Tuesday, September 20, 2011

Red Warriors Mula Bangkit

KOTA BHARU - Selepas tumpas mengejut kepada Felda United Rabu lalu, Kelantan kembali mempamerkan watak sebagai pasukan pilihan apabila membelasah pasukan tercorot Kumpulan C, Sarawak 4-0 pada saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohammed IV, kelmarin.

Kemenangan tersebut cukup bermakna buat jurulatih Datuk M.Karathu yang gembira dengan peningkatan pemain, berbanding ketika menentang Sarawak pada 6 September lalu di Kuching.

Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (jersi merah) melakukan percubaan ke arah pintu gol Sarawak pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohammed IV, kelmarin. 

"Saya gembira dengan komitmen pemain yang tidak mudah putus asa untuk mendapatkan gol walaupun pasukan lawan memilih untuk bermain secara bertahan. "Inilah realiti bola sepak di mana kita dapat melihat Sarawak mampu menyerap tekanan ketika terikat tanpa jaringan dan mereka begitu bersemangat untuk bertahan.

"Jaringan pertama yang kita raih dapat merupakan titik tolak kebangkitan Red Warriors. Jika kita mampu jaringkan gol pada babak pertama, mungkin lebih banyak jaringan mampu dihasilkan.

"Tiga mata ini sangat berharga. Kita tidak boleh tercicir mata lagi. Pemain tahu apa yang mereka perlu buat malam tadi (kelmarin) dan hasilnya kita lakukan apa yang sepatutnya kita buat," katanya.

Pada perlawanan kelmarin, Kelantan dipaksa berhempas pulas sebelum mendapat jaringan pertama pada minit ke-79 menerusi ketua pasukan Mohd. Badri Radhi.

Gol tersebut melonjakkan semangat pemain tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua menerusi Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-87 sebelum pemain gantian Danial Fadzly Abdullah menambah derita pelawat seminit kemudian.

Pada minit akhir permainan, Mohd. Badri membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila menambah koleksi jaringan kedua peribadi.

Kemenangan tersebut membolehkan Red Warriors selesa menghambat peneraju kumpulan, Felda United apabila kini hanya dibezakan satu mata.

Karathu juga mengakui pemainnya lambat panas sehingga terpaksa menunggu minit ke-79 untuk menghasilkan gol pertama biarpun banyak peluang terhidang sebelum itu.

"Semua boleh lihat bagaimana kita mempunyai banyak peluang tetapi gagal disempurnakan pada babak awal permainan.

"Ia situasi yang sangat sukar dan sekurang-kurangnya kita perlu menjaringkan gol dalam tiga percubaan.

"Saya rasa pemain turun dengan semangat untuk memenangi perlawanan selepas kita tewas kepada Felda United tempoh hari.

"Dalam bola sepak menjaringkan gol adalah sangat penting, kalau kita main baik tapi gagal menghasilkan gol, ia suatu kegagalan," katanya.

Kereta Putus Lekat di Tiang

PUTRAJAYA: “Ketika sampai di tempat kejadian, saya melihat kereta mangsa putus dua, kaki mangsa terperosok di bahagian pedal minyak manakala beberapa cebisan dipercayai otak mangsa melekat di tempat duduk belakang,” kata seorang saksi kemalangan maut di sini, semalam.

Menurut saksi yang enggan dikenali itu, dia adalah antara yang terawal melihat kejadian terbabit di Kilometer 7.2, Persiaran Selatan berhampiran susur keluar Pusat Konvensyen Antarangsa Putrajaya (PICC).


“Saya bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan rakan mengenai kemalangan berkenaan, namun sebaik tiba saya melihat anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduknya.

“Ketika itu saya ingat mangsa masih hidup, tetapi rupanya dia sudah meninggal dunia. Keadaan kereta mangsa terputus dua, enjin serta dua tayar depan tercampak tidak jauh dari tiang lampu yang dilanggarnya,” katanya, ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam kemalangan pada jam 5.25 petang itu, mangsa Mohammad Rasydan Rasid, 20, yang dikatakan dalam perjalanan dari Dengkil, Sepang ke Putrajaya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Polis, Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memandu laju mengakibatkan kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu.

Katanya, akibat rempuhan itu, kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu mangsa terputus dua.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika mengambil selekoh lalu merempuh tiang lampu di tempat kejadian.

“Mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Pihak Bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa, sebelum dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat,” katanya.

Lambat Panas Tapi Mengganas

KOTA BHARU - Menguasai hampir keseluruhan perlawanan namun gagal menjaringkan gol, begitulah anggapan ramai sebelum anak buah Datuk M Karathu kembali bangkit pada 10 minit babak terakhir dengan meledakkan empat gol dalam aksi pertemuan menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam semalam. 


