Wednesday, June 15, 2011

Tiada Sebab Hukum Daudsu - Annuar


KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak akan menghukum Daudsu Jamaluddin kerana tertanduk bola ke gawang sendiri ketika cuba menyelamatkan pintu gol Kelantan daripada dibolosi dalam perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu Sabtu lalu.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemain tersebut tidak sengaja melakukan kesilapan itu, sebaliknya berusaha sedaya upaya untuk mengeluarkan bola daripada membolosi jaring.

"Kafa tidak akan menghukum beliau di atas kesilapan yang dilakukan itu. Tiada sebab untuk dia dihukum," katanya.


Beliau merasmikan Majlis Menabur Benih Padi Musim 1/2011 di Bendang Permatang Pusu, dekat sini, semalam.

Sementara itu Annuar berkata, permohonan maaf yang dibuat Daudsu yang disiarkan oleh media kelmarin, merupakan sesuatu yang sangat baik kerana ia dilakukan secara terbuka.

Dalam perkembangan lain katanya, Kafa akan menganjurkan program 'Bersamamu The Red Warriors' yang bertujuan untuk menghargai sokongan padu yang telah diberikan oleh peminat kepada pasukan Kelantan pada 2 Julai ini di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV di sini.

Katanya, pelbagai acara menarik telah disediakan untuk memeriahkan program tersebut termasuk perlawanan persahabatan antarabangsa antara The Red Warriors dengan salah sebuah kelab sama ada dari Indonesia atau Thailand.

"Saya harap semua peminat menyimpan kedua-dua keratan tiket perlawanan melibatkan Kelantan dan Perak (semalam) serta pertemuan Malaysia dengan Myanmar Sabtu ini jika mahu masuk secara percuma menyaksikan perlawanan pada 2 Julai nanti," ujarnya.

Saingan Kejuaraan Liga Makin Panas


KUALA LUMPUR - Persaingan merebut gelaran Liga Super semakin panas apabila kejuaraan hanya akan ditentukan pada hari terakhir liga, 6 Julai ini dengan tiga pasukan, Kelantan, Selangor serta Terengganu masih berpeluang memburu kejuaraan selepas masing-masing mencatat kemenangan, semalam.

Tiga hari selepas dikecewakan dalam final Piala FA, Kelantan mempamerkan kebangkitan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu apabila menundukkan Perak 1-0 untuk menghampiri kejuaraan Liga Super buat kali pertama.

Pemain Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (tengah) diasak dua pertahanan Perak pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, semalam

Skuad Red Warriors memegang kelebihan dua mata ke atas Selangor dan tiga mata meninggalkan Terengganu ketika baki satu perlawanan. Anak buah Datuk M. Karathu bakal menjulang trofi andai menumpaskan Sabah di Kota Kinabalu dalam perlawanan terakhir.

Semalam, bintang penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha muncul wira pasukannya dengan menjaringkan gol tunggal kemenangan pada minit ke-53, sekali gus menebus kekecewaan gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama.

Penyandang juara, Selangor belum menyerah kalah dengan terus menghambat pendahulu selepas menang tipis 2-1 di Stadium Shah Alam.

Pemain tengah kebangsaan, Mohd. Syafiq Rahim muncul penyelamat Merah Kuning apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi penalti pada minit ke-74, selepas dia dijatuhkan oleh Muhammad Juzaili Samion.

Terdahulu, tonggak pertahanan, P. Gunalan membuka jaringan Selangor pada minit ke-23 selepas melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Mohd. Hamsani Ahmad, namun Mohd. Azrul Ahmad mengejutkan tuan rumah dengan gol penyamaan di minit ke-68.

Di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu yang masih segar dengan kejuaraan Piala FA langsung tidak mendapat bantuan daripada kelab senegeri, T-Team apabila dipaksa berhempas pulas untuk mencatat kemenangan 3-2.

Abdul Hadi Yahya membuka jaringan Terengganu menerusi penalti di minit ke-59, namun T-Team menyamakan kedudukan 1-1 dua minit kemudian menerusi Shamsul Kamal Mohamad. Indra Putra Mahayuddin mengejutkan skuad Penyu apabila meletakkan T-Team mendahului 2-1 pada minit ke-73.

Fahmi Izzudin Zuki dan Abdul Manaf Mamat menghidupkan harapan Terengganu untuk menghambat kejuaraan liga dengan menambah dua gol, masing-masing pada minit ke-74 dan 86.

