Wednesday, July 6, 2011

Usah Politikkan Bola Sepak

KOTA BHARU – UMNO didakwa menyalahgunakan populariti pasukan bola sepak The Red Warriors semata-mata untuk meraih sokongan golongan muda kepada UMNO. 

Ketua Pemuda Pas Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, pihaknya juga kesal dengan sikap Presiden Kafa yang mempolitikkan TRW selama ini dan kesal dengan tawaran pembinaan stadium oleh Perdana Menteri. 


“Kami menggesa supaya membersihkan TRW dari politik UMNO dan jangan sekali-kali cuba menggunakan pasukan bola sepak itu untuk politik peribadi bagi meraih simpati Perdana Menteri. 

“Pemuda Pas juga kesal dengan tindakan menyalahgunakan TRW bagi meraih sokongan anak muda kepada UMNO sedangkan bukan semua penyokong bola sepak menyokong UMNO berdasarkan suasana di stadium setiap kali perlawanan,” katanya kepada :Sinar Harian:, semalam. 

Menurutnya, suasana dalam stadium itu menunjukkan secara jelas penonton adalah penyokong Pas walaupun ada usaha setengah pemimpin UMNO yang menyerahkan bendera parti mereka ketika membuat pelepasan penyokong TRW. 

Selain itu, pihaknya juga kesal dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang membuat tawaran membina stadium dengan syarat Pas tumbang di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum akan datang. 

“Alhamdulillah stadium di Terengganu sebenarnya yang tumbang bukannya Pas Kelantan. Oleh itu kami mengecam sekeras-kerasnya sikap yang ditunjukkan seorang Perdana Menteri dalam sebuah negara demokrasi yang terus mengamalkan sikap :double standard.: 

“Beliau terus membuat tekanan politik ke atas Kerajaan Negeri yang dipilih secara sah oleh rakyat dalam keadaan Kelantan dinafikan hak royalti,” katanya. 

Abdul Latiff berkata, pihaknya yakin sekiranya royalti petroleum dibayar kepada Kerajaan Negeri bukan saja sebuah stadium serba canggih yang mampu dibina bahkan setiap kawasan parlimen boleh dibina sebuah Kompleks Sukan yang lengkap. 

Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang itu menegaskan pihaknya yakin rakyat Kelantan tidak akan menukar sebuah stadium dengan pemerintahan berasaskan Islam yang dipraktikkan Pas selama ini.

Hanya Selangkah Buru Mahkota

MENCARI satu mata keramat. Itu misi yang mahu dilaksanakan Kelantan dalam pemburuan mereka menjulang trofi Liga Super musim ini.

Andai berjaya meraih sekurang-kurangnya satu mata ketika menentang Sabah di Stadium Likas malam ini, Kelantan bakal ditabalkan selaku juara baharu Liga Super yang mula diperkenalkan pada 2004.

BARISAN pemain Kelantan begitu bersemangat memburu gelaran sulung Liga Super.

Dengan dua pencabar terdekat Kelantan, Selangor dan Terengganu turut memburu status yang sama, skuad The Red Warriors itu tampak memiliki sedikit kelebihan.

Keputusan seri ketika menentang Sabah sudah memadai buat Kelantan untuk dijulang sebagai juara.

Jika itu berlaku, Selangor yang akan menentang Perak di Ipoh, perlu menang dengan meledak lebih daripada 12 gol tanpa membiarkan gawang mereka dibolosi untuk memintas kedudukan Kelantan pada perlawanan terakhir tersebut.

Terengganu pula perlu mengatasi Felda United sekurang-kurangnya dengan tujuh gol tanpa bolos sambil mengharapkan Kelantan dan Selangor tumbang bagi membolehkan mereka meraih kejuaraan berganda musim ini.

Biarpun perkiraan itu dilihat sebagai suatu yang sukar buat Selangor dan Terengganu mencabar kedudukan Kelantan, namun barisan pemain The Red Warriors tidak perlu meletakkan risiko terhadap keputusan melibatkan kedua-dua pasukan tersebut.

“Sabah merupakan pasukan yang baik. Pada aksi di Kota Bharu sebelum ini, mereka beraksi dengan baik dan berjaya mengikat Kelantan.

