Tuesday, September 6, 2011

KAFA Gagal Dapat Apex

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akur dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tidak melepaskan penjaga gol skuad Olimpik kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat untuk kembali menyarung jersi negeri ini bagi menghadapi kempen Piala Malaysia yang bermula esok. 

Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim berkata, tanpa khidmat penjaga gol kebangsaan berusia 22 tahun itu, skuad kendalian Datuk M Karathu tidak mempunyai pilihan selain mengharapkan khidmat penjaga gol simpanan, Mohd Shahrizan Ismail dan Mohd Halim Napi bagi menggalas tugas berat dalam perlawanan pusingan pertama peringkat kumpulan itu. 

“Kita mengucapkan terima kasih kepada FAM yang bersedia menawarkan penjaga gol gantian kepada Kelantan. Namun kita tidak boleh membuat keputusan dengan segera sehingga jawatankuasa pengurusan pasukan bermesyuarat setelah permohonan kita untuk mendapatkan Apex (Khairul Fahmi Che Mat) ditolak baru-baru. 


“Kalau diikutkan memang posisi penjaga gol kita berada dalam keadaan kritikal sekiranya berlaku apa-apa kecederaan ke atas Mohd Shahrizan (Ismail) itu. Itu yang merisaukan kita sekiranya perkara tersebut terjadi dan kita tengoklah nanti apa kesudahannya selepas ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri di rumahnya, semalam. 

Turut hadir, Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu dan pemain serta pegawai skuad Piala Malaysia dan Piala Presiden Kelantan musim ini. 

Azman berkata, bagi mengatasi keperluan mendesak itu, pihak pengurusan terpaksa memanggil dua penjaga gol daripada skuad Piala Presiden untuk menjalani latihan bersama skuad senior ketika ini. 

Mengulas mengenai perlawanan pertama menentang Sarawak di Kuching esok, Azman tidak mahu masalah tersebut menjejaskan moral para pemain sebaliknya menegaskan pasukannya kini bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu. 

“Secara keseluruhan kita sudah cukup bersedia untuk menghadapi Sarawak. Mereka akan turun sebagai ‘underdog’ dan sudah pasti tekanan tidak berpihak kepada mereka. Namun saya ingatkan pemain supaya tidak terlalu yakin kerana Sarawak cukup kuat apabila beraksi di halaman sendiri. 

“Saya harapkan perlawanan ini bakal menjadi titik permulaan kita untuk beraksi lebih cemerlang. Para pemain perlu mengamalkan sikap berhati-hati dan jangan sesekali memandang mudah keupayaan pasukan Sarawak. Saya berharap kita dapat membawa pulang tiga mata ke Kota Bharu. 

“Kita akan bawa ketiga-tiga penjaga gol iaitu Mohd Shahrizan (Ismail), Mohd Halim (Napi) dan Judtanna (Eh Put) ke Sarawak. Soal siapa diturunkan itu hanya dapat ditentukan oleh jurulatih menjelang saat akhir sebelum sepak mula perlawanan,” katanya.

Doa Fahmi Iringi Kelantan

PERMULAAN perjuangan Red Warriors dalam kempen Piala Malaysia 2011 diiringi doa penjaga gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang tidak dapat bersama ketika menentang Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, malam ini.

Bagi Khairul Fahmi, walaupun khidmatnya diperlukan pasukan kebangsaan, namun semangat ‘Gomo Kelate Gomo’ tidak pernah luntur dalam dirinya dan tetap mendoakan Kelantan berjaya menewaskan Sarawak.


Katanya, dia yakin dengan kemampuan penjaga gol kedua Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail yang mampu membantu pasukan untuk mempertahankan gawang daripada dibolosi lawan.

“Saya tetap mendoakan kejayaan Kelantan walaupun khidmat saya tertumpu kepada Skuad Olimpik malah kemenangan Kelantan dalam perlawanan pertama penting untuk mengharungi perlawanan seterusnya.

“Saya percaya kepadanya (Mohd Shahrizan) malah dia lebih berpengalaman dan saya tidak meragui kehebatannya ketika beraksi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Mohd Shahrizan atau terkenal dengan panggilan Mat Chah mengakui tetap merasai bahang tekanan apabila menjadi harapan penyokong Red Warriors selepas Khairul Fahmi tidak dapat beraksi.

Bagaimanapun, katanya tekanan itu mampu diatasi dan bersedia memikul tanggungjawab diberikan.

