Monday, June 13, 2011

Bawa Ganja, Air Ketum Saksi Akhir Piala FA


KUALA LUMPUR: Tindakan tiga lelaki yang membawa bahan terlarang ketika menonton perlawanan akhir bola sepak Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil membawa padah apabila mereka ditahan polis di pintu masuk stadium, malam kelmarin.

Dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Cheras itu, polis menjumpai dadah jenis ganja yang disumbat dalam beberapa batang rokok dan botol mineral 500 mililiter berisi air ketum.


Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh berkata, dalam operasi bermula jam 8.30 malam itu, dua lelaki turut ditahan di luar stadium sebaik perlawanan tamat selepas terbabit dalam insiden pergaduhan selain memiliki senjata berbahaya berupa gunting dan buku lima.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 35 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan atas kesalahan gaduh gempar,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, walaupun tiada sebarang insiden pergaduhan serius berlaku sepanjang perlawanan itu namun, terdapat segelintir penyokong yang masih berdegil dan melanggar peraturan ditetapkan.

“Kita mendapati penyokong tempatan semakin matang dan positif dengan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan berharap mereka akan terus memberi kerjasama dalam setiap perlawanan bola sepak.

“Pihak polis akan terus memperketatkan pemeriksaan sama ada di pintu masuk, di dalam dan luar stadium bagi memastikan tiada sebarang insiden yang mencemarkan sukan tempatan,” katanya.

‘Maafkan Saya’


KOTA BHARU: “Maafkan saya.” Itu luahan pemain pertahanan Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin, 26, kepada hampir dua juta rakyat Kelantan, selepas dia menjaringkan gol sendiri pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin, sehingga mengakibatkan Kelantan terpaksa berputih mata apabila tewas kepada Terengganu, 2-1.

Mohd Daudsu berkata, hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaannya selepas melakukan kesilapan berkenaan.


“Saya memohon maaf kepada semua penyokong Kelantan, terutama penyokong yang sanggup datang dari jauh untuk memberikan sokongan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Saya sedar, penyokong Kelantan menaruh harapan tinggi untuk melihat Kelantan menang, tetapi nasib tidak menyebelahi kita. Maafkan kesilapan yang saya lakukan,” katanya, ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, dia tidak dapat melelapkan mata semalaman gara-gara tertekan dengan kesilapan yang dilakukannya.

“Saya akui saya tidak dapat tidur kerana terlalu memikirkan kesilapan yang dilakukan.

“Saya sudah mencuba segala yang termampu. Saya tidak mahu Kelantan tewas apatah lagi melakukan kesilapan sehingga membawa kepada kekalahan, justeru saya berharap semua penyokong dapat menerima kekalahan itu,” katanya.

Dalam pada itu, penyokong Kelantan tidak menyalahkan Mohd Daudsu, sebaliknya tetap memberi sokongan padu kepada pemain pertahanan itu.

Kurang dari 48 jam sudah kumpul lebih 10,000 orang

Ini dapat dibuktikan menerusi kewujudan laman khas di Facebook dengan pelbagai tajuk, antaranya, ‘100,000 rakyat Kelantan tak salahkan Daudsu atas kekalahan Kelantan’, ‘Jangan salahkan Daudsu okay’, ‘Maafkan Daudsu’ dan ‘Bukan salah Daudsu’.

Kewujudan laman khas itu menerima sokongan ribuan penyokong Kelantan.

Mohd Daudsu ketika ditanya mengenai sokongan diterima itu, mengakui terharu dan berterima kasih di atas sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan penyokong Kelantan.

Menurutnya, dia juga berterima kasih kepada rakan sepasukan yang tidak menyalahkannya dan tetap menyebelahinya.

“Terima kasih kepada penyokong dan rakan sepasukan yang sentiasa memberi semangat kepada saya.

“Saya akan terus berbakti kepada pasukan Kelantan dan membantu Kelantan untuk menjuarai Liga Super,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa membuat kenyataan di laman Facebook peribadinya, bahawa tiada sesiapa perlu di persalahkan atas kekalahan Kelantan.

“Semua pemain sudah buat yang terbaik dan gol Daudsu adalah takdir. “Daudsu tidak boleh dipersalahkan,” katanya.

Strategi Kelantan Silap


“JURULATIH silap taktik”. Kritikan pedas itu disuarakan seorang pemain Kelantan yang menganggap Datuk M Karathu gagal membuat pemilihan pemain yang tepat ketika Kelantan kempunan untuk menjulang trofi Piala FA buat kali pertama selepas tewas 1-2 kepada Terengganu di pentas final, kelmarin.

Dia yang hanya memanaskan bangku simpanan pada perlawanan itu berkata, Karathu sepatutnya menurunkan pemain lebih berpengalaman yang boleh menghadapi situasi final penuh tekanan.


