Sime Darby, pasukan berstatus kelab dan baru dua tahun ditubuhkan - memberi Kelantan kelebihan pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi apabila hampir tiga perempat ruang tempat duduk diisi penyokong The Red Warriors.

Sebelum perlawanan, semuanya tampak berpihak kepada skuad kendalian Bojan Hodak yang membariskan pemain handalan tempatan dan sokongan padu penyokong sendiri, tetapi elemen itu turut memberi kekuatan kepada Sime Darby yang mahu melakukan kejutan.


Perang sepanduk di dalam stadium juga tampak berpihak kepada Kelantan dengan salah satu daripadanya berbunyi: “Piala FA Hok Kawe” (Piala FA Milik Kami), tetapi keputusan sebenar hanya akan ditentukan di atas padang.

Kedua-dua pasukan memburu piala pertama dalam sejarah kejohanan dengan Kelantan beraksi buat kali ketiga pada final manakala Sime Darby mara buat julung kali dengan rekod baru sebagai kelab pertama beraksi di final Piala FA.

Kelantan yang dua kali kecewa pada aksi final - di tangan Selangor pada 2009 dan Terengganu tahun lalu - mempunyai misi wajib menang, apa lagi bertemu pasukan mentah seperti Sime Darby.

Bagaimanapun anak buah Ismail Zakaria tampak sudah bersedia secara fizikal dan mental berdepan Kelantan dan sorakan padu penontonnya, malah seperti menggunakan sorakan itu untuk mencetus semangat mereka. 

Apa pun percaturan Hodak dan Ismail, semuanya bergantung kepada ketahanan mental dan disiplin pemain masing-masing mengharungi 90 minit permainan dan masa tambahan sekiranya permainan dilanjutkan.

Sumber: BH

Red Warriors Cuba Tiga Kali Muncul Juara Tewaskan Sime Darby

TANGISAN Kelantan - dua kali gagal sebelum ini - akhirnya terubat apabila buat julung kali berjaya menjulang Piala FA selepas sepakan penalti menjadi garis pemisah kemenangan mereka menewaskan Sime Darby 1-0 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.


Mohammad Ghaddar muncul wira pasukan dengan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-58.

Kelantan merakam sejarah tersendiri selepas tiga kali mencuba (2009, 2011 dan 2012), tetapi lawan kerdil dari Liga Perdana itu juga harus diberi pujian pada aksi sulung di pentas final apabila mempamerkan persembahan mantap sehingga tamat permainan.

Anak buah Bojan Hodak yang hadir dengan reputasi juara Liga Super, musim lalu seharusnya merakam kemenangan lebih besar tetapi kekentalan benteng pertahanan lawan kendalian Ismail Zakaria memaksa The Red Warriors berusaha lebih keras sebelum dapat memecah kebuntuan.

Sime Darby mencuba dan memberi segala yang terdaya namun keringat mereka itu gagal mengikut jejak langkah satu lagi kelab, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) yang layak ke final kejohanan besar apabila muncul juara baru Piala Malaysia pada 2003.

Sebaik babak pertama bermula, Kelantan menguasai permainan tetapi gagal menembusi benteng Sime Darby yang dikawal kapten pasukan, Es Lizuan Zahid Amir serta penjaga gol, Redzuan Harun yang menyelamatkan dua percubaan tepat oleh pelawat sepanjang 45 minit pertama permainan. 

Sime Darby turut memiliki beberapa peluang terbaik menembusi benteng Kelantan menerusi serangan balas tapi gagal dalam penyudahan. Usaha terbaik muncul pada minit ke-45 menerusi larian solo Patrick Wleh dari garisan tengah, tetapi hantarannya gagal menemui rakan sepasukan.

Selepas rehat, kedua pasukan saling berbalas serangan tetapi Kelantan terlebih dulu berpeluang membolosi gawang lawannya menerusi sepakan penalti Ghaddar pada minit ke-58. Penalti diberi pengadil selepas Obinna Nwaneri dijatuhkan oleh benteng Sime Darby.

Kemasukan Razali Umar Kandasamy sebelum itu hampir meletakkan Sime Darby kembali seimbang dengan Kelantan, tetapi peluang tiga lawan satu sejurus selepas ketinggalan, gagal dimanfaatkan jentera serangan tuan rumah. Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat permainan.

Sumber: BH