“Tekanan tidak dapat dielakkan, namun dengan pengalaman yang ada, saya cuba tenang dan fokus selain mahu memberikan yang terbaik untuk pasukan. “Saya perlu jalankan tugas sebaiknya selepas diberi kepercayaan. Apapun saya tetap berwaspada ketika menentang Sarawak malam esok (malam ini) kerana ia perlawanan pertama kami,” katanya.

Jangan Terjerat

KELANTAN sudah bersedia sepenuhnya untuk mengatasi cabaran sebarang pasukan bagi memastikan usaha mempertahankan Piala Malaysia musim ini terlaksana.

Laungan keyakinan itu disuarakan kapten Red Warriors, Mohd Badri Radzi yang akan membimbing rakan sepasukan menentang Sarawak di Stadium Negeri di Kuching dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C malam ini.

Malah perancang tengah berusia 29 tahun itu menegaskan ketiadaan penjaga gol utama Kelantan yang juga kapten skuad Olimpik negara, Khairul Fahmi Che Mat tidak menjejaskan semangat dan fokus rakan sepasukan yang lain kerana Mohd Shahrizan Ismail (gambar) juga mampu mengawal gawang dengan baik.


“Apa yang penting semua pemain mahu memberikan aksi terbaik dalam perlawanan pertama malam ini. Malah aksi menentang Sarawak dilihat menarik kerana kami tidak mengetahui kekuatan sebenar mereka yang beraksi di Liga Perdana.

“Walaupun berkeyakinan tinggi, saya turut mengingatkan kepada rakan sepasukan yang lain agar sentiasa berwaspada kerana kami mahu meraih sesuatu yang positif dalam perlawanan pertama dan bukan sebaliknya,” katanya yang sudah meraih Liga Super dan Piala Sultan Ahmad Shah selain naib juara Piala FA musim ini.

Selain ketiadaan Khairul Fahmi, skuad kendalian Datuk M Karathu itu juga tidak dapat menggunakan pemain pertahanan kirinya, Zairul Fitree Ishak dan penyerang pinjamannya dari Pahang, R. Surendran kerana kecederaan selain kedudukan yang masih belum pasti penyerang utamanya, Norshahrul Idlan Talaha yang dikatakan mengalami cirit birit.

Karathu bagaimanapun masih mempunyai banyak pilihan di jentera serangan termasuk Mohd Ramzul Zahini Adenan, Mohd Nizab Ayub selain mengharapkan ketajaman Azamuddin Mohd Akil yang semakin berbisa.

Berdasarkan reputasi hebat Kelantan musim ini termasuk dalam beberapa aksi persahabatan bulan lalu, The Red Warriors menjadi pilihan muncul juara kumpulan dengan perebutan satu lagi tiket ke suku akhir terarah kepada dua pasukan kelab, Johor FC dan Felda United.

Siapa Mampu Cabar Kelantan?

KUALA LUMPUR - Walaupun saingan Piala Malaysia bermula hari ini, juara Liga Super musim ini, Kelantan awal-awal lagi dianggap sebagai pilihan utama yang akan menakluk trofi Piala Malaysia sekali gus mempertahankan kejuaraan dimenangi tahun lalu jika keseimbangan pasukan dan pengalaman menjadi ukuran.

Diletakkan sekumpulan bersama Johor FC, Felda United dan Sarawak dalam Kumpulan C, Kelantan berada satu kelas tersendiri berbanding ketiga-tiga pasukan tersebut dan tiket selaku juara kumpulan sudah pasti dimiliki Red Warriors sekali gus mengelak pertembungan awal dengan Terengganu di peringkat suku akhir jika skuad Peteh itu juga berjaya meletakkan diri sebagai juara Kumpulan B.


Biarpun kekuatan Kelantan sedikit terjejas tanpa kehadiran penjaga gol sensasi, Khairul Fahmi Che Mat yang menabur bakti untuk negara di pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2012, pengalaman penjaga gol kedua, Mohd. Shahrizan Ismail masih boleh disandarkan.

Kumpulan A mungkin memperlihatkan persaingan seimbang antara Kedah, Perak dan Sabah sementara Johor, wakil dari Liga Perdana dilihat sukar menyaingi kekuatan yang ada pada ketiga-tiga pasukan berkenaan.

Biarpun Kedah menjadi pilihan pertama dalam Kumpulan A, kemampuan Perak dan Sabah tidak harus dipertikaikan memandangkan kedua-dua pasukan itu mempunyai rekod baik tiap kali beraksi di laman sendiri.

Negeri Sembilan mungkin menjadi penghalang terbesar juara Piala FA, Terengganu yang berazam mahu menjadi juara Kumpulan B manakala PKNS selaku juara Liga Perdana dan Sime Darby mampu bertindak selaku pasukan kacau daun.

