Thursday, June 16, 2011

Tiada Rehat Buat Pemain Kelantan

KOTA BHARU - Kelantan bangkit melupakan episod luka tewas Piala FA dengan kejayaan menumbangkan Perak 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, kelmarin.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, meskipun hanya mencatatkan kemenangan tipis, ia cukup bermakna buat Red Warriors.

Beliau mengakui kegagalan menjulang Piala FA memberi kesan kepada barisan pemainnya yang dilihat tertekan dalam perlawanan tersebut.

"Pemain sedikit tertekan tatkala pasukan lain sememangnya mengharapkan Kelantan tewas dalam perlawanan malam semalam (kelmarin).

"Namun, barisan pemain Kelantan berjaya mengatasi tekanan tersebut dan meraih kemenangan yang cukup berharga.

"Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan apa yang telah ditunjukkan oleh pemain. Walaupun keletihan mereka tetap mempamerkan semangat juang yang tinggi sepanjang perlawanan tersebut," katanya.

Mohd. Izuan Solahuddin (dua dari kiri) membuat rembatan ke gawang gol Perak dalam saingan Liga Super di Kota Bharu, kelmarin. Kelantan menang 1-0.

Tambahnya, tiga mata yang diraih dalam perlawanan tersebut membuka peluang buat Kelantan untuk meraih kejuaraan Liga Super buat kali pertama.

Azman memberitahu, biarpun terpaksa menunggu sehingga perlawanan terakhir untuk dinobatkan selaku juara liga, kemenangan itu melonjakkan lagi semangat pemain menjelang saingan penutup liga bertemu Sabah nanti.

"Walaupun dibezakan dua mata dengan Selangor, saya yakin kita ada peluang untuk menjadi juara liga musim ini.

"Jadi, ruang rehat yang ada ini akan digunakan sebaik mungkin untuk merencanakan persiapan rapi sebelum pertembungan tersebut," ujarnya.

Pada perlawanan kelmarin, jaringan tunggal penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Tahala pada minit ke-53 perlawanan sudah cukup buat Red Warriors mengekalkan kedudukan di tangga teratas liga.

Dengan baki satu perlawanan, Kelantan terus mengungguli carta Liga Super dengan 53 mata, diikuti oleh Selangor (51) manakala juara Piala FA, Terengganu (50).

Kelantan Yakin Muncul Juara

KOTA BHARU – Selepas dirundung malang tewas di pentas perlawanan akhir Piala FA 1-2 kepada Terengganu, Sabtu lalu, Kelantan bangkit melupakan episod duka tersebut apabila mengalahkan Perak 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam semalam. 


Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, tiga mata yang diperoleh cukup penting, apatah lagi tampuk kejuaraan masih lagi belum memihak kepada pasukannya setelah dua pencabar terdekat terus menampakkan kedegilan untuk mengintai peluang memburu impian yang sama. 

“Kemenangan memang sukar ini dicapai, apatah lagi kita baru sahaja dalam proses pulih daripada kekecewaan kekalahan perlawanan akhir Piala FA tempoh hari. 

“Saya percaya kita sudah terlalu hampir dengan kejuaraan liga. Saya tidak mahu memikirkan nasib pasukan lain (Selangor dan Terengganu) yang sentiasa mencabar kita. Saya berfikiran positif bahawa Kelantan boleh menjadi juara liga musim ini. 

“Bukan senang bagi Terengganu berhadapan KL Felda United FC dan tidak mudah juga bagi Selangor menentang Perak di Ipoh. Saya akui kesukaran kita apabila bertemu Sabah, namun itu saya cukup yakin betapa kita mampu mengutip mata di Kota Kinabalu ,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Sementara itu, pihak pengurusan pasukan Kelantan telah memberi cuti rehat selama seminggu kepada semua pemain, setelah mereka penat mengharungi jadual perlawanan liga yang begitu padat sejak dua bulan lalu. 

“Saya mahu pemain menikmati cuti mereka sepuas-puasnya tanpa memikirkan tentang bola sepak. Saya tidak keraguan tentang komitmen pemain kerana mereka telah berikan yang terbaik sejak dua bulan lalu. 

“Saya mengharapkan kesemua enam pemain yang menyertai skuad kebangsaan tidak mengalami kecederaan kerana sudah pasti kita akan menggunakan khidmat mereka selepas ini. Norshahrul Idlan (Talaha) pula terpaksa direhatkan selama dua minggu kerana mengalami kecederaan hamstring dan mungkin diketepikan daripada skuad kebangsaan. 

