Wednesday, July 20, 2011

Perjalanan Terakhir Dr Lo' Lo'

"IBU berpesan kepada kami adik-beradik, jangan sesekali dia dilupakan selepas ibu kembali ke rahmatullah.

"Ibu suruh ingat dia, kenang dia, terlalu banyak saat-saat bahagia kami bersama ibu, namun sekarang semua sudah tiada," kata Fawwaz, anak kedua Allahyarhamah Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa yang meninggalkan kita semua 10.13 malam 17 Julai 2011, selepas bertarung dengan penyakit kanser paru-paru selama dua tahun.


Dr Lo'Lo' pergi menghadap Allah Rabbul Jalil, meninggalkan suami Dr Aminuddin Hamid Karim dan empat anak. Dua lelaki dua perempuan.

Anak sulung, Mawaddah, 30, Fawwaz, 28, Sakinah, 26 dan yang bongsu Farhan, 25.

"Semalam ayah agak terkesan selepas ibu pergi, tetapi alhamdulillah, pagi ini sudah boleh terima," Fawwaz meneruskan ceritanya kepada penulis sewaktu bertemu dengannya di Masjid al-Akram, Kampung Datuk Keramat.

Jam menunjukkan pukul 8.00 pagi. Di sebalik kesedihan, Fawwaz meneruskan ceritanya. Sesekali beliau mengetab bibir. kelihatan air mata bergenang di kelopak mata, namun beliau cuba menahan kesedihan.

Menurutnya, sebagai ibu, Dr Lo'Lo' banyak berhabis untuk anak-anak. Habis semua wang gajinya digunakan untuk membentuk keperibadian anak-anak supaya menjadi seorang yang unggul dari sudut akhlak dan peribadi.

"Hidup kami padat dengan tarbiyah, belajar, kem motivasi dan sebagainya," katanya sambil tersenyum terkenangkan kisah silam sewaktu di bangku sekolah.

Namun semua kebahagian itu sudah tiada. Ibunya pergi selepas terlantar di Hospital Selayang selama dua minggu.

"Kali terakhir kami bercakap dengan ibu pada Khamis lepas (14 Julai), selepas itu ibu tidak sedarkan diri," kata Fawwaz.

Sebelum dirujuk ke Hospital Selayang, Dr Lo'Lo' dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selama 10 hari. Kemudian dibawa pulang beberapa hari ke rumah.

Namun menurut Fawwaz, keadaan ibunya tidak berapa stabil sewaktu berada di rumah.

"Ibu kelihatan terlalu sakit, lalu kami bawa ke Hospital Selayang kerana beliau perlu diberikan sedatif (untuk mengurangkan kesakitan," katanya.

Katanya, Dr Lo'Lo' dikesan mengalami kanser sejak 2009.

"Pada waktu itu, mula-mula ibu batuk berdarah, kami sangkakan beliau jadi begitu kerana terlalu kuat bekerja. Ibu tidak pernah rehat sejak dipilih menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa.

"Namun selepas dibawa menjalani pemeriksaan, beliau disahkan mengidap kanser paru-paru pada stage tiga," ceritanya.

Selepas disahkan mengalami kanser, lalu dibuat pembedahan segera membuang kanser tersebut.

"Selepas itu ibu menjalani kimoterapi, saya dapat rasakan ibu begitu sakit ketika menjalani kimoterapi. Kemudian kami dimaklumkan oleh para doktor bahawa, selepas menjalani beberapa ujian, ibu sudah bebas daripada kanser.

"Kami berasa lega dan ibu terus kembali aktif dalam kerja-kerja politik. Namun kegembiraan kami tidak lama. Keadaan ibu kembali tidak stabil pada penghujung 2010. Selepas dibuat pemeriksaan, kami dimaklumkan bahawa kanser sudah merebak," ujarnya sugul.

Namun, Dr Lo'Lo' tidak pernah mengenal penat lelah. Beliau tetap mahu menjalankan tugasnya sebagai Ahli Parlimen, mahupun keadaan fizikal sudah tidak mengizinkan.

Dr Lo'Lo' terpaksa berehat di rumah. Beliau terus bertarung dengan kanser. Namun bukan simpati yang ditagihnya daripada rakan taulan, sahabat handai dan anggota keluarga yang datang mengunjung.

Dr Lo'Lo' menyedari hayatnya tidak lama. Namun beliau tidak mahu dirundung dengan kesedihan dan ketakutan.