Negeri Berpeluang Anjur Perlawanan Antarabangsa


KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia menimbang permohonan persatuan bola sepak negeri untuk melangsungkan perlawanan peringkat antarabangsa jika stadium sedia ada diselenggara dengan baik dan dinaik taraf mengikut piawaian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, untuk memenuhi permohonan itu, semua persatuan bola sepak negeri perlu mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri masing-masing dalam usaha menaiktaraf stadium mereka.


Katanya, setakat ini hanya Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Shah Alam yang sesuai dijadikan venue perlawanan peringkat antarabangsa kerana ia mematuhi piawaian oleh FIFA dan AFC.

"Stadium negeri lain masih tidak menepati piawaian FIFA dan AFC untuk perlawanan di peringkat antarabangsa dan sebab itu FAM merasakan perlunya persatuan negeri dengan kerjasama kerajaan negeri untuk menaik taraf stadium yang ada.

"Seperti Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, apabila stadium ini dinaik taraf untuk diadakan perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa, FAM akan membuat pemantauan dan ia satu perkembangan yang baik," katanya selepas Mesyuarat Penyelarasan Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Malaysia Menentang Myanmar di Majlis Sukan Negeri di sini, semalam.

Azzuddin turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang menjadi tuan rumah perlawanan persahabatan itu yang diwakili Timbalan Presiden Kafa, Datuk Afandi Hamzah.

Menurut Azzuddin, penganjuran perlawanan antarabangsa di stadium negeri juga dapat membantu mempercepatkan usaha menaiktarafkan stadium dan prasarana lain mengikut keperluan piawaian.

"Ini adalah perlawanan persahabatan antarabangsa pertama yang diadakan di luar Lembah Klang.

Ia sebagai tanda penghormatan kepada Kafa sebagai tuan rumah selain membuka peluang penyokong skuad negara di Pantai Timur menontonnya.

"FAM berpuas hati kerana Kafa dan pihak stadium telah melakukan pelbagai langkah untuk membaik pulih dan menaik taraf stadium agar dapat digunakan pada perlawanan itu nanti," ujarnya.

Sementara itu Afandi berkata, semua kerja-kerja pengubahsuaian dan menaik taraf stadium Sultan Muhammad Ke IV sudah berada pada peringkat akhir dan akan siap sepenuhnya menjelang hari perlawanan.

"Kerja-kerja seperti naik taraf padang, lampu limpah, bilik persalinan pemain dan pemasangan jam digital akan siap sepenuhnya sedikit masa lagi bagi membolehkan perlawanan persahabatan itu diadakan dengan jayanya," katanya.

Perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Myanmar akan dilangsungkan di Stadium Sultan Muhammed IV pada Sabtu ini.

Tiket berharga RM15 bagi tempat duduk terbuka, astaka (RM50), astaka dua (RM20) dan RM5 bagi kanak-kanak mula dijual di kaunter tiket stadium.

Kelantan Hampiri Kejuaraan


KOTA BHARU – Gelaran kejuaraan Liga Super yang pertama semakin menghampiri Kelantan setelah berjaya mengalahkan Perak 1-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi. 

Begitupun, penentuan mutlak juara hanya dapat diputuskan dalam perlawanan terakhir liga setelah dua pencabar terdekat, Selangor dan Terengganu turut melakarkan kemenangan ke atas lawan masing-masing malam tadi. 


The Red Warriors hanya perlu mencatatkan keputusan seri apabila menentang Sabah di Kota Kinabalu pada 6 Julai nanti bagi memastikan piala liga paling berprestij itu dibawa pulang ke bumi negeri Kelantan buat pertama kali sejak dipertandingkan lapan tahun lalu. 

Seawal minit ketujuh, Kelantan terlebih dahulu menguji pintu gol Perak menerusi percubaan Mohd Shakir Shaari dari luar kotak penalti, namun rembatannya terus ke dakapan Mohd Nasril Mat Nourdin. 

Tiga minit kemudian, Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi yang berjaya meloloskan diri daripada kepungan tiga pemain pertahanan Perak sempat melorongkan bola di dalam kotak penalti, namun Mohd Izuan Salahuddin pula dikesan berada dalam kedudukan offside oleh penjaga garisan. 

Pada m-24, tindakan pemain pertahanan Perak, Mohd Syahman Zainuddin menjatuhkan Norshahrul Idlan Talaha di dalam kotak penalti mengundang padah apabila pengadil perlawanan tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Kelantan. 

Namun, sepakan Norshahrul Idlan ke penjuru sebelah kiri pintu gol Perak diselamatkan Mohd Nasril. 

