Monday, July 11, 2011

Pelita Jaya Hampir Diabkan

KOTA BHARU – Gol penyamaan Joko Sasongko minit-minit akhir perlawanan menyelamatkan maruah kelab Pelita Jaya daripada diaibkan juara Liga Super yang baru, Kelantan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam semalam. 

Dalam perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 yang menyaksikan kedua gol dijaringkan pada babak kedua. 


Tanpa lima pemain tonggak yang bersama skuad kebangsaan, Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mempertaruhkan barisan pemain simpanan dengan penampilan pemain jemputan, Jocip Bonasin yang turut beraksi cemerlang di posisi pertahanan. 

Seawal minit kesebelas, pintu gol Pelita Jaya hampir dibolosi menerusi sepakan percuma Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi setelah penjaga golnya, Ali Barkah gagal menangkap kemas, sementara rembatan susulan Mohd Nurul Azwan Roya selepas itu dihadang benteng pertahanan pasukan pelawat. 

Pemain pertahanan, Jocip seharusnya meletakkan Kelantan berada di depan pada m-33, namun tolakannya terkena jaring sisi sebelah kanan pintu gol Pelita Jaya biarpun Ali Barkah sudah pun tertewas di posisinya. 

Begitu pun, pemain sayap, Mohd Izuan Salahuddin menamatkan keresahan hampir 22,000 penyokong setia TRW apabila menjaringkan gol pendahuluan Kelantan pada m-72. 

Berpunca lorongan cantik Muhd Badhri, Mohd Izuan bijak melepasi perangkap ofsaid dan mengelecek Ali Barkah sebelum merembat kencang untuk gol Kelantan. 

Bagaimanapun, kelekaan benteng pertahanan Kelantan pada penghujung perlawanan, akhirnya mengundang padah apabila Joko Sasongko yang tidak dikawal, mudah merembat kencang dalam kotak penalti untuk gol penyamaan pasukannya. 

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN: Norhadi Ubaidilah, Mohd Daudsu Jamaluddin (S Subramaniam), Wan Rohaimi Wan Ismail, Jocip Bonasin, Mohamad Ab Aziz Ismail, Khairan Eruan Razali (Zul Yusri Che Harun), Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Izuan Salahuddin (Wan Zaman Wan Mustapha), Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Daniel Fadzly Abdullah) dan Mohd Nizab Ayub. 

PELITA JAYA FC: Ali Barkah (Kadek Wardana), Gilang Ginarsa (Ipan Priyanto), Edi Hafid, Ruben Karel Sanadi (Tri Rahmad Priadi), Magdis Faris (Andesi Prabowo), Egi Melgiansyah (KP), Joko Sasongko, Dedi Kusiyambar, Mustopha Aji (Riyandi Ramadana Putra), Abdul Rahman dan Engel Berd Sani (Apriansyah). 

Pelita Jaya Minat Bintang Muda Kelantan

KOTA BHARU - Kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya berminat untuk mendapatkan khidmat pemain muda Kelantan, Izuan Salahuddin.

Hasrat tersebut dinyatakan Pengurus kelab itu, Lalu Mara selepas menyaksikan kelibat Izuan, yang menjaringkan gol pada aksi persahabatan dengan Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, di sini kelmarin yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Izuan Salahuddin berjaya melepasi penjaga gol Pelita Jaya ketika menjaringkan gol Kelantan pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu semalam.

Menurut Lalu, dia kagum dengan kepantasan Izuan, pemain yang disenaraikan ke dalam skuad Harimau Muda untuk menjalani latihan ke Slovakia serta aksi persahabatan menentang kelab Liga Perdana England, Chelsea

"Pemain itu (Izuan) memiliki kepantasan larian yang begitu baik. Dia memiliki potensi sebagai pemain yang mampu menyerlah pada masa akan datang," katanya.

Izuan merupakan pemain dari skuad Piala Presiden yang diserapkan ke skuad utama Red Warriors mulai pertengahan musim ini.

Pelita Jaya sudah pun mendapat sentuhan pemain kebangsaan, Safee Sali.

Safee tidak diturunkan pada perlawanan kelmarin, yang menyaksikan Red Warriors beraksi tanpa lima pemain tonggak yang bersama skuad kebangsaan.

Kelantan turut mengambil kesempatan daripada perlawanan tersebut dengan menurunkan pemain jemputan dari Crotia, Jocip Bonasin, yang beraksi pada bahagian pertahanan.

Kelantan mendahului Pelita Jaya hasil jaringan Mohd. Izuan pada ke-72, hasil hantaran menarik Mohd. Badri Radzi.

Joko Sasongko menjadikan kedudukan 1-1 menerusi jaringan pada minit akhir perlawanan.

Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu memuji persembahan pemainnya dan yakin pasukannya mampu melangkah lebih jauh sekiranya diberi pendedahan beraksi dengan pasukan luar negara.

"Kita sebenarnya beraksi menentang pasukan yang kuat dan dalam perlawanan ini saya berpeluang menilai sejauh mana keupayaan pemain simpanan sekiranya berlaku situasi buruk terhadap pasukan ini dalam saingan Piala Malaysia nanti," katanya.

Mengenai persembahan Bonacin, Karathu berpuas hati dengan aksi pemain Croatia itu.

"Dia bermain dengan bagus, saiz fizikalnya sesuai selain mempunyai kelebihan kaki kiri. Namun, saya tidak boleh menilai persembahan dia dalam satu perlawanan sahaja. Dia ada kualiti tetapi saya mahu lebih daripada itu," katanya.

Sementara itu, Lalu berkata, perlawanan tersebut membuka lembaran baru dalam hubungan antara kedua-dua pasukan dan berhasrat mengundang Kelantan beraksi di Indonesia.

"Perlawanan ini amat berharga kepada Pelita Jaya kerana kebanyakan pemain yang diturunkan, pemain muda. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di atas pelawaan ini," katanya.