“Walaupun berada agak bawah dalam carta liga, saya percaya mereka akan beraksi dengan lebih baik di di depan penyokong sendiri.

“Bagaimanapun, saya opti- mis dengan keupayaan pasu- kan Kelantan dan kita pasti ke sana untuk memenangi perlawanan.

“Ramai yang anggap satu mata sudah cukup tetapi saya tidak mahu fikir tentang itu kerana kita sentiasa turun untuk menang,” kata Karathu ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, tiada persiapan istimewa dilakukan bagi menghadapi Sabah, namun beliau yakin Kelantan tidak mempunyai masalah untuk mencapai kemenangan sekiranya para pemain mengikut arahan selain mengekalkan disiplin serta sentiasa bekerja keras untuk memburu gol.

Kehadiran semula lima tonggak yang menyarung jersi kebangsaan jelas membuatkan Karathu mampu tersenyum kerana Norshahrul Idlan Talaha, S. Chanturu, Shakir Shaari, Farisham Ismail dan Khairul Fahmi Che Mat berada dalam senarai perancangannya untuk turun menentang Sabah.

“Memang mereka adalah senjata kita yang sangat penting dan kesemua mereka ada dalam senarai saya.

“Namun kita akan memantau dari segi tahap kecergasan dan kecederaan untuk memastikan mereka dalam kesebelasan malam esok (malam ini).

“Pemain-pemain saya sudah beberapa kali beraksi dalam perlawanan besar dan penting, saya harap mereka mampu mencari ketenangan dan tidak terlalu tertekan.

“Tekanan yang melampau mampu 'membunuh' kita dan saya tidak mahu perkara itu berlaku,” jelasnya.

Tindakan Pantas Bapa

TUMPAT – Tindakan pantas seorang bapa membawa keluar tiga anaknya berjaya menyelamatkan mereka daripada rentung dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Kota Kubang Labu dekat sini, tengah hari semalam. 

Bagaimanapun, anak bongsu Mohd Affandy Mamat, 23, Balqis yang berusia setahun melecur lengan dan belakang akibat bahang panas ketika usaha bapanya membawa keluar dari rumah kayu berkembar yang disewa hampir setahun itu. 


Mohd Affandy berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dan tersedar apabila terhidu bau asap serta sesak nafas apabila ruang rumahnya diselubungi asap. 

Menurutnya, dia dengan pantas terus ke dapur untuk memadam api, tetapi tidak berjaya kerana api semakin marak yang berpunca dari rumah sebelah yang berkembar dengan rumahnya. 

“Dalam keadaan kelam kabut itu, saya mencari anak-anak saya yang ketika itu dua daripada anak saya tidur dalam bilik. 

“Manakala seorang lagi tidur di sebelah saya di ruang tamu tetapi kerana panik, saya tidak perasan anak saya tidur sebelah saya menyebabkan saya mencari serata tempat di dalam rumah itu,” katanya. 

Menurutnya, dia sempat membawa anak-anak yang berusia setahun hingga empat tahun keluar, namun dia cuba masuk sekali lagi ke dalam rumah untuk menyelamatkan harta benda tetapi tidak berjaya kerana api mulai marak dan membakar semua harta benda, termasuk telefon dan wang tunai. 

“Saya sempat menyelamatkan sebuah motosikal , manakala barang rumah yang lain hangus terbakar,” katanya yang juga seorang peniaga kedai makan. 

Ketika kejadian, isterinya, Haslinda Ramli, 22, tiada di rumah kerana keluar bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kota Bharu, bergegas pulang selepas dimaklumkan kejadian kebakaran itu. 

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Mohd Ridhuan Harun berkata, seramai 11 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 1.19 petang. 

Menurutnya, operasi memadam kebakaran turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim dan Pengkalan Kubor. 

“Punca kebakaran masih dalam siasatan melibatkan kerugian sebanyak RM100,000 apabila dua rumah berkembar dua pintu hangus terbakar,” katanya.

Saingan Tiga Penjuru

KOTA BHARU – Saingan Liga Super bakal melabuhkan tirainya malam ini dengan penentuan pasukan mana yang bakal bergelar juara terpaksa ditentukan sehingga tiupan wisel penamat 90 minit perlawanan. 

