Sunday, September 18, 2011

Ciuman Terakhir

TUMPAT: “Perangainya (arwah suami) pelik petang semalam (kelmarin) kerana bukan saja mencium pipi saya dan dua anak kami tetapi sempat meninggalkan wang, seolah-olah ada sesuatu yang tersirat,” kata suri rumah, Siti Fatimah Ismail, 23.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, kereta Proton Wira Aeroback dinaiki suaminya, Allahyarham Mohammed Sidik, 32, hilang kawalan lalu terbabas dan menjunam ke dalam kawasan tali air di Kilometer 2.5 Jalan Berangan-Meranti, di sini.


Kemalangan menyebabkan Mohammed dan rakannya yang juga pemandu kereta, Mohamad Rasid Sabudin, 23, gagal keluar dari kenderaan sebelum maut di tempat kejadian selepas kenderaan sarat dengan 20 tong minyak petrol itu terbakar.

Difahamkan, akibat kejadian itu, Mohamad Rashid yang berasal dari Rumah Asap Tembakau, Cabang Empat, dekat sini, terbakar hampir seluruh badan dan muka, manakala Mohammad pula yang beralamat di Pondok Haji Husin, Geting, dekat sini, melecur separuh badan, termasuk dua kakinya.

Usaha mengeluarkan mangsa dilakukan dengan kerjasama anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, sebelum mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tumpat (HT), dekat sini, untuk bedah siasat.

Siti Fatimah yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak keduanya, Mohd Fitri Shah, berkata dia terkejut selepas mendapat berita kemalangan yang mengorbankan suaminya, malam kelmarin.

“Menggeletar badan saya sejurus rakan arwah suami memaklumkan kemalangan itu. Saya sangka dia hanya kemalangan biasa, namun suami maut selepas kenderaan dinaikinya terhumban ke dalam parit.

“Saya kemudian menghubungi ibu mentua mengenai kemalangan itu dan mereka bergegas ke Hospital Tumpat (HT) untuk menuntut mayat suami di bilik mayat,” katanya sebak sejurus ditemui melihat lokasi kemalangan mengorbankan suaminya.

Ibu dua anak itu berkata, meskipun berat hatinya menerima kenyataan kehilangan suami dalam sekelip mata, dia reda dengan ujian Tuhan.

“Kerja mengambil upah mengambil minyak terbabit baru diceburinya tetapi tidak sangka membawa kepada musibah, malah kenderaan itu diberikan taukenya (majikan suami).

“Jika tidak menerima pelawaan rakannya, mungkin arwah tidak terbabit dengan kerja berisiko seperti itu,” katanya yang turut menyedari kelainan pada wajah suaminya apabila dilihat merenung lama ke arah mereka tiga beranak sebelum meninggalkan rumah pada petang sebelum kejadian.

Sementara itu, ibu Mohammed, Mek Embon Ismail, 54, berkata kali terakhir bertemu arwah anaknya selepas pemuda berkenaan bersama anak sulungnya, Mohd Adam Asyraf, 3, datang ke rumah seminggu lalu, selain dilihat berselera makan.

Mohammed disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Garong Pasir Puteh, manakala rakannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bunohan selepas solat Zuhur, semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan kemalangan menimpa dua sahabat terbabit selepas kenderaan dinaiki mereka yang sarat muatan tong minyak dipercayai petrol, terbabas sebelum terjunam ke dalam tali air.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu dan penumpang kereta terbabit dalam perjalanan dari arah Berangan menghala ke Cabang Empat dan kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian,” katanya.

Pamer Perwatakan Sebenar

KOTA BHARU – Suka atau tidak, penyandang juara, Kelantan tidak mempunyai pilihan, selain perlu mengalahkan Sarawak dalam pertemuan pusingan kedua peringkat Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini. 


Tatkala sisa perjuangan skuad bimbingan Robert Alberts hampir terpadam dalam saingan Piala Malaysia musim ini angkara tiga kekalahan berturut-turut, skuad The Red Warriors pula harus tampil dengan skrip baru daripada aksi kurang meyakinkan dalam pusingan pertama kepada lebih agresif sebaik sahaja perlawanan pusingan kedua bermula malam ini. 

Pertemuan malam ini, bakal menjadi ujian penting kepada Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu yang cukup positif betapa pasukan kendaliannya mampu mempamerkan kebangkitan luar biasa mengharungi pusingan kedua ini. 