“Jurulatih silap, ini perlawanan final yang disaksikan 90 ribu penonton. Sepatutnya dia turunkan pemain berpengalaman yang boleh berdepan dengan situasi ini. “Dalam final, pengalaman yang dimiliki pemain amat penting. Ramai lagi pemain lain yang boleh bermain bukannya bergantung kepada kepada pemain sama saja,” katanya yang ditemui selepas tamat perlawanan.

Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Kelantan meniti di ambang kejayaan selepas mendahului 1-0 menerusi jaringan pemain sayap kiri Nurul Azwan Roya m-80 sebelum Terengganu berjaya menyamakan kedudukan apabila Mohd Daudsu Jamaludin tertanduk ke gawang sendiri di penghujung perlawanan.

Keputusan Karathu yang mengeluarkan tonggak utama pertahanan, S Subramaniam dan pemain tengah berpengaruh, Mohd Shakir Shaari sebelum itu nyata memberi kesan kepada skuadnya yang tampak lesu pada aksi tambahan 30 minit.

Gol Daudsu Bakar Semangat Penyu


JARINGAN sendiri Mohd Daudsu Jamaludin pada masa kecederaan perlawanan sebenar menjadi pencetus semangat kebangkitan skuad Terengganu dengan kemenangan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Skuad bimbingan Irfan Bakti yang ketinggalan menerusi gol pendahuluan pemain sayap Kelantan, Nurul Azwan Roya pada minit ke-80 langsung tidak menunjukkan tanda-tanda putus asa biarpun tempoh 90 minit sudah berakhir, malah mereka mempamerkan semangat juang tinggi memburu gol penyamaan.


Kapten Marzuki Yusof berkata detik jaringan itulah yang membentuk kepercayaan dalam diri setiap pemain.

“Sebenarnya jaringan sendiri Daudsu adalah penyelamat pasukan kami, tapi gol itu adalah hasil usaha rakan sepasukan yang tidak kenal erti putus asa,” kata Marzuki.

“Saya tidak anggap itu adalah hadiah daripada Daudsu kerana kami menyerang bertalu-talu di minit-minit akhir masa kecederaan dengan memperoleh banyak sepakan penjuru.

“Sebagai kapten, saya hanya memberi kata-kata semangat kepada rakan-rakan tapi kami semua berpegang kepada amanat jurulatih yang mahu semua pemain fokus dan mengukuhkan mental hingga ke wisel penamat.” Begitupun Marzuki menganggap Kelantan masih pasukan terbaik tetapi tuah tidak mengiringi mereka pada final itu.

Cabaran Karathu Naikkan Semangat


JURULATIH Kelantan, Datuk M Karathu berdepan cabaran getir untuk menaikkan semula semangat anak-anak buahnya selepas kecundang pada perlawanan akhir Piala FA, malam kelmarin.

Pengendali berpengalaman yang mula membimbing Kelantan awal musim ini perlu segera mengatasi suasana suram di kalangan pemain The Red Warriors bagi menghadapi dua perlawanan getir Liga Super bagi memastikan mahkota itu tidak juga terlepas dari genggaman.


Malah Karathu mungkin berdepan kesukaran yang tidak dijangka apabila terdapat pemain yang mula mempersoalkan strategi dan percaturannya ketika berdepan Terengganu, salah satu pencabar utama untuk merebut takhta Liga Super musim ini selain Selangor.

Keputusannya menggandingkan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha bersama pemain muda yang kurang berpengalaman, Mohd Izuan Solahuddin nyata gagal membuahkan hasil dan menunggu sehingga minit ke-63 sebelum menggantikannya dengan Mohd Ramzul Zahini Adenan.

“Walaupun tidak mempunyai pengalaman, dia beraksi baik minggu lalu (ketika menang 3-0 ke atas Terengganu di Liga Super). Malah malam ini (malam kelmarin) dia bekerja keras dan lawan mengawalnya dengan ketat,” katanya ketika ditanya menurunkan pemain berusia 22 tahun itu.

“Moral pemain memang sangat rendah sekarang. Saya mempunyai masa dua hari untuk memberikan motivasi kepada pemain dan berharap mereka mampu bangkit mencipta kemenangan (menentang Perak malam esok),” katanya.

Mengulas aksi di Stadium Nasional itu, Karathu berkata ia adalah perlawanan sengit dengan kedua-dua pasukan mempunyai peluang.

“Selepas gol penyamaan hadir, pemain hilang keyakinan untuk menguasai bola. Secara mentalnya beraksi dalam masa tambahan adalah bukan sesuatu perkara yang mudah terutamanya untuk bangkit kembali,” katanya yang enggan menyalahkan pemain pertahanannya, Mohd Daudsu Jamaludin yang menanduk masuk bola ke gawang sendiri.

