Monday, September 19, 2011

Hampiri Ke Suku Akhir

KELANTAN 4 

Muhd Badhri Radzi (m-79,91) 
Norshahrul Idlan Talaha (m-87) 
Danial Fadzly Abdullah (m-88) 

SARAWAK 0


KOTA BHARU – Tempoh 21 minit terakhir menjadi detik paling indah bagi The Red Warriors yang berjaya bangkit membelasah Sarawak 4-0 dalam aksi perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi. 

Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi menjadi watak penting atas kebangkitan pasukan Kelantan pada penghujung babak kedua setelah lebih sejam anak buah Datuk M Karathu terpaksa bertungkus-lumus merobek pintu gol Sarawak yang ternyata cukup sukar ditembusi dalam perlawanan malam tadi. 

Kemenangan tersebut mencerahkan peluang Kelantan untuk mengisi salah satu slot ke suku akhir dan perlu menewaskan Johor FC pada pertemuan Sabtu ini untuk mengesahkan tempat berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik. 

Seawal minit keempat, Kelantan memulakan ancaman merbahaya menerusi hantaran lintang Mohd Nurul Azwan Roya yang menyaksikan penjaga gol, Aidil Mohamad pantas meluru keluar menyelamatkan keadaan biarpun cuba dicabar Muhd Badhri Radzi. 

Pada m-15, Kelantan terlepas peluang apabila rembatan kencang Mohd Shakir Shaari gagal ditangkap kemas Aidil, namun Norshahrul Idlan Talaha gagal memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan pintu apabila bola sempat dikeluarkan pemain pertahanan Sarawak. 

Tiga minit kemudian, Muhd Badhri bijak melakukan umpanan cantik kepada Norshahrul Idlan di dalam kotak penalti, namun pemain pertahanan Sarawak, Mohamad Fareez Tukijo pula lebih pantas membaca hantaran tersebut. 

Pada m-21, berpunca satu serangan balas pantas, Kelantan hampir menjelmakan gol pertama mereka tetapi rembatan kencang Norshahrul Idlan sekali lagi diselamatkan Aidil. 

Tiga minit berselang, badi kesukaran menembusi pintu gol Sarawak sekali lagi terserlah apabila ketangkasan Aidil di gawangnya memastikan sepakan percuma menarik Muhd Badhri sekali lagi diselamatkannya. 

Pada m-36, Azammuddin Mohd Akil mensia-siakan peluang terbaik apabila gagal menampan kemas hantaran lintang S Chanturu Mohd Akil biarpun berada dalam kedudukan yang selesa untuk menjaringkan gol. 

Sarawak yang tampil dengan corak permainan bertahan dengan meletakkan Bobby Gonzales sebagai penyerang tunggal turut mempunyai peluang untuk menggegarkan jaring pada m-40 namun rembatannya jauh tersasar daripada pintu gol Kelantan. 

Pasukan Sarawak bangkit mempamerkan persembahan lebih agresif dan hampir memperoleh peluang untuk memecahkan kebuntuan jaringan tatkala perlawanan baru enam minit bersambung pada babak kedua. 

Salah faham antara S Subramaniam dengan Mohd Daudsu Jamaludin hampir mengundang padah apabila pemain Sarawak, Ashri Chuchu bijak merebut bola dan sempat melepaskan rembatan namun Mohd Shahrizan Ismail pantas menutup ruang bagi memastikan pintu golnya tidak dibolosi. 

Namun percubaan tersebut dikira satu-satunya peluang terbaik bagi skuad Bujang Senang kerana selepas itu barisan pemain Datuk M Karathu tidak lagi membenarkan pasukan pelawat bermaharajalela sebaliknya kembali menguasai hampir keseluruhan perlawanan pada babak tersebut. 

Muhd Badhri berjaya menebus kembali kekecewaan sebelum itu apabila memecahkan kebuntuan dengan menjaringkan gol pertama untuk Kelantan pada m-79. Berpunca lorongan cantik Mohd Shakir ke dalam kotak penalti, Muhd Badhri bijak memperdayakan dua pemain pertahanan Sarawak dan rembatan kaki kirinya berjaya menewaskan Aidil untuk gol pembukaan Kelantan. 