Gandingan dua penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan Azammuddin Mohd Akil yang kemarau jaringan sejak dua perlawanan lalu perlu tampil garang. 

Sentuhan Norshahrul Idlan yang terkenal dengan kemahirannya memperdayakan pemain lawan dalam sudut sukar sekali lagi ditagih, manakala Azammuddin yang mempamerkan disiplin terpuji di atas juga berperanan sebagai pemusnah dalam pertemuan malam ini. 

Kelibat dua pemain lipas kudung, Mohd Nurul Azwan Roya dan S Chanturu hampir pasti diberi tanggungjawab untuk menerajui kedua-dua bahagian sayap sementara Mohd Shakir Shaari yang cemerlang dalam perebutan bola juga tetap menjadi sandaran Karathu di posisi tengah. 

Sementara itu, penjaga gol Mohd Shahrizan Ismail yang melepaskan dua gol dalam pertemuan dengan KL Felda United FC juga perlu kembali kepada prestasi sebenar dalam perlawanan malam ini. 

Bertemu dengan Sarawak malam ini menjadi titik tolak kepada The Red Warriors untuk menjelmakan perwatakan sebenar setelah disuntik semangat baru oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam satu pertemuan tertutup bersama semua pemain hampir dua jam, petang semalam.

Penginapan Bajet Aset Moscow

DAHULU, para pelancong yang tiba di Moscow tidak mempunyai sebarang pilihan kecuali membayar penginapan di hotel-hotel yang mahal. Kini, terdapat pilihan lain iaitu hostel-hostel moden yang semakin bertambah sejak lima tahun lalu.

Hostel-hostel moden itu menyediakan bilik-bilik ala asrama yang bersih dan mengenakan bayaran penginapan pada harga murah iaitu lebih kurang AS$20 (RM59.70) untuk satu malam.

MOSCOW mempunyai prospek pelancongan yang baik tetapi ramai pengembara yang merungut kerana tidak mempunyai pilihan penginapan yang kadarnya berpatutan. - Gambar hiasan

Berdasarkan kepada angka yang dikeluarkan oleh ahli jawatankuasa pelancongan, semua hostel di Moscow menawarkan lebih 3,000 buah katil dan angka tersebut semakin meningkat hampir satu per tiga sejak bulan Mei lalu.

"Lokasinya sangat bagus dan harganya juga murah," kata pelajar dari Mexico, Carolina Felton, 22, yang melancong ke Moscow dan berkongsi bilik dormitori, ruang mandi dan dapur bersama-sama tujuh orang lain.

"Hotel terlalu mahal berbanding harga yang saya mampu bayar," ujar seorang lagi pelajar dari British, Mike Loader yang datang ke Moscow untuk melawat dan mengkaji sejarah Soviet. Dia menyifatkan bandar tersebut terlalu mahal dan bersifat premium.

Kedua-duanya menetap di sebuah hostel yang dekat dengan tempat yang menjadi tarikan pelancong di bandar itu, iaitu laluan pejalan kaki Arbat.

Bilik hostel itu boleh memuatkan lebih kurang 30 orang dengan kemudahan 12 buah katil. Bayaran penginapan pula sangat rendah iaitu 550 ruble (RM57.04) untuk satu malam.

Pemilik hostel tersebut, Daniil Mishin, 18, berasal dari Ukraine telah pun memiliki beberapa hostel lain yang turut sama dimiliki oleh ahli keluarganya.

Sambutan baik

BILIK dormitori yang boleh memuatkan ramai tetamu di Bear Hostel, Moscow.

Dia mendapat idea membuka hostel murah itu ketika sedang mengembara di seluruh Eropah dan mengambil keputusan mengadaptasi konsep tersebut di Moscow.

Kini, Mishin dan keluarganya telahpun membuka tujuh buah hostel yang terletak di Moscow dan kampung halamannya, Sevastopol, Crime.

Menurut Mishin, perniagaannya berjalan dengan baik terutamanya dengan pembukaan hostel terbaharu di Moscow pada awal Ogos lalu.

Kadar kemasukan pelancong untuk menginap pada waktu sekarang amat memberangsangkan dengan lebih kurang 80 peratus katil sudah ditempah manakala tempahan penginapan pula telah diterima sebulan lebih awal.