Tiga pasukan berstatus jagoan, dua daripadanya ialah negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu sementara juara liga musim lalu, Selangor terpaksa menanti penuh sabar siapakah antara mereka yang berhak menjulang trofi kejuaraan seterusnya meraih wang tunai RM500,000 selaku bergelar juara. 


Di atas kertas, kelebihan seolah-olah berpihak kepada pendahulu liga, Kelantan yang hanya sekadar memerlukan keputusan seri menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini. 

Dengan mempunyai kelebihan dua mata mengatasi Selangor dan tiga mata mengatasi Terengganu, Kelantan tidak perlu bersusah payah untuk mengerah kudrat mencari tiga mata sebenarnya kerana keputusan seri sama ada 0-0, 1-1, mahupun 2-2 sudah cukup memadai buat anak buah Datuk M Karathu merangkul trofi kejuaraan pertama bagi mereka sejak ianya dipertandingkan tujuh tahun lalu. 

Begitu pun, andai Kelantan tewas sekalipun, The Red Warriors masih mampu bergelar juara sekiranya pencabar terdekat, Selangor sekadar seri atau tewas kepada Perak. 

Manakala Terengganu pula gagal mengalahkan KL Felda United FC dengan defisit sekurang-kurangnya enam gol. 

Tugas sukar sebenarnya menanti Selangor untuk mempertahankan kejuaraan yang dimiliki mereka musim lalu, apabila perlu mengalahkan Perak dengan jaringan yang cukup besar iaitu 12 gol atau lebih sekiranya pertemuan Sabah dan Kelantan berkesudahan dengan keputusan seri. 

Malah perkiraan matematik mudah juga membuktikan peluang masih ada bagi anak buah K Devan untuk mempertahankan kejuaraan dengan syarat perlu mengalahkan Perak, selain mengharapkan Kelantan dan Terengganu tersungkur kepada lawan masing-masing. 

Ini bererti Selangor bakal mengutip mata maksima 54 mata, sementara Kelantan kekal 53 mata dan Terengganu 51 mata. 

Namun situasi berbeza turut membayangi juara Piala FA yang baru, Terengganu yang berpeluang untuk memintas kedua-dua pasukan seterusnya muncul juara baru liga musim ini. 

Perkiraannya cukup mudah betapa skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim perlu mengharapkan Kelantan tewas dengan defisit dua gol ke atas kepada Sabah, manakala Selangor seri atau kalah kepada Perak, sementara Terengganu perlu menang dengan defisit sekurang-kurangnya enam gol ke atas KL Felda United FC. 

Menarik sungguh bola sepak Malaysia kerana penentuan juara Liga Super musim ini terpaksa ditentukan menerusi perlawanan terakhir liga. 

Malah kadang-kala keputusan tidak terduga juga hadir mewarnai ketiga-tiga pasukan sebelum ini. 

Kelantan pernah menewaskan KL Felda United FC 6-0, Selangor (5-1), Terengganu (3-0), namun dibelasah pula Perak 0-4. 

Sementara, Selangor pernah menewaskan Perlis 7-1 dan Terengganu pula pernah mengalahkan Negeri Sembilan 3-0 dan Pahang 5-0. 

Jadi, apakah mustahil pesta kenduri gol boleh berlaku dalam perlawanan terakhir ini? Sama-sama kita nantikan.

Dua Maut Nahas Awal Pagi

BACHOK – Dua maut dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Kandis, Kampung Air tekok Merah pada jam 5.20 pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Yahya Salleh berkata, kemalangan tersebut menyebabkan seorang peniaga, Fatimah Mat Saman, 42, yang memandu van dengan nombor pendaftaran DAS 4032 serta pemandu kereta dengan nombor pendaftaran CAV 6390, Mohd. Nor Hafiz Ahmad,21, meninggal dunia di tempat kejadian. 

Gambar hiasan

“Dipercayai kereta tersebut dari arah Melawi menuju ke Tok Bali telah memasuki laluan kanan jalan dan bertembung dengan van Fatimah yang dari arah Tok Bali. 

