Tuesday, June 21, 2011

Lelaki Mati ditembak Ceroboh Kilang Besi

IPOH: Seorang lelaki yang dipercayai cuba menceroboh sebuah kilang besi di Lahat di sini mati selepas ditembak seorang pengawal keselamatan kilang berkenaan awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, lelaki tersebut, They Thar Singh, 41 yang mengalami cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.


Kejadian berlaku pada pukul 3.15 pagi apabila pengawal keselamatan berusia 50-an itu melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dan telah melepaskan satu das tembakan ke udara apabila suspek tidak berhenti ketika dipanggil, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Suspek kemudian bertindak melarikan diri dan pengawal keselamatan itu bersama tiga rakannya kemudian mengejar lalu melepaskan satu das tembakan dan mengenai badan suspek, katanya.

Beliau berkata mayat suspek dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan siasatan polis mendapati suspek mempunyai dua kes jenayah lampau.

Katanya polis turut menahan pengawal keselamatan itu dan merampas senapang yang digunakan dalam kejadian itu untuk siasatan.

Responden: 99% Sokong BERSIH 2.0

KUALA LUMPUR: Tinjauan portal dalam talian The Star Online mendapati  99 peratus daripada sejuta responden menyatakan sokongan supaya Perhimpunan Bersih 2.0  pada 9 Julai diteruskan.

Menurut Malaysiakini, bilangan responden sebenar tidak dapat disahkan kerana tinjauan itu telah diturunkan sejak tengahari tadi.


Berdasarkan paparan skrin berkenaan yang disiarkan pengguna Facebook, bilangan responden mencecah 1.3 juta pada 12.25, daripada 527,330 yang direkodkan pada 6.11 pagi ini,  berdasar petikan dari google cache.

Berdasarkan pertanyaan ‘Apakah pandangan anda tentang cadangan perarakan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini’, seramai 1,312,917 responden menjawab ‘Ia patut dibenar diteruskan’.

Manakala seramai 14,222 responden pula memilih untuk menyatakan “Ia patut dibatalkan’.

Tinjauan itu dibincang secara hangat oleh laman kumpulan Facebook ‘Curi-Curi Malaysia’ yang diwujudkan untuk protes perbelanjaan Kementerian Pelancongan  sebanyak RM1.8 juta untuk kempen dalam laman sosial berkenaan.

Bagaimanapun mereka kecewa kerana tinjauan itu ditarik balik portal The Star.

Perlawanan Tomoi Kanak-kanak dikecam

MELBOURNE: Perlawanan tomoi antara dua kanak-kanak perempuan mencetuskan kemarahan di Australia selepas kira-kira 500 orang menyaksikan acara itu yang membabitkan peserta berusia tujuh dan lapan tahun bertarung.


Pegawai sukan di Queensland melancarkan siasatan terhadap acara berkenaan yang berlangsung Sabtu lalu ekoran kritikan hebat daripada pakar kesihatan dan pelayar Internet.

Jasmine Parr, lapan, anak perempuan juara dunia tomoi, John Wayne Parr, bertarung dalam tiga pusingan dengan setiap pusingan berlangsung selama 90 saat, menentang Georgina Barton, tujuh, untuk merebut hadiah A$100 (RM318) pada acara amatur di Kelab Polis-Warga Remaja Gold Coast.

Rakaman video menunjukkan kanak-kanak itu menendang, menumbuk dan membanting satu sama lain sambil penonton bersorak.

Dalam kenyataannya, Menteri Hal Ehwal Sukan dan Keselamatan Kanak-Kanak Queebnsland, Phil Reeves menyifatkan pertandingan itu sebagai memalukan. 

AP

Sayap Pesawat Gergasi Terputus

PARIS - Hujung sayap pesawat penumpang terbesar di dunia, Airbus A380 terputus selepas ia melanggar sebuah bangunan pada Pertunjukan Udara Paris di sini kelmarin.

Insiden tersebut berlaku dua bulan selepas sebuah pesawat A380 tidak dibenarkan berlepas selepas ia merempuh sebuah jet persendirian di Lapangan Terbang John F Kennedy, Amerika Syarikat.

HUJUNG sayap kanan sebuah pesawat Airbus A380 terputus selepas ia bergesel dengan sebuah bangunan di Lapangan Terbang Le Bourget dekat Paris kelmarin.

Jurucakap Pertunjukan Udara Paris, Alexander Reinhardt semalam berkata, pesawat berkenaan dijadual melakukan beberapa demonstrasi penerbangan tetapi ia dibatalkan ekoran insiden terbabit.

Kemalangan terkini semasa Pertunjukan Udara Paris itu menyebabkan syarikat pembuat Airbus yang merupakan pembuat pesawat utama di dunia, berasa malu besar. 

Agensi