Menurut ahli jawatankuasa pelancongan, ketika ini, bandar tersebut sudah mempunyai 59 buah hostel moden dengan 14 daripadanya baru dibuka sejak bulan Mei lalu.

Hostel pertama dibuka pada tahun 2006 manakala hostel terbesar pula akan dibuka pada hujung tahun ini di kawasan pejalan kaki yang menjadi tumpuan orang ramai, jalan Stoleshnikov Pereulok. Dalam perancangan, hostel tersebut mempunyai kapasiti sebanyak 153 buah katil.

"Sekarang semuanya telah berubah dan pasaran hostel menjadi 'gila'," Mishin membuat kesimpulan.

Tambahnya, setahun lalu, kebanyakan tetamu adalah pelancong muda yang mempunyai bajet terhad dan persepsi tersebut semakin berubah.

"Mereka terdiri daripada orang-orang yang berbeza umur, pekerjaan dan kedudukan sosial," komen Mishin mengenai tetamu hostelnya.

Masalah

Baru-baru ini, kelihatan beberapa rakyat Rusia sudah mendaftar masuk untuk menginap di hostel.

"Sebelum ini, tiada siapa mengetahui mengenai hostel. Hanya sejak setahun lalu, barulah mereka mula menyedarinya. Penduduk Rusia baru sedar bahawa dengan bayaran serendah 500 ruble (RM51.76) semalam, mereka boleh mendapat penginapan yang selesa di tengah-tengah pusat bandar.

Konsep hostel tidak pernah wujud sepanjang era Soviet. Pengembara hanya akan tinggal di hotel-hotel yang besar. Ada pula yang berpendapat bahawa bilik dormitori ringkas hanyalah untuk pelajar dan pekerja asing serta tidak sesuai dihuni pelancong.

MISHIN yakin pada masa depan bisnes penginapan bajet rendah di Moscow.

Selain itu, disebabkan oleh kekangan mendapatkan visa, kedatangan pelancong ke Rusia secara relatif amat rendah. Idea tempat penginapan yang murah dan ringkas susah untuk diterima. Sehingga kini, masih tiada perkataan Rusia yang merujuk kepada konsep tersebut yang dipanggil khostel.

Hostel memainkan peranan yang penting mengisi kekosongan di bandar tersebut. Menurut hasil kajian, kadar harga penginapan purata di hotel dan destinasi pilihan utama untuk satu malam menelan kos sehingga 149 pound (RM725) pada tahun 2010.

Sebagai perbandingan, kadar purata harga bilik hotel di Dubai adalah 120 pound (RM583) dan di London pula berharga 114 pound (RM554) manakala di Prague pula, purata kos hotel hanya 67 pound (RM326).

Salah seorang ahli jawatankuasa pelancong di Moscow, Gurgen Mkrtchyan berkata, hostel-hostel itu bakal merangsang industri pelancongan terutamanya dengan kemasukan para pengembara bebas yang terdiri daripada orang muda dan para pelajar.

Tegasnya, perkhidmatan hostel masih lagi berada pada tahap awal pembangunan kerana ia hanya mampu menyediakan tempat penginapan yang terhad iaitu kira-kira 2,600 buah katil.

Harga tanah

Meskipun bilangan hostel semakin bertambah, masih juga terdapat pilihan lain di pusat bandar Moscow walaupun tidak banyak iaitu hotel-hotel empat dan lima bintang.

"Moscow masih lagi kekurangan hotel yang mempunyai harga yang berpatutan. Pemaju pasti akan membuat pembangunan tetapi ia tidak mungkin berlaku di pusat bandar," kata ejen estet Knight Frank, Anton Melnikov mengaitkan masalah tersebut dengan harga hartanah yang tinggi.

Hotel-hotel baru bersaiz mega perlu mendapatkan kembali kos membeli tanah dengan meletakkan kadar harga bilik yang tinggi.

Hostel pula tidak perlu meletakkan harga yang tinggi kerana selalunya, pemilik hostel akan membina pada bangunan sedia ada dan kadang-kala menggunakan kembali bangunan pangsapuri yang diubah suai.

Melnikov menjangkakan para pelancong pada masa hadapan terpaksa menetap di pinggir bandar dan perlu menaiki metro (tren bawah tanah) untuk ke pusat bandar.

"Di Amsterdam, Brussels atau London, anda akan menemui hotel-hotel murah di pusat bandar tetapi anda tidak akan menemui semua itu di Moscow," katanya lagi. - AFP