Saturday, June 25, 2011

Janda Maut Dalam Tandas

BANDARAYA MELAKA - Seorang tukang cuci terkejut apabila menjumpai mayat s wanita bersama anaknya yang baru dilahirkan dalam tandas di sebuah kilang membuat pemacu cakera keras di Taman Perindustrian Merlimau, Jasin, dekat sini, petang kelmarin. 


Operator pengeluaran yang masih berpakaian seragam kilang itu ditemui mati dalam keadaan duduk bersandar ke belakang di atas mangkuk tandas sementara bayi perempuannya yang cukup sifat serta tali pusat masih belum dipotong pula di atas lantai bersebelahan ibunya. 

Menurut Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam, mangsa yang merupakan ibu tunggal dikenali sebagai Hinaliza Hussein, 30, berasal dari Jalan Bunga Matahari, Felda Kemendor, Jasin ditemui kira-kira jam 4.45 petang. 

“Mangsa dipercayai mati akibat pendarahan yang banyak dan menahan kesakitan seorang diri selepas melahirkan bayinya ketika waktu bekerja. 

“Bagaimanapun tiada seorang saksi yang nampak mangsa memasuki tandas sebelum ibu beranak dua itu ditemui tukang cuci berkenaan dan memaklumkan kepada pihak kilang, lalu menghubungi Klinik Kesihatan Merlimau serta pihak polis,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Che Suza berkata, sisatan awal mendapati tiada unsur jenayah terhadap mangsa kerana pihaknya mendapati tiada kesan pecah pada pintu bilik air dan pintu berkenaan juga tidak berkunci. 

“Siasatan juga mendapati mangsa tinggal menumpang di rumah abangnya di Kampung Kilang Berapi, dekat sini dan kakak mangsa tidak mengetahui adiknya itu sarat mengandung sembilan bulan,” katanya.

Mayat mangsa dan anaknya kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut dan cuba menyembunyikan kelahiran.

Katak Dalam Bungkusan Nasi

RANTAU PANJANG – Seorang lelaki di sini terkejut apabila mendapati nasi yang dibeli di sebuah kedai di pekan Rantau Panjang pagi semalam mempunyai seekor katak bersaiz ibu jari orang dewasa.

Lelaki terbabit yang mahu dikenali sebagai Faizal, 25, berkata dia kecewa kerana peniaga terbabit tidak menitik beratkan soal kebersihan ketika penyediaan makanan.


Menurutnya, dia tidak melihat isi bungkusan berkenaan dan terus makan, bagaimanapun hasratnya terbantut apabila melihat objek seperti katak dalam makanan tersebut.

“Saya baru menyuap nasi ke mulut tetapi sebaik melihat objek seperti katak saya berhenti.
“Selepas mengamatinya jangkaan saya tepat, ia memang katak dan saya terus muntah,” katanya.

Faizal berkata, nasi berlaukkan daging serta sayur campur tersebut dibeli dengan harga RM3.00.

Menurutnya, dia memasukkan sendiri daging goreng ke dalam bungkusan nasi tersebut sementara sayur dicedok peniaga tersebut.

“Selepas muntah, saya tidak dapat makan, saya masih terbayang-bayang katak yang terdapat dalam bungkusan nasi itu.

“Saya percaya, katak tersebut digoreng bersama sayur campur, saya kecewa dengan apa yang berlaku dan berharap pihak kesihatan mengambil tindakan kepada peniaga yang tidak menitik beratkan soal kesihatan,” katanya.

The President Warrior Bawa Bekalan Selesa

KOTA BHARU – Kelantan membawa bekalan selesa bertandang ke Johor Bahru pada 30 Jun ini setelah mengalahkan Johor 2-0 dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Presiden yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi. 

Bagaimanapun kebangkitan lewat menerusi dua gol pada penghujung babak kedua, berjaya memadamkan keresahan hampir 3,000 penyokong setia Kelantan, yang sedikit kecewa di sebalik deretan peluang terhidang yang gagal dimanfaatkan barisan pemain Kelantan terutamanya pada separuh masa pertama. 


