Tuesday, June 28, 2011

Dilema atlet Muslim, ‘Juang’ Isu Hijab Sebelum Saingan Angkat Berat

ATLANTA, 28 Jun — Dia mampu mengangkat berat 240 paun dan boleh melakukannya lebih 100 kali. Bagaimanapun, sebagaimana disedari Kulsoom Abdullah sendiri baru-baru ini, dia tidak boleh melakukannya lagi kecuali atlit itu sanggup tidak lagi menutup bahagian kaki dan tangan.

Kulsoom Abdullah, yang dilarang mengambil bahagian dalam kejohanan utama angkat berat ekoran hijab, melakukan latihannya di Atlanta Jumaat lalu.

Kulsoom, 35, seorang Muslim Amerika berkata mematuhi peraturan sedemikian bermakna dia terpaksa melanggar keperluan prinsip agamanya.

Sebaliknya, daripada berputus asa dalam mencapai impiannya bersaing kejohanan mengangkat berat, Kulsoom mahu memperjuangkan dan bertarung agar peraturan antarabangsa sukan dapat dipinda.

Kulsoom dilihat satu-satunya wanita di dunia yang mahu bersaing dengan mengenakan hijab — yang menutup bahagian kepala, tangan dan kaki.


Ilustrasi pakaian yang menjadi sebahagian daripada hujah dikemukakan oleh Kulsoom Abdullah. — Foto ihsan msnbc.com

Dilema Kulsoom adalah satu daripada antara isu yang tercetus dalam dunia sukan ini, membabitkan wanita Islam yang mahu bertanding, kemungkinan di kalangan mereka buat kali pertama bertanding.

“Saya merasakan manis jika dalam mana-mana sukan, seorang wanita yang menutup kaki dan tangannya... (tetapi) masih boleh melibatkan diri (mengambil bahagian),” kata Kulsoom lagi.

“Dengan kod pakaian ini, wanita Islam kemungkinan merasakan ia bukan sesuatu yang seharusnya mereka harus lakukan,” katanya dipetik laporan msnbc.com.

Kulsoom, yang ibu bapanya berhijrah dari Pakistan, lahir serta dibesarkan di Georgia.

Dia mengenakan hijab sejak dari kecil lagi.

Pakaian Kulsoom tidak menjejaskan semangatnya. Ketika mengikuti pengajian ijazah Doktor Falsafah jurusan rangkaian komputer di Georgia Tech, dia memperoleh tali pinggang kategori hitam dalam tae kwan do. Dia mula menyertai sukan mengangkat berat empat tahun lalu, sebahagian daripada rejimen latihannya. Minatnya berterusan sehingga kini.

“Saya sudah ketagih... bukan sahaja secara fizikal, tetapi juga secara psikologi,” tambah Kulsoom.

“Saya telah mencapai tahap yang secukupnya untuk melayakan diri saya ke kelas angkat berat di peringkat kebangsaan pada Oktober 2010,” kata Kulsoom, yang lazimnya menjalani latihan menggunakan pakaian longgar dan lengan panjang.

“Itu kali pertama (isu) pakaian muncul,” katanya.

Buat masa sekarang, peraturan memerlukan bahagian kaki dan tangan tidak ditutup bagi membolehkan hakim melihat kedudukan siku dan lutut “terkunci” dalam menentukan sama ada angkat berat berjaya ataupun sebaliknya.

Kebanyakan pesaing mengenakan pakaian khas dengan lengan pendek dan seluar pendek, dikenali sebagai singlet.

Kulsoom berhujah bahawa ada pakaian alternatif — kelengkapan sukan dengan lengan panjang dan seluar ketat — yang boleh memenuhi syarat kesederhanaan dan yang adil kepada semua.

Kulsoom Abdullah mula mengangkat berat berat sebahagian daripada rejiman latihan tae kwan do. - Foto ihsan msnbc.com.

Kulsoom Abdullah mula mengangkat berat berat sebahagian daripada rejiman latihan tae kwan do. 

Dia berhujah bahawa mereka juga akan memenuhi keperluan pertandingan. Tetapi apabila dia memohon untuk bersaing dalam kejohanan angkat berat kebangsaan AS tahun ini, yang dijadual diadakan bulan depan Council Bluffs, Iowa, menggunakan pakaian yang sudah diubahsuai, USA Weightlifting, badan penyelia kebangsaan sukan, mempertikaikan tindakan Kulsoom.

“Oleh kerana USA Weightlifting ditadbir oleh peraturan International Weightlifting Federation, kita mesti mematuhi peraturan-peraturan itu dan oleh itu, permintaan anda ditolak iaitu mengubahsuai pakaian kejohanan,” tulis Ketua Pegawai Eksekutif John Duff dalam satu e-mel kepada Kulsoom.

Kini, Kulsoom membawa kesnya kepada International Weightlifting Federation.

Kulsoom telah menyediakan hujah 43 halaman, memperincikkan opsyen-opsyen pakaian yang menurutnya akan memerlukan keperluan kesederhanaan sebagai seorang Muslim dan seterusnya dibenarkan menyertai pertandingan.