“Kedua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan seorang wanita penumpang kereta bersama Mohd. Nor Hafiz cedera parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi HUSM,” katanya. 

Fatimah dikatakan dari Kampung Melawi manakala Mohd. Nor Hafiz pula beralamat di Pulau Perhentian. 

Menurutnya jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke hospital di Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga masing- masing. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Detik Kelantan

Karathu tertekan tapi yakin Red Warriors juara Liga Super malam ini 

KELANTAN, pasukan yang di ambang menjulang kejuaraan mahkota Liga Super, musim ini mene­gaskan tidak memerlukan ihsan dan bantuan Sabah yang bakal ditemui di Stadium Likas, malam ini bagi membantu mereka melakar sejarah merangkul kejuaraan berprestij itu buat julung kali.

Jurulatih, Datuk M Karathu juga menegaskan skuad bim­bingannya juga tidak memerlukan ihsan atau bantuan Perak dan Felda United menundukkan juara bertahan, Selangor dan Terengganu yang masih berpeluang dan memintas mereka di saat-saat akhir.

NORSHAHRUL Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat gigih berlatih menjelang pertemuan
dengan Sabah, malam ini.
NORSHAHRUL Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat gigih berlatih menjelang pertemuan dengan Sabah, malam ini.

“Biarlah kami tentukan sendi­ri takdir kami. Kami tidak mengharapkan ihsan atau bantuan pasukan lain. Saya hanya harapkan pemain mempamerkan komitmen tinggi dalam permai­nan malam esok (malam ini) sekali gus memastikan kemenangan berada dalam genggaman,” katanya selepas sesi latihan ri­ngan di Stadium Likas sejurus tiba di Kota Kinabalu, semalam. 

Kelantan yang kini mengumpul 53 mata hanya memerlukan seri dalam pertemuan terakhir malam ini bagi mengesahkan kejuaraan sekali gus mema­damkan terus sisa-sisa harapan skuad bimbi­ngan K Devan yang mengekori di tempat kedua de­ngan 51 mata dan Irfan Bakti di tangga ketiga, 50 mata. 

“Saya akui kami lebih tertekan berbanding lawan (Sabah), tetapi saya yakin pemain mampu menanganinya. Saya juga percaya pemain tidak mahu kecewa lagi selepas tewas di final Piala FA. Jadi, mereka berjanji tidak akan mensia-siakan kerja keras yang sudah dilakukan dari awal dan kini hanya tinggal satu lagi perlawanan untuk mereka bergelar juara,” katanya. 

Kereta, Van Tembung 2 Maut

KOTA BHARU - Dua maut manakala seorang lagi cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan yang membabitkan dua kenderaan dalam kejadian di Kampung Teko Air Merah, dekat Kandis di sini, pagi semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu, kedua-dua mangsa, pemandu van Fatimah Mat Saman, 42, dan pemandu kereta, Mohd Noor Hafiz Ahmad, 21, masing-masing meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai tersepit dalam remukkan kenderaan mereka. 


Bagaimanapun, rakan kepada Mohd Noor Hafiz, Che Salwa Che Johan, 20-an, cedera parah dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan keadaannya dilaporkan kritikal. 

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Kelantan/Trafik, Superintendan Azli Mohd Noor, semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. 

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika kereta yang dipandu Mohd Noor Hafiz yang bekerja sebagai pemandu bot pelancong bersama rakannya dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Bachok. 

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Proton Wira itu dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan van yang dipandu Fatimah. 

”Kedua-dua pemandu dipercayai tersepit dalam remukkan kenderaan masing-masing sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat sebaik tiba di tempat kejadian,” katanya. 

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke HUSM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sementara itu, suami kepada Fatimah, Yassin Seman, 38, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa isterinya itu kira-kira jam 6.30 pagi selepas dihubungi polis. 

Beliau berkata, sebaik menerima panggilan itu, dia bergegas ke tempat kejadian dan mendapati isterinya sudah meninggal dunia serta van yang dipandunya remuk di bahagian depan. 

”Isteri saya keluar dari rumah kira-kira jam 5 pagi untuk membeli barang di pasar Jelawat sebelum ke tempat berniaga di pasar Besut, Terengganu. 

