Thursday, September 22, 2011

Tidak Sempat Jamah Sarapan

KOTA BHARU- Hasrat dua beranak menjamah sarapan terbantut apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Baung semalam. 

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.00 pagi itu bukan sahaja memusnahkan rumah kayu peninggalan keluarga, malah dua motosikal dan sebuah kereta kancil hangus dalam kejadian itu. 


Mangsa Zahara Abu Bakar 63, berkata kebakaran hanya disedarinya selepas melihat kepulan asap dari dapur rumah. 

“Ketika itu saya dan anak saya, Masitah Mohammad 19 yang ketika sedang menikmati sarapan pagi. 

”Melihat kepulan asap itu, saya terus memberitahu anak saya yang kemudian menyuruh kakaknya Siti Asiah 24, yang ketika itu sedang berehat di ruang tamu membawa saya keluar dari rumah,” katanya. 

Zahara berkata, ketika kejadian berlaku dia dan dua anaknya sahaja yang berada dalam rumah, manakala suaminya Mohamad Ibrahim, 64, tiada kerana keluar bekerja. 

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Saipu Bahari Mat Noor ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.25 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian. 

Menurutnya, seramai 21 anggota dari dua buah balai iaitu Pengkalan Chepa dan Kota Bharu bersama lima jentera telah dikejarkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja pemadaman dan menyelamat. 

Saipu berkata, kebakaran ini melibatkan sebuah rumah kayu dan motosikal dan Perodua Kancil. 

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kerugian dianggarkan berjumlah RM160,000. Punca sebenar kebakaran ini masih disiasat,” katanya.

Tiga Maut Dalam Sejam

KOTA BHARU- Dalam tempoh sejam, tiga terbunuh dalam kemalangan berasingan di Panji, Kadok dan Kubang Kerian, dekat sini, malam kelmarin. 

Kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal, pemandu lori dan pejalan kaki berlaku antara jam 7.15 hingga 8.05 malam dalam keadaan hujan renyai. 

Kejadian pertama, membabitkan sebuah van Nissan Vanette yang membuat pusingan U di Kampung Paya Lada, Kadok sebelum dirempuh sebuah lori yang dipandu Kheng Jin Sing, 48, bersama kelindannya, kira-kira jam 7.15 malam. 

Van berkenaan yang datang dari arah Ketereh dipercayai membuat pusingan U sebelum dilanggar lori terbabit yang datang dari arah bertentangan. 

Dalam kejadian itu, pemandu lori terbabit, maut manakala kelindannya cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. 

Sementara itu dalam kejadian kedua, seorang warga emas yang berjalan kaki, maut dirempuh sebuah motosikal ketika dia sedang melintas jalan berhampiran Istana, Kubang Kerian, kira-kira jam 7.45 malam. 

Kejadian dipercayai berlaku, ketika mangsa Wan Meriah Wan Sulaiman, 55, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunaikan solat Maghrib di sebuah masjid berdekatan. 

Dipercayai penunggang motosikal terbabit turut mengalami kecederaan dan masih menerima rawatan di HUSM Kubang Kerian. 


Dalam kejadian di Panji, seorang remaja maut apabila motosikal yang ditungganginya di rempuh sebuah lori ketika lampu isyarat tidak berfungsi berikutan bekalan elektrik terputus di kawasan berkenaan. 

Mohd Adli Sham Saupi, 19, terperosok di bawah lori dan disahkan mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala. 

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.05 malam, ketika motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Panji ke Pulau Melaka sebelum dirempuh sebuah lori yang dalam perjalanan dari arah Kubang Kerian ke Pengkalan Chepa. 

Akibat perlanggaran itu, mangsa telah terperosok di bawah lori dan disahkan maut di tempat kejadian. 

Ketua Polis Daerah Kota Baharu, Assistant Komisiner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Rekod Lama Ukan Jadi Ukuran

KOTA BHARU – Dua kali bertemu Johor FC di tempat lawan sepanjang musim ini dan kedua-dua keputusan berpihak kepada Kelantan namun itu bukan jaminan mutlak bagi skuad kendalian Datuk M Karathu mudah mencipta kemenangan apabila membuat perhitungan dengan pasukan berstatus kelab di Stadium JCorp, Pasir Gudang pada Sabtu ini. 


Hakikat ini diakui sendiri pemain pertahanan, Mohd Farisham Ismail yang menganggap tiket ke suku akhir masih belum terjamin buat Kelantan melainkan perlu menewaskan Johor FC dalam perlawanan tersebut. 

“Perlawanan ini cukup penting bagi menentukan untung nasib kita dalam saingan kempen Piala Malaysia musim ini. Kita tidak mempunyai pilihan selain perlu mencatatkan kemenangan walaupun mereka juga turut berpeluang untuk ke suku akhir sekiranya mampu mengalahkan kita,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam. 

“Rekod pertemuan lalu tidak lagi boleh diambil kira walaupun kita pernah mengalahkan mereka sebanyak dua kali di Pasir Gudang sepanjang musim ini. Sudah pasti mereka akan bermain mati-matian untuk mengalahkan kita dalam pertemuan ini. 

“Apa yang saya harapkan daripada rakan sepasukan yang lain kita harus memberikan fokus lebih dalam perlawanan ini. Tiga mata ini cukup penting bagi kita mengesahkan tempat layak ke suku akhir,” katanya. 

Menurut Farisham, kejayaan Kelantan mengalahkan Sarawak 4-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu tempohari menyuntik semangat rakan sepasukannya yang lain untuk mengulangi perkara yang sama apabila bertandang ke Pasir Gudang pada Sabtu ini. 

“Saya sudah bersedia sekali lagi untuk mempamerkan aksi terbaik menerajui benteng pertahanan Kelantan bagi mengekang serangan pasukan Johor FC yang diketuai Mohd Khairul Ismail. 

Sementara itu, Mohd Farisham menegaskan sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab setelah dipilih oleh jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal untuk menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Australia pada 7 Oktober nanti. 

“Peluang menentang pasukan Socceroos tidak harus dilepaskan begitu sahaja dalam menimba pengalaman. Saya berjanji akan buat yang terbaik jika dipilih beraksi dalam perlawanan tersebut,” katanya. 

Dua hari lalu, Rajagobal mengumumkan barisan pemain yang akan menghadapi perlawanan persahabatan tersebut dengan tiga pemain iaitu Mohd Farisham Ismail, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat dipilih menganggotai skuad kebangsaan tersebut sementara Mohd Shakir Shaari dan S Chanturu pula digugurkan.