Pada m-39, giliran pemain sayap kiri, Mohd Nurul Azwan Roya berpeluang meletakkan Kelantan di depan namun rembatannya diselamatkan Mohd Nasril setelah menerima umpanan Norshahrul Idlan sebelum itu. 

Tiga minit kemudian, Mohd Nurul Azwan sekali lagi gagal memecahkan kebuntuan pasukan apabila rembatan kaki kanannya terlalu lemah untuk membolosi pintu gol Perak. 

Bersambung babak kedua, Kelantan kembali melipat ganda asakan dan hasilnya pada m-53, Norshahrul Idlan berjaya menebus kegagalan menyempurnakan sepakan penalti dengan menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan malam tadi. 

Berpunca hantaran lintang Mohd Daudsu Jamaluddin ke dalam kotak penalti pasukan Perak, Norshahrul bijak memanfaatkan peluang dengan melakukan voli menarik memerangkap Mohd Nasril di pintu golnya.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pemain Perak kembali mengatur serangan dan pada m-63, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri turut mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan apabila bijak memperdayakan tiga pemain pertahanan Kelantan namun rembatannya sedikit melewati pintu gol. 

Ternyata, ketiadaan penyerang utama Perak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang terpaksa diusung keluar pada pertengahan babak pertama setelah mengalami kecederaan, jelas memberi kesan kepada corak serangan pasukannya dalam perlawanan malam tadi. 

Selang seminit kemudian, pemain sayap yang terkenal dengan jolokan “Kelantan Ekpres”, S Chanturu turut mempunyai peluang terbaik untuk menjadikan kedudukan lebih selesa apabila melepasi kekangan dua pemain pertahanan Perak namun Mohd Nasril pantas meluru keluar menyelamatkan rembatan pemain tersebut. 

Seminit selepas itu, giliran Ketua Pasukan Perak, Shahrulnizam Mustapa pula menguji kehebatan Mohd Shahrizan Ismail di gawang gol Kelantan namun percubaannya daripada jarak 25 meter terus ke dakapan penjaga gol tersebut. 

Tiga minit kemudian, pasukan pelawat cemas seketika apabila pemain gantian, Muhammad Ramzul Zahini Adenan menyilangkan bola ke depan pintu gol namun Mohd Izuan terlepas peluang menampan hantaran tersebut sementara rembatan susulan Mohd Nurul Azwan pula hanya sekadar melintasi pintu gol Perak. 

Tidak banyak gerakan merbahaya yang ditonjolkan oleh Kelantan selepas itu kecuali melalui sepakan percuma Mohd Badhri yang ditepis keluar Mohd Nasril pada m-73 sementara rembatan kencang Chanturu enam minit berselang pula tersasar jauh daripada pintu gol Perak. 

Begitupun, sisa perjuangan anak didik Norizan Bakar untuk sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri di Kota Bharu berakhir apabila tandukan cantik Mohd Fazrul Hazli terus ke dakapan Mohd Shahrizan pada minit-minit akhir perlawanan. 

Kesebelasan utama pemain : 

KELANTAN : Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, S Subramaniam, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Mohd Badhri Mohd Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, S Chanturu, Mohd Izuan Salahuddin (Solehin Kanasian Abdullah) dan Norshahrul Idlan Talaha (Muhammad Ramzul Zahini Adenan)( Khairan Eroza Razali). 

FORMASI : 4-4-2 

:PERAK :: Mohd Nasril Mat Nourdin, Mohd Syahman Zainuddin, Mohd Hisyamuddin Shaari, Mohd Khairi Zainuddin, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri, K Nanthakumar, Shahrulnizam Mustapa (KP), Chan Wing Hoong, Mohd Shazuan Mohd Ashraf Mathews, Muhammad Nurridzuan dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Muhammad Nazri Mohd Kamal). 

FORMASI 4-4-2

KAFA tidak akan hukum Daudsu - Annuar Musa


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak bercadang mengambil tindakan disiplin atau menukar posisi pemain pertahanannya, Daudsu Jamaluddin sebagai hukuman ekoran kecuaiannya menjaringkan gol ke gawang sendiri ketika menentang Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu lepas, lapor YATIMIN ABDULLAH.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan tersebut bukan sengaja dilakukan oleh Daudsu memandangkan dia telah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan gawang Kelantan daripada dibolosi.

"Kita tidak akan mengambil sebarang tindakan disiplin ke atas Daudsu atas kesilapan menjaringkan gol sendiri pada perla- wanan itu yang menyebabkan Kelantan gagal membawa pulang piala berprestij," katanya kepada pemberita di Bendang Permatang Pusu, Melor dekat Kota Bharu semalam.