“Sebaik sahaja mereka melaporkan diri, kita akan kembali memperkemaskan pasukan termasuk mengekalkan tahap kecergasan pemain. Kita masih ada masa dua minggu merangka persiapan pasukan bagi penentuan juara liga musim ini,” katanya.

Karathu Mahu Kelantan Fokus Mental

KELANTAN jelas mendapat semula keyakinan dan mahu terus menyambung rentak kemenangan apabila menentang Sabah dalam perlawanan terakhir Liga Super di Kota Kinabalu pada 6 Julai ini - hari penting yang bakal menentukan apakah mereka bakal bergelar juara baru. 

Ia juga hari bermakna buat juara bertahan, Selangor dan juara baru Piala FA, Terengganu yang memiliki peluang sama memburu pengiktirafan selaku pasukan bola sepak terbaik negara.


“Kami mempunyai masa panjang sebelum berkunjung ke Sabah dan saya harap pemain mampu memantapkan mental dan fizikal dalam menghadapi perlawanan terakhir Liga Super di tempat lawan nanti,” kata ketua jurulatih, Datuk M Karathu, semalam.

“Kita turun dengan misi menamatkan saingan Liga Super memburu kemenangan sekali gus untuk merealisasikan harapan mencapai gelaran liga musim ini.” 

Walaupun menang tipis 1-0 ke atas Perak di gelanggang sendiri, malam kelmarin, pengendali berkenaan tetap memuji kesungguhan anak buahnya bertarung dengan semangat juang tinggi. 

“Saya tak kisah berapa gol kita jaring kerana yang penting keputusan akhir perlawanan memberi tiga mata penting kepada Kelantan ketika saingan Liga Super semakin hampir kemuncaknya,” katanya. 

Norshahrul Idlan Talaha muncul wira pasukan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-53. 

Peluang Kelantan Rangkul Trofi Liga Super Cerah

TIGA mata yang diraih oleh The Red Warriors ketika menumbangkan Perak 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu kelmarin mencerahkan peluang Kelantan mengintai kejuaraan Liga Super buat kali pertama.

Ketua jurulatih, Datuk M. Karathu mengakui kemenangan tersebut cukup penting buat pasukannya untuk terus memacu kedudukan selaku peneraju liga ketika dua pencabar terdekat iaitu Selangor dan Terengganu terus memberikan tekanan.


Beliau berkata, kemenangan malam kelmarin cukup sukar untuk diraih ketika moral pemainnya masih lagi dalam proses pemulihan selepas dikecewakan seteru utama Pantai Timur, Terengganu 2-1 dalam perlawanan akhir Piala FA, Sabtu lalu.

"Peluang untuk menjuarai liga semakin hampir. Jadi ia perlu digunakan sebaik mungkin. Saya tidak mahu memikirkan nasib pasukan lain (Selangor dan Terengganu) yang sedang mengekori rapat daripada belakang.

"Apa yang penting, kita perlu berfikiran positif dan yakin Kelantan mampu menjadi juara liga buat kali pertama musim ini. Bukan senang bagi Terengganu berhadapan Felda United dan tidak mudah juga bagi Selangor menentang Perak di Ipoh," katanya.

Tambahnya, untuk perlawanan terakhir bertemu Sabah nanti, beliau yakin The Red Warriors mampu mengutip mata di Kota Kinabalu meskipun bakal berdepan laluan sukar.

Dalam perkembangan lain, pengendali berpengalaman itu memberitahu, pemainnya telah diberikan cuti rehat selama seminggu selepas mengharungi jadual perlawanan yang begitu padat sejak dua bulan lalu.

"Saya mahu pemain menikmati cuti mereka sepuas-puasnya tanpa memikirkan tentang bola sepak. Saya tiada keraguan tentang komitmen pemain kerana mereka telah berikan yang terbaik sejak dua bulan lalu," ujarnya.

Mengulas mengenai enam tonggaknya yang dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan, Karathu mengharapkan barisan pemainnya dapat memberikan aksi terbaik sepanjang berada di bawah kendalian ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal.

"Saya harap mereka tidak mengalami kecederaan, kerana sudah pasti kita akan menggunakan khidmat mereka selepas ini. Norshahrul Idlan Talaha mungkin terpaksa direhatkan selama dua minggu kerana mengalami kecederaan hamstring pada perlawanan semalam (kelmarin).

"Sebaik sahaja mereka melaporkan diri, kita akan kembali memperkemaskan pasukan termasuk mengekalkan tahap kecergasan. Kita masih ada masa dua minggu merangka persiapan pasukan bagi penentuan juara liga musim ini," katanya.