”Saya terkilan kerana tidak sempat menatap wajah dan bercakap dengan dia. Kebiasaannya, setiap hari ketika memunggah barang masuk ke dalam van, saya sempat berbual dengan dia sebelum keluar,” katanya. 

Katanya, dia tidak menyangka pemergian isterinya bagi mencari nafkah keluarga hari ini (semalam), adalah untuk selama-lamanya apabila dia terlibat dalam kemalangan maut dan jenazah isterinya akan dibawa pulang ke Kampung Gong Manok, Semerak, Pasir Puteh untuk dikebumikan. 

Sementara itu, kakak kepada Noor Hafiz, Noramiza, 24, berkata, dia sekeluarga mengetahui kejadian menimpa adiknya kira-kira jam 6.45 pagi, selepas dimaklumkan polis. 

Dia berkata, ketika itu, adiknya bersama rakannya dikatakan dalam perjalanan dari Kota Bharu selepas keluar dari rumah malam semalam dan keluarga amat terkejut kerana tidak sampai setahun adik kepada arwah iaitu, Mohd Ridzuan juga maut akibat kemalangan jalan raya. 

“Ketika berada di Pulau Perhentian pagi semalam, dia kelihatan muram dan kurang bercakap. Biasa dia sangat periang dan mudah bercakap apabila ditegur tetapi semalam dia kelihatan pendiam dengan adik beradik lain,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HUSM, di sini semalam.

Peluang Terbaik The Red Warriors

KOTA BHARU - Pasukan The Red Warriors mesti mengutip sekurangkurangnya satu mata ketika bertemu Sabah malam ini, sekiranya mahu mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ini.

Selepas gagal menjuarai Piala FA, Kelantan di bawah bimbingan Datuk M. Karathu kini berada pada landasan terbaik untuk menamatkan penantian sejak tiga tahun lalu, bagi bergelar juara liga buat pertama kali.


Malah, Karathu mengakui ini merupakan peluang terbaiknya untuk menebus kehampaan tewas 1-2 kepada Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA sebelum ini.

"Kita ke Kota Kinabalu dengan misi yang cukup jelas iaitu mencipta kemenangan. Sudah pasti Sabah akan bermain mati-matian dan tidak memberi laluan mudah, namun kita sudah bersiap sedia menjadi pasukan keenam mengalahkan mereka di tempat sendiri kali ini.

"Ini bukan sahaja berkisar mengenai soal untuk kita mengutip mata tetapi lebih penting bagi kami ialah memburu kejuaraan liga yang pertama. Kejuaraan liga sudah terlalu hampir dengan kami," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Sehubungan itu, Karathu menuntut barisan pemainnya mempamerkan semangat juang yang tinggi sebagai watak seorang juara.

Beliau memberitahu, meskipun turun tanpa kelibat pemain sayap, Mohd. Nurul Azuwan Roya yang menghadapi penggantungan, kembalinya lima tonggak utama yang menggalas tugas bersama skuad kebangsaan iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Mohd. Farisham Ismail, S. Chanturu, Mohd. Shakir Shaari dan Khairul Fahmi Che Mat memberikan tonik buat Kelantan untuk mempamerkan aksi terbaik.

"Segalanya cukup sempurna sekarang. Lima tonggak akan bersama dengan kita termasuk Norshahrul Idlan yang sudah boleh beraksi.

"Saya percaya berbekalkan semangat di atas kejayaan membantu skuad negara mara ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia, bakal menjadi pembakar semangat kepada lima pemain tersebut untuk beraksi lebih baik.

"Kecuali Nurul Azuwan yang terpaksa disisihkan kerana menjalani penggantungan perlawanan. Saya percaya penggantinya Mohd. Izuan Salahuddin mampu beraksi dengan baik mengisi posisi sayap kiri.

"Malah, motivasi dalam kalangan pemain juga cukup bagus ketika ini. Mereka mengerti ini merupakan peluang terbaik untuk membawa Kelantan bergelar juara dan mereka sudah tidak sabar-sabar lagi untuk mencipta sejarah baru ini," jelasnya.