Ternyata gol tersebut membakar semangat juang barisan pemain Kelantan untuk menambahkan jaringan selepas itu. Lapan minit kemudian, pintu gol Sarawak bolos lagi kali ini menerusi gerakan menarik satu dua di antara penyerang sensasi, Norshahrul Idlan dengan Muhd Badhri. 

Norshahrul Idlan bijak memanfaatkan gerakan tersebut dengan melepaskan rembatan leret di dalam kotak penalti untuk menghasilkan gol kedua Kelantan. 

Seminit kemudian, Muhd Badhri terus menjadi watak penting dalam perlawanan malam tadi apabila membantu Kelantan memperoleh gol ketiga. Pemain gantian, Danial Fadzly Abdullah mengukir nama sebagai penjaring gol apabila menyempurnakan lorongan cantik Muhd Badhri di dalam kotak penalti dengan merembat masuk untuk gol ketiga Kelantan. 

Semangat juang pemain Sarawak akhirnya terpadam pada minit-minit akhir perlawanan setelah Muhd Badhri menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan malam tadi. Berpunca hantaran lintang Norshahrul Idlan ke dalam kotak penalti, Mohd Nizab bijak mengumpan kepada Muhd Badhri yang tidak dikawal dan melepaskan rembatan kencang untuk gol keempat Kelantan.

Kelantan Bangkit Tunjuk Taring

FELDA United muncul pasukan pertama layak suku akhir Piala Malaysia 

WALAUPUN sekadar seri 1-1 menentang Johor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi tetapi ia sudah memadai buat FELDA United muncul pasukan pertama layak ke suku akhir saingan Piala Malaysia, musim ini.


Skuad bimbingan E Elavarasan itu kini sudah menghimpun 10 mata ketika saingan masih berbaki dua perlawanan pada malam yang menyaksikan Kelantan bangkit garang pada 10 minit terakhir membelasah Sarawak 4-0 di di Stadium Sultan Muhammad IV.

Bagaimanapun, FELDA ketinggalan pada minit ke-38 apabila pelawat mendahului menerusi jaringan Mohamad Izuan Jarudin yang menanduk sepakan percuma rakan sepasukan, Md Khairul Ismail, tetapi tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-67 menerusi Mohd Azrul Ahmad. 

Dua gol oleh ketua pasukan, Mohd Badri Mohd Radzi pada minit ke-80 dan 90 serta masing-masing satu gol daripada Norshahrul Idlan Talaha (m-87) dan Daniel Fadzli Abdullah (m-88) membolehkan The Red Warriors memadam episod duka tewas mengejut kepada Felda United 2-0, Rabu lalu. 

Harapan skuad bimbingan Datuk M Karathu untuk bangkit menebus kecewa itu sudah diterjemahkan sejak wisel permulaan ditiupkan apabila terus menguasai saingan dengan melancarkan beberapa serangan bertali arus. 

Namun, tiga peluang terbaik pada minit ke-17, 19 dan 21 menerusi Daudsu Jamaluddin, Nurul Azwan Roya dan Norshahrul Idlan Talaha sepatutnya sudah menggamatkan stadium, tetapi rembatan lemah serta tersasar menyaksikan gawang pelawat selamat. 

Kegagalan barisan depan Kelantan menyudahkan beberapa peluang terhidang bagaimanapun ditebus pada 10 minit terakhir apabila mereka meledak dengan empat gol menewaskan penjaga gol pelawat, Aidil Mohamad. 

Terperosok di Bawah Lori

KOTA BHARU- ”Bapa mengantuk lah along tetapi bapa kena pergi juga,” Itulah kata-kata terakhir seorang bapa kepada anaknya, Norsaidatul Hafiza, 20, sebelum dia maut dalam kemalangan di Batu 8, Kadok dekat sini, petang, kelmarin. 

Norsaidatul hafiza, berkata, sebelum bapanya, Che Stopa Awang, 51, keluar rumah kira-kira jam 5 petang untuk ke tempat kerja di Gua Musang, bapanya mengadu mengantuk dan lapar. 


”Selepas bapa saya mengadu mengantuk, saya ada melarang bapa saya supaya tidak pergi lagi ke tempat kerja kerana bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya. 

Menurutnya, selepas menikmati mee segera yang dimasak oleh ibunya Norizan Jaafar, 47, bapanya menunaikan solat Asar dan bertolak ke tempat kerja walaupun dia masih mengantuk. 