"Pada sesiapa sahaja yang datang, terutamanya pada pemimpin PAS, ibu akan terus beri nasihat dan bercakap mengenai masa depan Islam dan politik.

"Saya masih ingat, ibu selalu pesan kepada mereka supaya jaga anak-anak muda, dekati anak-anak muda, banyak turun padang mendekati pengundi. Beliau paling risau anak-anak muda sekarang tidak solat dan terbabit dalam gejala sosial," kata Fawwaz.

Tidak hairanlah sebaik sahaja berita Dr Lo'Lo' kembali kerahmatullah berbondong-bondong umat datang mengunjungi Allahyarhamah di Masjid al-Akram.

Ramainya umat yang menunaikan solat jenazah, menyamai umat Islam yang menunaikan solat Jumaat.

Dr Lo'Lo' adalah sebutir permata, srikandi muslimah yang gigih dalam memperjuangkan cita-cita Islam menerusi PAS. Beliau begitu istiqamah sehingga ke akhir hayat.

Moga rohnya aman di alam barzakh. Moga beliau ditempatkan bersama pada syuhada dan solihin. Al-Fatihah.

Pesanan Buat Lelaki dan Wanita

Jangankan lelaki biasa,
Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita,

Tanpa mereka,fikiran dan perasan lelaki
akan resah,
Masih mencari
Walau ada segalanya,

Apa yang tiada dalam syurga?
Namun Adam
tetap rindukan Hawa..

Dijadikan wanita
dari tulang rusuk
yang bengkok itu,
untuk diluruskan
oleh lelaki,

Tetapi seandainya
Lelaki itu sendiri
tidak lurus...
mana mungkin
kayu akan bengkok
menghasilkan bayang yang lurus,

Luruskan wanita
dengan jalan ditunjukkan
oleh Allah SWT,
kerana mereka diciptakan
sebegitu rupa oleh Allah,

Didiklah mereka
dengan panduan nya,
Janganlah cuba menjinakkan
dengan harta,
Kerana nantinya
mereka akan liat,

Janganlah hiburkan mereka
dengan kecantikkan,
Kerana nantinya
mereka derita,

Kenalkanlah mereka
kepada Allah,
Zat yang kekal,
Disitulah punca
kekuatan dunia!!!

Akalnya
senipis rambutnya,
Tebalkan ia dengan ilmu,
Hatinya
separuh kaca,
Kuatkanlah ia
dengan iman,
Perasaannya
selembut sutera,
Hiasilah ia dengan akhlak,

Suburkanlah ia
kerana daripada situlah nantinya,
mereka akan lihat
nilaian dan keadilan,

Tuhan,
Bisikkanlah
ke telinga mereka
bahawa kelembutan
bukan satu kelemahan,
Ia bukan satu diskriminasi Tuhan,
sebaliknya disitulah
kasih dan sayang Tuhan,

Jinakkanlah diri
kepada Allah,
Nescaya akan jinaklah
segala-galanya
dibawah pimpinanmu lelaki,

Jangan mengharapkan
isterimu semulia
Fatimah Az Zahra,
Andai dirimu
tidak sehebat
Saidina Ali Karamallahuwajhah

Terimalah wanita
dengan seadanya
kerana setiap ciptaan Allah
tidak ada yang sia-sia
semuanya penuh makna....... ...


Singapura Iri Hati

PERSIAPAN rapi yang dimiliki skuad Harimau Malaya termasuk dua perlawanan menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Liverpool minggu lalu mencetuskan rasa iri hati buat Singapura yang bakal ditentang pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, Sabtu ini.


Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Zainudin Nordin, berkata Malaysia mempunyai kelebihan dari segi persiapan berbanding pasukannya yang dikendalikan jurulatih dari Serbia, Radojko Avramovic.

“Saya kagum dengan kemampuan pihak persatuan (Persatuan Bola Sepak Malaysia) mengatur perlawanan yang bagus untuk pasukan kebangsaan mereka. Secara jujurnya saya iri hati tapi kami tetap melakukan persiapan sebaik mungkin walaupun dengan kekangan dihadapi.

“Persiapan menerusi perlawanan antarabangsa dengan kelab ternama sememangnya akan memberi kelebihan kepada Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis menandatangani kerjasama dengan FAM dan FAS baru-baru ini.

Singapura yang menghuni ranking ke-142 dunia tidak beraksi pada pusingan pertama kerana mendapat bye dan diundi bertemu anak buah Datuk K Rajagobal yang melepasi halangan awal ke atas Taiwan menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas agregat terikat 4-4.

