Friday, July 1, 2011

Sedia Kaji Semula

KOTA BHARU- Perbadanan Stadium Negeri akan mengkaji semula kewajaran mewujudkan sistem meletakkan kenderaan berbayar di kawasan Stadium Muhammad IV, di sini. 

Pengerusinya, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihak perbadanan dan Kerajaan Negeri akan meneliti secara mendalam pelaksanaannya supaya ia memberi keselesaan kepada pengguna. 


Menurutnya, setakat ini ia masih di peringkat awal dan sekiranya dilihat tidak memberikan manfaat serta menyukarkan rakyat sistem itu akan dimansuhkan. 

“Kerajaan Negeri tidak zalim, dalam hal ini ia masih baru dan kita akan memperhalusnya. 

“Kita akan menilai lokasi yang sebenarnya perlu dikenakan bayaran dan juga perjalanan sistem ini, sekiranya menampakkan kerumitan ia tidak akan diteruskan,” katanya. 

Ahmad menjelaskan sedemikian berikutan tinjauan mendapati pondok daripada sebuah syarikat swasta yang mengendalikan sistem meletak kenderaan berbayar sudah dibina di kawasan stadium. 

Ahmad berkata, perbadanan bersama pihak pemaju projek berkenaan masih belum menandatangani perjanjian. 

Bagaimanapun, difahamkan pihak perbadanan juga sudah mengarahkannya supaya kerja-kerja awal pemasangan infrastruktur ditangguhkan buat sementara waktu. 

Sementara itu, pelbagai reaksi daripada pengguna diterima berhubung menggunakan sistem meletakkan kenderaan secara berbayar. 

Seorang peniaga, Che Hamzah Che Hamzah Omar, berkata, sistem berkenaan boleh memberi keselesaan kepada pengguna kerana ia dilakukan secara sistematik. 

“Bagi saya, sampai bila rakyat Kelantan perlu menerima perkhidmatan secara percuma dan perkara ini tidak akan membebankan,” katanya. 

Bagi peniaga lain, Chua Kar Hor pula, pelaksanaan sistem berkenaan akan menjejaskan perniagaannya. 

“Jika masuk kawasan ini akan dikenakan bayaran sudah pasti pemborong dan peruncit memilih kedai lain untuk mendapatkan bekalan,” katanya.