Terengganu pasti sedikit bimbang jika apa yang diperkatakan jurulatih skuad Rusa, Mohd. Azraai Khor Abdullah bahawa pasukan Negeri Sembilan yang bersaing di Piala Malaysia adalah sebuah pasukan yang berbeza daripada Liga Super.

''Masa saingan Liga Super, kami berdepan banyak masalah kecederaan pemain tetapi bagi menghadapi Piala Malaysia, semua pemain utama pulih daripada kecederaan termasuk Zaquan Adha Abdul Razak, Aidil Zafuan dan Ahmad Fakri Saarani.

''Fakri Saarani yang bergelut dengan masalah prestasi berjanji kepada saya akan kembali bangkit sambil tidak akan terlalu mendengar apa jua tanggapan peminat kepada dirinya," katanya.

Bersemangat mahu memburu kejuaraan Piala Malaysia kali ke-33, Selangor yang masih ketandusan sebarang trofi pada musim ini bakal dicabar hebat T-Team dalam Kumpulan D di samping kehadiran jiran Lembah Klang, Kuala Lumpur yang mahu mengulangi memori muncul juara tiga tahun berturut-turut dari 1987 hingga 1989 dan pasukan underdog, PDRM.

Masalah ketiadaan penjaga gol berwibawa selepas penghijrahan Mohd. Hamsani Ahmad ke Felda United dan penggempur terhebat Harimau Malaya, Safee Sali mungkin menjadi batu penghalang kepada cita-cita Selangor yang mahu menamatkan kemarau enam tahun kegagalan menjulang Piala Malaysia.

Terengganu dan Selangor boleh dinamakan sebagai pencabar terkuat kepada Kelantan yang berusaha mahu mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu, namun beberapa pasukan lain seperti Negeri Sembilan, Kedah, Perak dan T-Team mempunyai ramuan untuk melakukan kejutan.

Kelantan Sedia Pertahan Gelaran

MESKIPUN dihimpit masalah penjaga gol, penyandang juara, Kelantan sudah bersedia memulakan kempen Piala Malaysia musim ini.

Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu berkata, sesi latihan yang bermula Jumaat lalu selepas sambutan Aidilfitri digunakan sebaik mungkin dalam memantapkan skuad The Red Warriors.

Menurut beliau, segala persiapan berjalan dengan lancar dan barisan pemainnya berada pada tahap terbaik menjelang aksi sulung menentang Sarawak di Stadium Sarawak, Kuching malam ini.


"Kami perlu menang dalam perlawanan pertama bertemu Sarawak. Ini penting sebagai bekalan semangat bagi mengharungi saingan peringkat kumpulan selepas ini.

"Begitupun, saya tidak mahu mengambil mudah perlawanan dengan Sarawak.

"Walaupun mereka beraksi dalam saingan Liga Premier, tetapi kemampuan pasukan itu tidak boleh dipandang rendah," kata Karathu semalam.

Karathu memberitahu, saingan Piala Malaysia berbeza dengan kempen Liga Super dan setiap pasukan pasti menampilkan aksi yang berbeza dalam cabaran kali ini.

"Setiap pasukan yang bertemu dengan Kelantan pasti akan bermain mati-matian dan cuba untuk menewaskan kami.

"Jadi sebagai juara Liga Super dan Piala Malaysia, kami harus tinggalkan gelaran tersebut buat seketika, sebaliknya bekerja dengan lebih keras.

"Saya mahu pemain mempamerkan aksi terbaik dan memberikan tumpuan sepenuhnya serta bermain sebagai satu pasukan sepanjang perlawanan berlangsung bagi memastikan kita berada pada landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan musim lalu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, jurulatih yang kaya dengan pengalaman itu memberitahu, kesemua pemainnya bebas daripada kecederaan kecuali Zairul Fitree Ishak dan R. Surendran.

"Zairul Fitree semakin pulih, tetapi masih belum dapat beraksi, jadi saya akan tunggu sehingga dia pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya.

"Surendran masih lagi bergelut dengan kecederaan. Saya harap dia mampu pulih dalam masa terdekat untuk membantu kita dalam saingan kali ini," katanya.

Mengulas mengenai jentera serangan, Karathu berkata, penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha semakin menampakkan keserasian bersama gandingan baharunya, Azammuddin Mohd. Akil.

"Saya gembira melihat perkembangan ini, kedua-dua pemain semakin serasi dan ini memudahkan kerja saya untuk memperkemas dan mempertajam lagi jentera serangan pasukan bagi saingan kali ini," jelasnya.