Seawal minit kelapan pintu gol Johor diuji menerusi sepakan percuma Mohd Khairul Izuan Rosli yang menyaksikan bola rembatannya terus ke dakapan penjaga gol Mohd Amaro Shafiq. 

Selang dua minit kemudian, giliran pemain bek kanan, Mohamad Zamri Ramli pula menduga kehebatan penjaga gol Johor namun rembatannya dari luar kotak penalti terus ke dakapan Mohd Amaro. 

Pada m-16, Kelantan hampir memperoleh gol pertamanya menerusi percubaan penyerang, Muhd Akid Ramli namun rembatannya sekadar menggegar jaring sisi sebelah kanan pintu gol Johor. 

Berselang tiga minit kemudian, pintu gol Johor sekali lagi cemas apabila hantaran lintang Mohamad Zamri ke dalam kotak penalti mencetuskan situasi kelam-kabut namun rembatan susulan Muhd Akid pula tersasar di sebelah kanan pintu gol. 

Di sebalik penguasaan sepenuhnya pasukan Kelantan pada babak pertama, penyerang Johor, Yuhendri Rusdi sempat melakukan rembatan ke pintu gol Kelantan namun sedikit tersasar di sebelah kanan. 

Pada m-37, penyerang sensasi Kelantan, Mohamad Aris Zaidi terlepas peluang terbaiknya untuk meletakkan The President Warriors di hadapan, apabila rembatannya di dalam kotak penalti sedikit melewati pintu gol Johor. 

Kegagalan jentera serangan Kelantan memanfaatkan peluang terhidang sekali lagi terserlah apabila rembatan Mohd Norshahrul Hawari Ibrahim terus ke dakapan Mohd Amaro hasil keadaan kelam-kabut di depan pintu gol Johor pada m-40 perlawanan. 

Bekas pemain Harimau Muda, Mohd Khairul Izuan turut mempunyai dua peluang terbaik pada m-41 namun rembatannya tersasar sementara percubaannya tiga minit kemudian pula mudah diselamatkan Mohd Amaro. 

Minit-minit akhir babak pertama, penyerang Johor, Yuhendri sekali lagi mencuri tumpuan apabila sempat melakukan rembatan namun diselamatkan penjaga gol Kelantan, Mohd Syazwan Yusoff. 

Bersambung babak kedua, jelas penguasaan milik Kelantan sepenuhnya namun ketumpulan jentera serangan yang diketuai Mohamad Aris ternyata mengundang keresahan penyokong setia Kelantan. 

Dua peluang terbaik hadir pada m-61 menerusi rembatan kencang Mohd Norshahrul Hawari yang menyaksikan penjaga gol Johor, Mohd Amaro terpaksa melayangkan badan menepis keluar percubaan tersebut sementara sepakan gunting Mohd Aris seminit kemudian pula tersasar daripada pintu gol pasukan pelawat. 

Begitu pun, pemain gantian, Mohd Farhan Yaakub memecahkan kebuntuan apabila menanduk masuk gol pertama Kelantan setelah menyambut baik hantaran lintang Mohamad Aris pada m-69. 

Dua minit kemudian, Johor kembali melancarkan serangan untuk mencari gol penyamaan namun rembatan Yuhendri di dalam kotak penalti hanya beberapa meter tersasar daripada pintu gol Kelantan. 

Malah tiga minit kemudian, penyerang Johor, Muhd Rafef Raya turut terlepas peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan apabila rembatannya diselamatkan Mohd Syazwan biarpun hanya berhadapan dengan penjaga gol Kelantan itu. 

Pada m-77, Mohamad Zamri terus mengukuhkan kedudukan apabila sepakan leretnya terkena tiang gol dan melantun masuk untuk gol kedua Kelantan. 

Mohd Azyu Ikmal Che Mat Nor terlepas peluang untuk menjarakkan kedudukan Kelantan apabila rembatan kencangnya pada m-82 ditepis keluar Mohd Amaro untuk memastikan kelebihan dua gol kekal milik Kelantan dalam perlawanan malam tadi.