Friday, June 10, 2011

Kafa Minta Penyokong Berdisiplin



KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) meminta supaya semua penyokong pasukan The Red Warriors tidak bertindak liar ketika menyaksikan Perlawanan Akhir Piala FA 2011 nanti. 

Presidennya, Tan Sri Anuar Musa mengingatkan peminat setia pasukan Kelantan menjadi penyokong berdisiplin sekali gus menolak tanggapan negatif semua pihak terhadap mereka. 

Menurutnya, peminat boleh datang beramai-ramai memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok dan menyokong pasukan secara berdisiplin. 

“Saya percaya penyokong Kelantan pada tahun ini telah menunjukkan rekod yang baik. Tidak ada yang pro keganasan. 

“Pertama kali kita tidak didenda sepanjang musim. Memang ada satu dua insiden kecil tetapi sudah membangkitkan keinsafan dalam kalangan penyokong itu sendiri,” katanya semalam. 

Menurutnya, ia satu perkembangan positif, jadi biarlah perlawanan yang bakal disaksikan malam esok berakhir dengan aman. 

“Saya juga berharap semua penyokong yang bersemangat datang dari seluruh pelosok negeri ini dapat tiba dengan selamat dan memberi sokongan positif kepada pasukan. 

“Saya menganggarkan kira-kira 60,000 penyokong Kelantan akan membanjiri stadium nanti menyaksikan perlawanan hebat ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Anuar juga memberitahu bagi mengelak daripada timbulnya masalah untuk menyaksikan perlawanan nanti, semua peminat jangan membeli tiket daripada ulat tiket. 

“Ulat tiket ini kita tidak boleh halang, sekiranya ada permintaan mereka akan menjualnya. Jadi penyokong jangan panik. 

“Peminat Kelantan juga boleh mendapatkan tiket yang dijual bermula esok mulai jam 9 pagi di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ketetapan ini adalah untuk memberi peluang kepada peminat di negeri lain menyaksikan perlawanan ini,” katanya kepada Sinar Harian. 

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai isu penjualan tiket di Kota Baharu pada Isnin lalu yang dikatakan agak lembap tetapi habis dijual dalam masa empat jam. 

“Saya ingin menjelaskan, berdasarkan pemerhatian saya penjualan agak perlahan memandangkan ada yang membeli secara berkelompok dengan mengikuti rombongan dan mereka tidak perlu berasak-asak.

“Kita berjaya mendapat tiket tambahan dan setakat ini hampir 40,000 tiket sudah dijual,” katanya.

Persiapan Sederhana Kelantan



KOTA BHARU - Kemenangan 3-0 ke atas Terengganu tempoh hari segera dilupakan. Sebaliknya aksi sepanjang 90 minit dalam pentas perlawanan akhir Piala FA pula menjadi tumpuan betapa pertemuan Terengganu menentang Kelantan bakal menjanjikan satu pertembungan paling menarik sepanjang musim ini. 

Malam esok, dua pasukan terkuat negeri Pantai Timur itu akan berentap dalam perlawanan akhir Piala FA edisi ke-22 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. 

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengakui walaupun pertemuan kali ini cukup berbeza, namun The Red Warriros hanya mengambil pendekatan sederhana dalam melakukan persiapan menghadapi Terengganu dalam perlawanan akhir itu. 

“Kita mahu ke Bukit Jalil dengan perasaan yang tenang dan tanpa apa-apa masalah yang melingkari semua pemain. Segala keperluan pemain sudah disempurnakan sepenuhnya. Kita melakukan persiapan rapi tapi hanya berskala sederhana,” katanya kepada pemberita ketika meninjau sesi latihan skuad Kelantan, malam semalam. 

Beliau berkata, belum masanya bagi pemain meraikan sebarang acara sampingan. 

“Saya tidak mahu mereka menjadi bintang atau selebriti dengan tiba-tiba yang menyebabkan mereka mudah hilang fokus. Ini kerana mereka akan diuji dengan satu perlawanan akhir yang mencabar. 

“Musuh utama kita adalah tahap keyakinan melampau yang mungkin boleh menghukum diri sendiri. Setelah dikecewakan 3-0, sudah pasti Terengganu akan kembali bangkit sama seperti mereka mengalahkan Pahang di saingan separuh akhir tidak lama dulu,” katanya. 

Menurutnya, dalam tempoh dua minggu ini pasukan The Red Warriors berpeluang mencipta sejarah baru dengan menjulang dua piala kejuaraan dan beliau tidak mahu barisan pemain Kelantan melepaskan peluang keemasan tersebut 

“Dalam tempoh dua minggu ini sejarah akan tercipta sama ada kita mampu merangkul dua kejuaraan (Piala FA dan Liga Super) seterusnya menjadi pasukan yang menjulang lima kejuaraan dalam tempoh 12 bulan. 

“Saya fikir ini akan menjadi satu sejarah yang tidak harus dilepaskan pemain,” katanya. 

Untuk itu, beliau mahu pemain bersikap profesional, sederhana dan fokus terhadap perlawanan ini. 

“Saya mengharapkan para pemain mempamerkan permainan bola sepak Kelantan yang bermutu tinggi.

“Kita perlu menunjukkan corak permainan Kelantan berada pada tahap terbaik dalam perlawanan akhir ini. Terengganu sudah pasti mahu menang dan begitu juga kita. 

“Dalam perlawanan akhir seperti ini, hanya ada satu keputusan sahaja untuk menentukan pemenang mutlak,” katanya.