Dua gol daripada Kapten, Muhd Badhri Radzi dan satu gol masing-masing menerusi Norshahrul Idlan Talaha dan pemain gantian, Danial Fadzly Abdullah membutirkan kemenangan bermakna di hadapan hampir 5,000 penyokong The Red Warriors.. 

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu gembira betapa skuad kendaliannya berada di landasan tepat untuk mengetuk pintu laluan ke suku akhir. 

“Nak kata kita lambat panas boleh jadi, tapi ini memberi kesulitan (menjaringkan gol) kepada kita sendiri. Mengharungi 79 minit perlawanan dengan kesukaran untuk menjaringkan gol namun akhirnya saya gembira dengan kemenangan ini,” katanya sejurus perlawanan berakhir, malam semalam. 

Menurutnya, situasi itu tidak boleh berlaku apabila bertemu pasukan yang kuat masa akan datang. 

“Dalam bola sepak, kalau kita dapat tiga peluang pada satu-satu masa, kita harus memanfaatkannya dengan menjaringkan satu gol. 

“Dalam perlawanan ini, kita mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol. Saya fikir pemain saya mempunyai kemahuan yang kuat untuk mencatatkan selepas kalah kepada KL Felda United FC tempoh hari. 

“Mereka banyak menyerang, menguasai perlawanan dengan baik cuma jaringan sahaja tidak hadir pada masanya,” katanya. 

Sambil menyifatkan gol pertama pada penghujung perlawanan menjadi detik kebangkitan anak buahnya dalam perlawanan tersebut, Karathu sekali lagi memberi ingatan kepada pemainnya untuk tidak mendabik dada menghadapi baki dua perlawanan selepas ini. 

“Inilah bola sepak. Kalau kita bermain cantik dan menguasai perlawanan tetapi tidak berjaya menjaringkan gol pun tiada guna. Anda boleh lihat pemain Sarawak cukup bersemangat mengekang asakan kita ketika kedudukan masih terikat tanpa jaringan dalam perlawanan ini. 

“Kemenangan ini tidak melekakan sebaliknya menjadi titik tolak kepada kebangkitan kita. Berapa gol kita jaring itu tidak penting kerana saya hanya mahukan tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya. 

Ditanya mengenai prestasi turun naik Ketua Pasukannya, Muhd Badhri dalam perlawanan itu, Karathu jelas berpuas hati dengan sumbangan dua gol daripada pemain tersebut.

Filem Hantu Bonceng didakwa Hina Rasulullah SAW

SHAH ALAM - Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), perlu mempunyai badan syariah bagi memantau filem berbaur penghinaan terhadap Islam tidak diterbitkan.

Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, ini dapat dilihat apabila filem `Hantu Bonceng’ arahan Ahmad Idham Ahmad Nazri dilakonkan Mohd Razizan Abd Razak (Zizan) jelas menghina Rasulullah SAW apabila Zizan menyebut Asyhadu anna Muhammadar Syaitan membawa maksud `Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan’.


Beliau berkata, kalimah syahadah bukan perkataan boleh dijenakakan atau dipersendakan kerana ia boleh menggugurkan syahadah walaupun ia sekadar lakonan. 

“Ini akan mencetus kekeliruan dan gambaran salah masyarakat terhadap Islam, lebih berisiko apabila ia turut merosakkan aqidah masyarakat.

“Kami mempersoalkan panel penapisan di LPF dan Finas kerana membenarkan filem yang ditayangkan untuk tontonan umum wujud babak yang menimbulkan kontroversi.

“Lebih malang, pihak berkuasa agama mengambil sikap berdiam diri, malah kini terdapat lambakkan filem tahyul dan karut untuk tontonan umum di televisyen tanpa sebarang tindakan berkesan oleh berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Idham yang dihubungi Sinar Harian baru-baru ini, menyifatkan isu berkenaan hanyalah usaha segelintir pihak yang cuba untuk mencari publisiti atas kejayaan filemnya.

“Filem ini sudah diluluskan untuk tayangan oleh pihak yang bertanggungjawab termasuk Finas dan LPF.

“Sebelum membuat filem ini, saya terlebih dahulu meminta pandangan dan nasihat daripada mereka yang arif seperti ulama dan mereka yang mempunyai ilmu agama yang tinggi,” katanya.

Nasrudin berkata, kerajaan harus meneliti perkara ini, jangan dibiarkan filem menjadi medium untuk menghina agama, mempersenda dan memperkecilkan Islam di dalam negara ini.