Jaringan sendiri bekas pemain kebangsaan ketika beberapa saat masa kecederaan berakhir membolehkan Terengganu menyamakan kedudukan 1-1 selepas Mohd Nurul Azwan Roya meletakkan juara Piala Sultan Ahmad Shah 2011 itu di depan pada minit ke-80. Ia sekali gus mengheret permainan ke masa tambahan dengan pemain gantian, Ahmad Nordin Alias meledak gol kemenangan pada minit ke-110.

Skuad Kijang Kena Terima Kekalahan


PENYERANG utama Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha menganggap kegagalan membawa pulang Piala FA buat kali pertama ke Kota Bharu dipikul bersama oleh semua pemain dan bukannya hanya terletak dibahu Mohd Daudsu Jamaludin.

Katanya, adalah tidak wajar rakan sepasukannya itu dipersalahkan sebagai punca kekalahan Kelantan 2-1 di tangan Terengganu di final kelmarin kerana menjaringkan gol sendiri di penghujung babak kedua.


“Saya rasa dia (Daudsu) nak keluarkan bola, tapi bola itu secara tiba-tiba masuk. Kalau saya di tempat dia pun saya tak boleh terima. Satu pasukan kena terima kekalahan ini,” katanya Norshahrul yang ditemui selepas tamat perlawanan.

Daudsu yang bertindak di posisi pertahanan kanan menjaringkan gol sendiri ketika cuba menyelamatkan percubaan penyerang Terengganu, Abdul Manaf Mamat.

Gol itu membolehkan Terengganu mengikat kedudukan 1-1 sebelum bangkit mencipta kemenangan pada masa tambahan untuk menjulang trofi Piala FA buat kali kedua.

Norshahrul yang turut dikenali dengan panggilan Mat Yo, menyuarakan rasa kekecewaan kerana gagal menunaikan janji untuk menghadiahkan kemenangan buat ribuan penyokong The Red Warriors yang memberikan sokongan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Mental semua pemain terjejas apabila tersentak dengan gol penyamaan Terengganu di saat-saat akhir. Kami cuba bangkit tapi semua pemain kepenatan tapi kami tetap mencuba,” katanya.

Daudsu Minta Maaf


"MAAFKAN saya."

Itu luah pemain pertahan Kelantan, Daudsu Jamaluddin yang menjadi mangsa kritikan segelintir pihak kerana menjaringkan gol sendiri sehingga mengundang kekalahan 1-2 kepada Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

Menurutnya, situasi itu berlaku terlalu pantas sehingga dia tertanduk bola ke gawang sendiri ketika perlawanan berbaki lapan saat.

"Saya tidak ada niat. Semuanya berlaku begitu cepat, saya tiada pilihan. Saya cuba menanduk keluar tetapi bola itumasuk ke gawang sendiri.

"Sebagai pemain ia mungkin sesuatu yang tidak pernah anda fikir untuk terjadi dan tidak mahu ia berlaku tetapi inilah bola sepak.

"Saya minta maaf jika mereka menganggap saya punca kekalahan," kata Daudsu semalam.

Tambahnya, selepas Terengganu menyamakan kedudukan bagi memadam gol pembukaan Kelantan hasil jaringan Nurul Azwan Roya pada minit ke-78, moral skuad The Red Warriors mula jatuh.

WAJAH kecewa pemain-pemain Kelantan selepas pasukan itu tewas 1-2 kepada Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

Pada masa tambahan, jelas sekali rentak permainan anak- anak buah Datuk M. Karathu itu mula dibayangi Terengganu yang memperoleh gol kemena- ngan menerusi Ahmad Nordin Alias pada minit ke-108.

"Sebagai pemain bola sepak, kami sudah menerima hakikat, popularnya seorang pemain kerana peminat dan jatuhnya pemain itu juga kerana peminat.

"Saya tidak menafikan ada kata-kata yang kurang enak sampai ke telinga tetapi saya sudah lali, itulah cabarannya.

"Mungkin belum sampai masanya untuk kita menjulang Piala FA, belum ada rezeki lagi. Insya-Allah, apa yang berlaku ini tidak mengganggu mental dan saya kena fokus untuk membantu Kelantan menjuarai Liga Super selepas ini," ujarnya.

Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! dalam laman Facebook milik pemain berusia 26 tahun itu mendapati, ramai peminat dan rakan-rakannya memberikan kata-kata semangat untuk mengembalikan kekuatannya sele- pas apa yang berlaku malam kelmarin.

Tidak kurang juga ramai penyokong Kelantan menyalahkan tindakan segelintir penyokong The Red Warriors yang membaling mercun ke arah padang sehingga menyebabkan pengadil menghentikan perlawanan.