Dengan bantuan seorang peguam, aktivis Muslim dan Jawatankuasa Olimpik AS, kesnya kini berada dalam agenda International Weightlifting Federation yang bermula di Pulau Pinang, Malaysia kelmarin. Keputusannya akan diumumkan dalam beberapa hari lagi.

Khairul Belum Pasti Boleh Jaga Gawang

KESAKITAN bahu kanan selepas dirempuh pemain Lubnan pada aksi kelayakan Sukan Olimpik London, Khamis lalu masih lagi dirasai penjaga gol utama negara Khairul Fahmi Che Mat (gambar).

Pastinya situasi itu memberikan perkhabaran buruk buat skuad kebangsaan yang bakal berdepan Taiwan pada perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.


“Sejak menyertai latihan skuad kebangsaan saya hanya menjalani latihan ringan saja. Bahu kanan saya masih sakit bila digerakkan. Saya tidak tahu sama ada akan diturunkan atau tidak, terpulang kepada jurulatih untuk membuat keputusan.

“Saya memang bersemangat untuk bermain dan jika diturunkan, saya tetap bersedia,” katanya yang mengaku terpaksa meneruskan perlawanan itu dengan menahan kesakitan selepas terjatuh akibat dirempuh seorang pemain Lubnan ketika perebutan bola tinggi.

Khairul Fahmi yang turut mesra dengan panggilan Apek membantu skuad Olimpik negara layak ke saingan peringkat kumpulan kelayakan Olimpik London dengan menewaskan Lubnan 2-1.

Biarpun baru berusia 22 tahun, dia berjaya mengukuhkan tempatnya bersama skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal selepas aksi tangkasnya menyumbang kepada kemenangan negara pada Piala Suzuki AFF, Disember lalu.

Jika Khairul Fahmi tidak berada di tahap terbaik menjelang perlawanan esok, tempatnya dijangka bakal diisi penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli atau Mohd Nasril Nourdin dari Perak.

Norshahrul, Hadi sudah kembali

NAMA Norshahrul Idlan Talaha dan Abdul Hadi Yahaya berada dalam senarai terakhir 23 pemain untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan malam esok seperti diumum jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal semalam.

Tujuh pelatih digugurkan iaitu Syed Adney Syed Hussein, K. Sasikumar (penjaga gol), Azmi Muslim, Rizal Fahmi Rosid, Hisyamudin Shaari (pertahanan), Yong Kuong Yong (sayap) dan Shahrizal Saad (penyerang).

"Pemain yang digugurkan ini mengalami kecederaan atau baru pulih daripada kecederaan seperti Adney, Azmi dan Shahrizal.

BARISAN pemain negara giat menjalani latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan malam esok.

"Manakala bagi Rizal dan Hisyamudin, saya mempunyai ramai pilihan di posisi pertahanan tengah," kata Rajagobal ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Dengan penyenaraian Norshahrul dan Hadi yang telah menjalani latihan penuh semalam, Rajagobal mempunyai pilihan besar di posisi penyerang selain Safee Sali, Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saarani.

Empat pilihan untuk mengemudi jentera tengah ialah Safiq Rahim, Amar Rohidan, Shakir Shaari dan K. Gurusamy manakala bahagian sayap digerakkan Amirulhadi Zainal, S. Kunanlan, Ashari Samsudin dan S. Chanthuru.

Posisi pertahanan tengah pasti memeningkan Rajagobal dengan empat pemain mampu menggalas tugas tersebut iaitu Aidil Zafuan Radzak, Muslim Ahmad, Fadhli Shas dan Farisham Ismail.

Posisi pertahanan kanan bakal diisi Helmi Remeli, pertahanan kiri Asraruddin Putra Omar manakala Mahali Jasuli bersedia beraksi di kedua-dua posisi tersebut andai diperlukan.

"Kecederaan Azmi menyebabkan hanya Asraruddin di posisi pertahanan kiri, tetapi kita masih memiliki dua pemain yang boleh beraksi di posisi tersebut iaitu Mahali dan Fadhli.

"Saya tak kata barisan 23 pemain ini yang terbaik, tetapi inilah pemain yang kita miliki untuk menghadapi Taiwan," jelas Rajagobal.

Bagi posisi penjaga gol, Rajagobal menyenaraikan Khairul Fahmi Che Mat, Sharbinee Allawee Ramli dan Nasril Nourdin.

Ditanya tentang pasukan lawan, Rajagobal berkata, dia telah menunjukkan video corak permainan Taiwan ketika Kelayakan Piala Cabaran AFC 2012 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Mac lalu kepada anak-anak buahnya.

"Tapi kita tak boleh anggap ia pasukan Taiwan yang sama kerana mungkin kali ini mereka menyenaraikan beberapa pemain baharu yang lebih baik.

"Jadi di sini saya pentingkan persiapan pasukan sendiri dan pada masa sama menghormati juga lawan biarpun ranking mereka lebih rendah," tegas Rajagobal.

Pada Kelayakan Piala Cabaran AFC itu, Taiwan tewas ketiga-tiga perlawanan kepada India (0-3), Turkmenistan (0-2) dan Pakistan (0-2).