Friday, August 26, 2011

3 Suspek Bunuh Warga Jepun ditahan

SHAH ALAM: Polis menahan tiga lelaki warga asing bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh dan samun dua lelaki Jepun di hotel empat bintang di Jalan Ampang, pada Isnin lalu.

Ketiga-tiga suspek yang berumur 20 hingga 35 tahun itu dipercayai mengenali kedua-dua mangsa yang juga ahli perniagaan.


Ketua Jabatan Siasatan Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata setakat ini polis belum menjumpai barangan milik mangsa untuk dikaitkan dengan kes berkenaan.

“Kedua-dua mangsa disamun RM110,000, tetapi polis tidak menemui wang berkenaan ketika ketiga-tiga suspek ditangkap. Bagaimanapun, polis masih meneruskan siasatan kes ini,” katanya.

Mohd Adnan berkata, ketiga-tiga suspek direman sehingga 31 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian yang berlaku antara jam 1 pagi pada Isnin lalu, polis dimaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa warga Jepun yang berumur 50-an oleh pihak pengurusan hotel.

Rakan mangsa, juga berusia 50-an ditemui diikat tangan dan kakinya dalam bilik berkenaan, namun cedera ringan.

Kelantan Kekal Cemerlang

KOTA BHARU - Kelantan meneruskan momentum cemerlang dalam aksi perlawanan persahabatan pra-Piala Malaysia setelah mengalahkan pasukan berstatus kelab, T-Team, 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam semalam. 

Dengan penampilan barisan terkuat yang disifatkan bayangan utama pasukan yang akan menggalas tugas dalam kempen Piala Malaysia tidak lama lagi, The Red Warriors tidak perlu menunggu terlalu lama untuk memperoleh gol pertamanya. 


Seawal m-14 perlawanan, Kelantan dihadiahkan sepakan penalti apabila penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dijatuhkan Ketua Pasukan T-Team, Rosdi Talib dalam kotak penalti. 

Ketua pasukan, Muhd Badhri Radzi mudah menyempurnakan sepakan tersebut untuk gol pertama Kelantan. 

Ketinggalan satu gol tidak memberi tekanan kepada anak buah Yunus Aliff sebaliknya bersemangat mengatur serangan ke pintu gol Kelantan. 

Bezanya tiga minit kemudian, Mohd Fitri Omar menerima umpanan cantik Mohd Norfarhan Muhammad, namun terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan setelah dikesan berada dalam kedudukan offside oleh penjaga garisan. 

Tiga minit berselang, kelonggaran benteng pertahanan T-Team terserlah apabila pemain pertahanan, Norfadzly Alias gagal menampan kemas bola di dalam kotak penalti. 

Namun penyerang pinjaman, Azammuddin Mohd Akil pula lambat melepaskan rembatan ke pintu pasukan pelawat setelah Mohd Jibrail Kamaron Baharin sudah pun tertewas di posisinya. 

Gol penyamaan menjelma pada m-24 perlawanan, apabila tindakan penjaga gol Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail menjatuhkan Shamsul Kamal Mohamad dalam kotak penalti mengundang padah. 

Pengadil perlawanan tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada pasukan pelawat. Penjaring terbanyak Liga Perdana musim ini, Mohd Fitri tenang merembat ke penjuru sebelah kanan untuk gol penyamaan, 

Pada m-37, Azammuddin menebus kembali kesilapannya apabila menjaringkan gol kedua untuk Kelantan. Menampan kemas hantaran lintang S Canturu dalam kotak penalti, Azammuddin yang tidak dikawal mudah menguis masuk untuk menceriakan hampir 10,000 penyokong setia Kelantan. 

Minit-minit akhir babak pertama, seharusnya Kelantan berada dalam keadaan selesa namun kegopohan Muhd Badhri yang menyepak liar ke sebelah kiri pintu gol T-Team menyaksikan keputusan kekal 2-1 sebaik pengadil meniup wisel perlawanan. 

Tiada pertukaran pemain bagi kedua-dua pasukan sebaik babak kedua bermula. Ancaman pasukan pelawat bermula pada m-55 menerusi percubaan bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin namun sepakan percuma diambilnya melewati pintu gol. 

Enam minit berselang, pemain tengah Tengku Hasbullah Raja Hassan mencuri perhatian apabila melepaskan rembatan kencang dari tengah memaksa penjaga gol, Mohd Shahrizan menepis keluar rembatan tersebut. 

Tiga minit kemudian, Muhd Badhri terus menjarakkan kedudukan apabila menjaringkan gol ketiga Kelantan. Berpunca gerakan solonya dari tengah padang, Muhd Badhri bijak melepasi kekangan tiga pemain T-Team sebelum merembat kencang menewaskan Mohd Jibrail Kamaron Baharin di pintu golnya. 

Namun Muhd Badhri terlepas peluang jaringkan hatrik apabila rembatan jarak dekatnya tiga minit selepas itu ditepis keluar Mohd Jibrail Kamaron. 

Lima minit sebelum perlawanan berakhir, Norshahrul Idlan bijak memperdayakan tiga pemain pertahanan T-Team di tepi garisan gol, walau rembatannya diselamatkan penjaga gol gantian, Ismail Abd Rahman. 

KESEBELASAN UTAMA

KELANTAN: Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham Ismail, S Subramaniam, Mohamad Ab Aziz Ismail (Khairan Eruan Razali), Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP) (Muhammad Ramzul Zahini Adenan), Mohd Shakir Shaari, S Chanturu (Khairul Izuan Rosli), Azammuddin Mohd Akil dan Norshahrul Idlan Talaha. 

FORMASI : 4-5-1 

T-TEAM: Mohd Jibrail Kamaron Baharin (Ismail Abd Rahman), Subri Sulong (Mohd Shahrul Ezrain Samsudin), Azizi Matt Rose (Hasbullah Awang), Rosdi Talib (KP), Norfazly Alias, Zairo Anuar Zailani (Rosli Muda), Tengku Hasbullah Raja Hassan, Indra Putra Mahayuddin, Shamsul Kamal Mohamad (Khairul Izwan Khalid), Mohd Norfarhan Muhammad dan Mohd Fitri Omar (Mohd Haris Safwan Md Kamal). 

FORMASI : 4-4-2