Tuesday, July 5, 2011

Kelantan Tak Rela kempunan

KOTA BHARU - Ketika Terengganu dan Selangor melaungkan betapa peluang mereka masih terbuka untuk mendakap kejuaraan liga, pendahulu liga Kelantan pula jelas tidak mahu sewenang-wenangnya melepaskan dengan mudah trofi kejuaraan paling berprestij itu biarpun penentuan pasukan bergelar juara terpaksa ditentukan menerusi perlawanan terakhir liga. 


Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim berkata, biarpun pasukannya sekadar memerlukan satu mata untuk mengesahkan status selaku juara baru Liga Super musim ini, namun beliau tidak mahu melakukan perjudian sebaliknya tetap mengharapkan kemenangan dalam perlawanan terakhir menentang Sabah nanti. 

“Walaupun keputusan seri sudah memadai bagi kita, namun matlamat sebenar Kelantan bertandang ke Kota Kinabalu ialah untuk mencatatkan kemenangan. 

“Saya yakin kita mampu menamatkan penantian sejak tiga tahun lalu untuk bergelar juara kali ini,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Beliau percaya, ini merupakan peluang terbaik bagi Kelantan menjulang kejuaraan dan para pemain juga menyedari mereka sudah terlalu hampir mencapai impian tersebut. 

“Saya tidak mahu bergantung kepada keputusan lain kerana apa yang kita kecapi hari ini (menduduki tangga teratas liga) adalah hasil usaha gigih kita semata-mata. 

“Kegagalan dalam perlawanan akhir Piala FA lalu menjadi pengajaran dan ia menjadi suntikan semangat kepada pemain dan kita tidak mahu kecewa lagi. 

“Begitupun saya tetap tidak memandang mudah pertemuan dengan Sabah ini,” katanya. 

Menurutnya, beliau tidak mahu mendabik dada sebaliknya melihat semangat luar biasa yang ditunjukkan anak buahnya sejak menyambung latihan kira-kira dua minggu lalu membuktikan betapa misi untuk membawa pulang piala itu ke negeri ini buat pertama kali ternyata tidak mustahil. 

“Siapa kata kita tidak boleh mengalahkan Sabah di Kota Kinabalu. Kalau Selangor, Terengganu, Johor FC, Harimau Muda dan T-Team mampu berbuat demikian, saya tidak nampak mengapa kita tidak boleh melakukan perkara sama. 

“Malah dua pencabar terdekat kita iaitu Terengganu dan Selangor juga sudah pasti berhadapan tugas sukar kerana bermain di tempat lawan. 

“Tidak mudah bagi Terengganu untuk berhadapan dengan KL-Felda United FC kerana hanya Kelantan, Selangor, Kedah dan Perak yang pernah menewaskan pasukan berkenaan di tempat mereka,” katanya . 

Sementara itu, Azman turut mengesahkan kesemua lima pemain Kelantan yang bersama skuad kebangsaan menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia di Taiwan akan kembali menyertai pasukan, esok. 

Lima pemain tersebut ialah Norshahrul Idlan Talaha, Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail, Mohd Shakir Shaari dan S Chanturu.

Perlu Menang di Likas

SELEPAS hampir tiga minggu berehat, saingan Liga Super kembali menerjah peminat bola sepak tanah air esok yang menyaksikan tiga pasukan teratas terus bersaing memburu gelaran. Paling hampir untuk mencipta sejarah adalah Kelantan yang hanya memerlukan satu mata ketika mereka dijadualkan berkunjung ke Kota Kina- balu menentang Sabah untuk perlawanan terakhir bagi memastikan piala Liga Super dibawa pulang ke Kota Bharu.


Kelantan dilihat berada pada kedudukan terbaik selepas mereka menerima semula khidmat lima tonggak utama, Norshahrul Idlan Talaha, S. Chanturu, Khairul Fahmi Che Mat, Fari- sham Ismail dan Shakir Shaari yang baru pulang menunaikan tugas bersama pasukan kebangsaan. Kelibat Norshahrul yang beraksi pada perlawanan antara Malaysia dan Taiwan malam kelmarin melegakan peminat- peminat The Red Warriors selepas bintang mereka itu dilaporkan mengalami kecederaan sebelum ini.