”Bapa saya tidak menunjukkan sebarang perubahan, cuma pada kebiasaannya dia pergi bersama beberapa lagi rakannya tetapi semalam dia yang memakai kain pelekat dan nampak lebih kacak daripada biasa nekad memandu sendiri tanpa ditemani rakannya setelah dia menghubungi kawan-kawan-kawannya. 

”Saya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh adik saya, Norshafiq, 19, sebaik menerima panggilan telefon daripada seorang anggota polis yang memberitahu berita buruk menimpa ayah saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Che Stopa maut di tempat kejadian apabila kereta yang dinaikinya dirempuh sebuah lori yang dipercayai mengelak sebuah kereta selepas memotong kenderaan terbabit. 

Kejadian berlaku apabila lori terbabit yang datang dari arah Kuala Krai dikatakan cuba mengelak sebuah kereta secara tiba-tiba memotongnya sebelum memasuki laluan bertentangan. 

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, pemandu lori terbabit kemudian membrek sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda Accord yang dipandu Che Stopa. 

Beliau berkata, lori terbabit yang sarat dengan muatan tanah kemudian menghempap kereta berkenaan sebelum terjunam ke dalam parit berdekatan. 

Katanya, akibat perlanggaran itu, kereta mangsa juga turut terperosok bawah lori dan mangsa kemudian berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat selepas tersepit lebih sejam. 

”Pada masa sama juga, kereta mangsa turut dihempap tiang elektrik yang tumbang akibat rempuhan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Azham berkata, mangsa yang bekerja sebagai tukang rumah dan berasal di Kampung Chat, Kok Keli, Tumpat, disahkan mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala. 

Katanya, dalam kejadian itu, pemandu lori terbabit hanya mengalami cedera ringan dan polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu untuk membantu siasatan. 

”Siasatan awal mendapati, lori terbabit gagal mengawal kenderaannya kerana membrek dengan tiba-tiba untuk mengelak daripada sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang telah memotong dan memasuki laluan lori,” katanya yang menegaskan siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sehubungan itu, Azham berkata, polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mengetahui nombor pendaftaran kereta Perodua Kancil yang dipercayai melarikan diri supaya menghubungi segera balai polis berdekatan atau menerusi 09-7752200.

Kijang Pamer Bisa

EMPAT jaringan ketika perlawanan berbaki 10 minit memastikan Kelantan meraih tiga mata berharga untuk menewaskan Sarawak 4-0 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam semalam.

Keputusan itu membolehkan Kelantan mengumpul sembilan mata untuk berada di tangga kedua Kumpulan C dengan Felda United terus berada di atas dengan mengumpul 10 mata apabila mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Johor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.


Serangan bertali arus Kelantan yang dikejutkan dengan kekalahan kepada Felda United minggu lalu akhirnya membuahkan hasil menerusi gerakan solo kapten Red Warriors, Mohd Badri Radzi pada minit ke-80.

Dia berjaya membawa masuk bola dalam kotak penalti dengan menewaskan tiga pemain pertahanan Sarawak sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol lawan, Aidil Mohamad yang beraksi cemerlang menafikan percubaan tuan rumah sejak wisel permulaan ditiup.

Jaringan itu nyata membakar semangat anak-anak buah Datuk M Karathu dan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha meledak kedua pada minit ke-87 diikuti Danial Fazly Abdullah seminit kemudian untuk mencetuskan kegembiraan di kalangan penyokong setia mereka yang menunggu sejak awal permainan lagi.

Namun pesta jaringan itu tidak terhenti dengan tiga jaringan itu apabila Mohd Badri sekali lagi menjaringkan gol pada masa tambahan menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti selepas keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol.

Sementara itu Felda United bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mencatatkan keputusan seri menentang Johor FC yang kini terdesak untuk menghidupkan peluang ke suku akhir.

Azrul Ahmad menyelamatkan skuad kendalian E Elavarasan apabila meledak gol pada minit ke-70 selepas Mohd Izuan Jarudin menjaringkan gol awal untuk pelawat pada minit ke-38.

Untuk perlawanan kedua terakhir peringkat kumpulan, Felda United akan menentang Sarawak di tempat lawan pada Sabtu ini manakala Johor FC menanti kunjungan Kelantan ke selatan tanah air.