Thursday, January 19, 2012

Mat Yo Saingi Pemain Pmport

KOTA BHARU - Meskipun saingan Liga Malaysia musim ini dibarisi pemain import, penyerang prolifik Kelantan, Norshahrul Idlan Tahala terus membuktikan sentuhannya semakin berbisa apabila membantu Red Warriors menewaskan Johor FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin.

Gol jaringannya pada minit ke-72 sudah cukup untuk memastikan Kelantan meraih tiga mata penuh buat kali pertama di gelanggang sendiri selepas diikat PNKS dalam perlawanan sebelum ini.

Norshahrul Idlan Talaha (kiri) dicabar pemain Johor FC, Khairi Kiman pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, kelmarin.

Norshahrul atau Mat Yo berkata, jaringan tersebut merupakan pembakar semangat buat dirinya untuk membuktikan kemampuan anak tempatan mampu bersaing dengan pemain import yang beraksi dalam saingan musim ini.

"Ini merupakan gol kedua peribadi saya selepas perlawanan di Singapura. Cita-cita saya selepas ini ialah untuk terus mendapatkan seberapa banyak jaringan untuk membantu pasukan meraih kemenangan dalam setiap perlawanan selepas ini.

"Sejak awal musim lagi saya menanam azam untuk menjaringkan seberapa banyak gol dan bersaing dengan pemain import yang beraksi dalam saingan liga tahun ini," katanya kelmarin.

Tambahnya, dia berharap rakan-rakan sepasukannya dapat membantunya untuk menjaringkan gol bagi memastikan Kelantan mengekalkan kejuaraan musim ini.

Mengulas kejayaan menumbangkan Johor FC dalam aksi ketiga Liga Super kelmarin, Mat Yo berkata kemenangan tersebut adalah adalah hasil kerja keras rakan sepasukan.

"Saya gembira dengan kejayaan ini. Kita telah bekerja keras sepanjang 90 minit perlawanan. Walaupun gagal menjaringkan gol pada babak pertama, namun kita berjaya bangkit pada babak kedua dan berjaya menjaringkan dua gol.

"Kemenangan ini bukan milik saya seorang tetapi ia milik rakan-rakan sepasukan yang tidak mudah berputus asa walaupun dikejutkan dengan jaringan penyamaan pelawat. Untuk perlawanan akan datang saya harap kita dapat mengekalkan momentum ini untuk meraih seberapa banyak mata," ujarnya.

Sunday, January 15, 2012

Kapal Mewah terbalik

ROM - Sekurang-kurangnya tiga orang terkorban dan empat lagi hilang semalam selepas sebuah kapal persiaran tersadai dan terbalik terbalik dekat sebuah pulau di perairan selatan Itali.

Kapal persiaran Costa Concordia sedang dalam perjalanan di sekitar Laut Mediterranean apabila ia terlanggar terumbu karang dekat Pulau Isola del Giglio, 15 kilometer ke selatan tanah besar Itali sekitar pukul 10 malam (waktu Itali) kelmarin.

Kemalangan berlaku ketika para penumpang sedang makan malam.

PENUMPANG kapal Costa Concordia tiba di Pelabuhan Porto Santo Stefano, wilayah Tuscany di Itali semalam.

Menurut media tempatan, beberapa penumpang terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri.

Pihak berkuasa tempatan menyatakan, sebahagian daripada 3,200 penumpang dan 1,023 kru kapal sepanjang 290 meter itu dipindahkan dengan menggunakan beberapa buah bot kecemasan, helikopter dan kapal lain yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

KAPAL persiaran Costa Concordia senget semalam selepas ia terlanggar kawasan batu karang dekat pulau Giglio, Itali.

"Berlaku senario panik seperti dalam kapal Titanic. Kapal kami melanggar kawasan berbatu dekat Pulau Isola del Giglio. Saya tidak tahu bagaimana perkara ini boleh berlaku. Kapten kapal ini tentunya sudah gila," kata seorang penumpang, Mara Parmegiani.

"Kami amat takut dan kesejukan kerana kemalangan berlaku semasa kami sedang makan malam. Kami tiada masa untuk membuat persediaan. Mereka (pasukan penyelamat) ada memberi selimut tetapi bilangannya tidak mencukupi," tambah Parmegiani.

GAMBAR fail pada April 2009 menunjukkan kapal persiaran Costa Concordia.

Para penumpang yang dipindahkan dibawa ke pulau Giglio sebelum ditempatkan di beberapa buah sekolah, kediaman persendirian dan gereja untuk semalaman.

Agensi berita Itali, Ansa memetik beberapa petugas penyelamat sebagai memberitahu, sekurang-kurangnya tiga orang maut manakala sejumlah lagi cedera tetapi punca kematian mereka tidak diketahui setakat ini.

Menurut Ansa, seorang lelaki berusia 70-an maut akibat serangan jantung selepas terjun ke dalam laut.

Seorang pengawal pantai tempatan, Francesco Paolillo berkata, terdapat lubang sebesar 30 meter pada badan kapal berkenaan.

Kapal Costa Concordia memiliki 58 bilik penginapan bertaraf suite lengkap dengan balkoni, 13 buah bar, lima jakuzi, lima restoran, dan empat kolam renang. - Agensi