Perlawanan malam esok bukan sahaja menyaksikan persaingan merebut piala Liga Super tetapi juga gelaran penjaring terbanyak antara Norshahrul dan Abdul Hadi Yahya dari Terengganu apabila mereka hanya dipisahkan dengan satu gol sahaja. Berdasarkan rekod pertemuan, Sabah adalah antara tiga pasukan yang gagal ditumpaskan Kelantan ketika aksi di ‘stadium keramat’ mereka, Stadium Sultan Muhammed IV apabila perlawanan hanya berkesudahan seri tanpa jaringan pada 16 April lalu.

Beraksi di Stadium Likas, The Red Warriors perlu berhati- hati kerana pasukan tuan rumah turut memiliki rekod yang cukup baik termasuk pernah menewaskan Perak dan Kedah, manakala Kelantan memerlukan kemenangan untuk mengesahkan mereka sebagai juara baru Liga Super dan menambah koleksi kemenangan di gelanggang lawan. 

Kelibat penjaring terbanyak Sabah, Razlan Oto dan penyerang veteran, Zainizam Mar- jam perlu diberi perhatian oleh anak-anak buah Datuk M. Karathu kerana kedua-duanya mempunyai keupayaan untuk meledakkan gol. Ketua Pasukan Kelantan, Badri Radzi ketika dihubungi bagaimanapun percaya dia dan rakan-rakan lain sudah bersedia untuk membawa pulang tiga mata penuh bagi dinobatkan sebagai juara baharu pertandingan bola sepak paling berprestij tanah air itu.

Menurutnya, kejayaan membawa pulang Piala Liga Super sudah tentu mengubat kekecewaan peminat selepas The Red Warriors terpaksa merelakan Terengganu mendakap Piala FA selepas kecundang 2-1 pada perlawanan akhir 11 Jun lalu. 

“Kita pergi untuk menang walaupun satu mata sudah cukup untuk kita mengesahkan kejuaraan. Apabila bermain untuk seri, kita dalam bahaya, Selangor dan Terengganu hanya tunggu masa dan kita tidak mahu berputih mata sekali lagi. 

“Perlawanan ini sangat penting. Saya gembira apabila lima rakan yang menyertai skuad kebangsaan akan bersama kami semua. Ia sudah tentu perlawanan yang sengit tetapi kita mahu memenanginya,” ujarnya. Tambahnya, ketiadaan Nurul Azwan Roya yang mengutip tiga kad kuning sedikit merencatkan perancangan, namun beberapa pemain lain seperti Mohd. Izuan Solahuddin mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Kelantan Elak tumbang di Likas

KOTA BHARU - Meskipun Kelantan memerlukan satu mata untuk bergelar juara Liga Super musim ini, ketua pasukannya Mohd. Badri Radzi menuntut kerja keras rakan sepasukan bagi memastikan The Red Warriors mencapai kemenangan ke atas Sabah dalam aksi terakhir liga di Stadium Likas, Kota Kinabalu, esok.

Mohd. Badri Radzi (dua dari kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Kota Bharu, semalam menjelang pertemuan menentang Sabah di Stadium Likas, esok

Anak kelahiran Kampung Atas Paloh ini berkata, hanya kemenangan sahaja yang akan menjamin peluang The Red Warriors untuk bergelar juara sekali gus menjulang kejuaraan Liga Super buat kali pertama sejak diperkenalkan tujuh tahun lalu.

''Kita tidak boleh bergantung kepada orang lain untuk membantu kita meraih kemenangan. Untuk itu setiap peluang yang ada harus digunakan sebaik mungkin dengan menjaringkan gol agar kita mendapat tiga mata penuh dan muncul juara.

"Inilah peluang terbaik buat kita untuk mencipta sejarah baru iaitu bergelar juara Liga Super buat kali pertama selepas gagal melakukannya pada tahun lalu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, Badri turut mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang rendah kemampuan Sabah yang pastinya akan turun habis-habisan untuk mengecewakan Kelantan.

"Ruang rehat selama tiga minggu ini telah kami gunakan dengan baik dalam memperkemaskan pasukan dengan tunjuk ajar yang diberikan oleh jurulatih. Secara keseluruhannya saya dan rakan sepasukan telah bersedia untuk perlawanan ini," ujarnya.