Ternyata pertembungan dengan negara berjiran ini bakal mendapat tumpuan dengan rekod pertemuan kedua-dua pasukan tampak seimbang dalam tiga perlawanan kempen kelayakan Piala Dunia sejak 1989.

Malah pada pertemuan terakhir dalam aksi persahabatan di Stadium Bandaraya Petaling Jaya pada 2008 pula berkesudahan seri 2-2.

Bagaimanapun, Zainudin menyifatkan pasukan Singa bakal berdepan tugas getir menentang juara Asia Tenggara, Harimau Malaya.

“Pasukan kebangsaan kami akan berdepan cabaran sukar, kami sedar Malaysia adalah juara bertahan Piala AFF dan kini berada di puncak prestasi. Kami tahu kualiti pemain yang mereka miliki dan jika kami mahu memberikan tentangan sengit kepada Malaysia, kami harus melakukan persiapan rapi.

“Pasukan Singapura adalah skuad baru dibentuk, anda pasti tahu yang kami memutuskan untuk membentuk pasukan baru untuk masa depan. Kami percaya jika kami berkerja keras dan membuat persediaan rapi pasti kami akan dapat memberikan saingan dalam kejohanan ini,” katanya.

Singapura menumpaskan Taiwan 3-2 dalam aksi persahabatan kelmarin manakala Malaysia berpeluang menguji pemain ketika tewas 4-0 dan 6-3 kepada Arsenal dan Liverpool, minggu lalu.

Selepas aksi di Stadium Jalan Besar Sabtu ini, kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai bagi aksi kedua untuk merebut tempat dalam saingan peringkat kumpulan kelayakan Piala Dunia 2014.

Kota Bharu Jadi Pilihan FAM

KOTA BHARU - Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sekali lagi diberi penghormatan apabila dipilih Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai gelanggang perlawanan akhir Kejohanan Piala Presiden pada 26 Julai ini. 


Dua pasukan finalis, iaitu Kelantan dan Majlis Perbandaran (MP) Muar, Johor akan berentap memburu kejuaraan bagi merebut trofi kejuaraan dan wang tunai RM100,000, sementara naib juara bakal membawa pulang wang tunai RM50,000. 

Kedua-dua pasukan layak ke perlawanan akhir musim ini setelah mengalahkan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir. 

Kelantan berjaya mengetepikan saingan PKNS Selangor menerusi kemenangan agregat 2-0 sementara MP Muar mengejutkan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) menerusi peraturan gol di tempat lawan setelah terikat agregat 3-3. 

Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Arif Hassan berkata, pihaknya sudah menerima pengesahan secara rasmi daripada FAM berkenaan pemilihan stadium di Kota Bharu itu sebagai gelanggang perlawanan akhir kejohanan tersebut musim ini. 

“Bagi ketetapan perlawanan akhir Kejohanan Piala Presiden musim ini, sepak mula dimulakan jam 8.45 malam sebagaimana kebiasaan bagi perlawanan lain dalam Liga Malaysia,” katanya ketika dihubungi. 

Menurutnya, pihak Kafa juga memutuskan harga tiket bagi tempat duduk teres berbumbung bagi perlawanan akhir ini ialah RM10 sementara tempat duduk terbuka RM5. Tiket-tiket perlawanan akan dijual pada hari perlawanan tersebut. 

“Sehubungan itu, saya berharap peminat setia bola sepak Kelantan membanjiri stadium pada perlawanan ini bagi memberi sokongan kepada pasukan The President Warriors. 

“Ini merupakan peluang terbaik bagi kita menambahkan koleksi trofi kejuaraan kali keenam dengan memenangi piala ini,” katanya semalam. 

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ariff turut memaklumkan sebanyak lapan pasukan termasuk Akademi Bola Sepak Darul Naim (ABDN) bakal berentap dalam Kejohanan Liga Akademi Bola Sepak Al-Hamra Red Warriors (ARMY) yang bermula Jumaat ini. 

“Kejohanan julung kali anjuran Kafa itu bakal menyaksikan 16 pasukan dari pasukan bawah 14 tahun dan 16 tahun berentap secara liga yang diasingkan kepada dua kumpulan. 

“Pasukan terlibat ialah ARMY Kota Bharu 1, Kota Bharu 2, ARMY Chengal, ARMY Bachok, ARMY Tanah Merah, ARMY Tumpat, ARMY Kuala Krai selain ABDN yang turut menyertai atas kapasiti sebagai pasukan jemputan,” katanya.