Annuar berkata, beliau sedar ramai peminat dan penyokong Kelantan kecewa dan marah terhadap kesilapan pemain Kelantan itu dan sebagai Presiden KAFA, beliau sendiri lebih lagi merasai 'bahang' tersebut.

"Adalah tidak adil jika menghukum seseorang pemain yang baik hanya kerana sekali melakukan kesilapan tidak disengajakan, bukan jenis saya sebagai Presiden KAFA sanggup melakukan perkara itu.

"Malah kita akan terus memberi semangat dan motivasi kerana kita mempunyai misi lebih besar untuk menempah tempat dalam Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

"Kita juga tidak akan tukar posisinya di barisan pertahanan," kata Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Annuar turut menyambut baik permohonan maaf secara terbuka yang dibuat oleh Daudsu dalam media massa dua hari lalu.

"Secara peribadi, tindakan tersebut merupakan sesuatu yang mulia dan saya cukup bangga dengan permohonan maaf secara terbuka yang dilakukan itu," ujarnya.

Cermin Mata Mahatma Gandhi dicuri


MUMBAI - Sepasang cermin mata berbingkai bulat milik ikon kemerdekaan India, Mahatma Gandhi (gambar) dilaporkan dicuri dari sebuah muzium di Nagpur, India semalam.

Kakitangan muzium Sevagram Ashram, menyedari kehilangan cermin mata tersebut apabila mereka mahu membuat persediaan bagi meraikan ulangtahun penubuhannya.


Ia merupakan sebahagian daripada barang-barang peribadi milik Gandhi, selain satu pemegang pen dan berus bilik mandi yang dipamerkan di dalam sebuah kabinet berkunci.

Pengurus Ashram, Aakash Lokhande memberitahu, pihaknya kurang pasti bila cermin mata itu hilang. Biarpun pihak polis sudah mengetahui mengenai insiden itu, namun masih belum ada laporan rasmi dibuat.

Presiden muzium itu, M.M. Gadkari dilaporkan berkata: "Isu ini akan dibincangkan dalam mesyuarat lembaga pemegang amanah. Keputusan sama ada laporan polis secara rasmi akan dibuat atau sebaliknya akan ditentukan nanti."

Kira-kira 300,000 pengunjung dikatakan melawat Sevagram Ashram tersebut setiap tahun. 

AFP

Buruan Juara Masih Terbuka


Kelantan, Selangor, Terengganu bakal buat penentuan penting 6 Julai ini

PENENTUAN juara Liga Super, musim ini kini menjadi saingan tiga penjuru antara Kelantan, Selangor dan Terengganu selepas penyudahan keputusan, malam tadi yang menyaksikan ketiga-ketiga pasukan berkenaan merakamkan kemenangan penting.

Apapun, wajah ketua jurulatih The Red Warriors, Datuk M Karathu terpancar ceria melihat anak didik menang 1-0 ke atas Perak di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV apabila berkata: “Apa yang penting kami mendapat tiga mata berharga malam ini.”

Satu ketika mahkota kejuaraan tampak milik mutlak Kelantan ketika Selangor dan Terengganu seperti mahu seri sebelum menang. Anak didik K Devan menewaskan Felda United 2-1 manakala Terengganu mengatasi T-Team 3-2.

Kelantan kini sudah mengutip 53 mata, dua mata di hadapan Selangor dan tiga mengatasi Terengganu.

PENJAGA gol Perak, Md Nazril Nouridin (kanan) menghalang cubaan pemain Kelantan, Mohd Badri Radzi dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mohamad Ke IV, malam tadi.

The Red Warriors yang bertemu Perak mengekalkan kelebihan satu gol yang dijaringkan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-53 selepas menerima hantaran cantik Daudsu Jamaluddin. 

Norshahrul sebelum itu berpeluang membuka jaringan pada minit ke-24 apabila Kelantan dihadiahkan sepakan penalti, tetapi tendangannya dapat dibaca Nasril Nourdin. 

Kelantan yang tampak agak lesu selepas kekecewaan terlepas kejuaraan Piala FA kepada Terengganu Sabtu lalu, menguasai perlawanan sebaik sepak mula dengan beberapa percubaan tepat dihasilkan sepanjang babak pertama, tetapi gagal menjelmakan jaringan. 

Gol tunggal Norshahrul kekal hingga tamat permainan untuk mengekalkan Kelantan di persada liga buat menyalakan impian memburu mahkota kejuaraan buat julung kali dalam sejarah mereka.