Thursday, June 9, 2011

Buru Kemenangan Terakhir


KOTA BHARU - Skuad Piala Presiden Kelantan berazam menamatkan saingan kumpulan A Liga Presiden dengan mencatatkan kemenangan ke atas Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dalam pertemuan yang berlangsung di Stadium Kejora, Bandar Penawar, Kota Tinggi, petang ini.

Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail berkata, pasukan yang terkenal dengan jolokan ‘The President Warrior’ itu mahu memastikan momentum kecemerlangan diteruskan dengan mencatatkan kemenangan sekalipun beraksi di gelanggang lawan.

“Walaupun kita sudah mengesahkan tempat sebagai juara kumpulan A dan perlawanan ini diibaratkan pelengkap saingan liga, saya mahu Kelantan mengutip tiga mata dalam perlawanan ini.

“Kita akan merehatkan hampir sebahagian pemain utama kerana terdapat dua hingga tiga pemain tonggak menerima kad kuning. Saya tidak mahu mengambil risiko menurunkan mereka kerana kita mahu menggunakan khidmat mereka dalam saingan suku akhir pada 23 Jun ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau percaya walaupun hanya menurunkan pemain simpanan, tetapi pasukan Kelantan masih mampu mencipta kemenangan pada perlawanan ini. “Ini terbukti ketika dalam perlawanan terakhir bertemu T-Team baru-baru ini, kita menang besar 5-0 sekalipun menurunkan ramai pemain simpanan,” katanya.

Mohd Yusri berkata, kemenangan ini cukup penting sebagai hadiah kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa yang begitu mengambil berat mengenai pasukan ini sepanjang musim ini.

“Mungkin ramai yang menganggap perkembangan pasukan pelapis ini dipinggirkan apatah lagi dibayangi kehebatan pasukan Liga Super Kelantan namun perkara itu tidak berlaku.

“Sebaliknya, Presiden Kafa sentiasa memantau secara dekat lebih-lebih lagi dengan kejayaan luar biasa kita pada musim ini.

“Saya fikir dengan kemenangan ini (ke atas SSTMI) dan kejayaan muncul juara kumpulan merupakan hadiah sampingan. Fokus kita ialah layak ke perlawanan akhir seterusnya menjulang Piala Presiden pada musim ini,” katanya.

Menurutnya, selepas perlawanan berkenaan, pasukan Kelantan akan ke ibu negara bagi memberi sokongan kepada pasukan abang yang akan berentap dalam perlawanan akhir Piafa FA menentang Terengganu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Kafa yang menyediakan segala kemudahan termasuk penginapan dan pengangkutan kepada semua 24 pemain yang kita dibawa ini,” katanya.

SSTMI atau lebih dikenali Sekolah Sukan Bandar Penawar kini menduduki tangga kedua tercorot setelah hanya mampu mengutip 13 mata daripada 19 perlawanan setakat ini.

Khairul Fahmi Enggan Bolos


BOLOS dua gol ketika Kelantan tewas kepada T-Team, 25 Mei lalu dan satu gol ketika skuad Olimpik negara dibenam Kemboja, malam kelmarin tidak membuatkan Khairul Fahmi Che Mat gusar dengan prestasinya, malah berjanji kepada penyokong Red Warriors (TRW) untuk mempertahankan gawang Kelantan daripada dibolosi pada final Piala FA, Sabtu ini.

Khairul Fahmi berkata, kegagalan mempertahankan gawang pada dua perlawanan itu bukan kayu ukur untuk menilai keupayaannya.

“Cabaran dalam setiap perlawanan berbeza, yang penting kami mesti menunjukkan persembahan terbaik.

“Itulah yang akan saya lakukan ketika menentang Terengganu Sabtu ini. Saya tidak mahu maruah penyokong Kelantan tercalar,” katanya.

Khairul Fahmi mengaku nasibnya masih samar sama ada diturunkan sebagai penjaga gol Sabtu ini, namun jika ketua jurulatih, Datuk M Karathu memberi kepercayaan, dia tidak akan mensia-siakannya.

“Percaturan untuk perlawanan final Piala FA terletak pada jurulatih .

“Jika diberi kepercayaan, sudah semestinya saya akan melaksanakan tugas sebaik mungkin,” katanya.

Dia juga tidak berasa tergugat dengan aksi penjaga gol kedua, Mohd Shahrizan Ismail yang tidak bolos ketika membantu Kelantan menewaskan Terengganu, 3-0 Isnin lalu.

Sebaliknya dia memuji kehandalan rakan sepasukannya itu yang tidak melepaskan sebarang gol pada perlawanan itu.

“Saya sebenarnya banyak mempelajari teknik dan berkongsi pengalaman dengan Shahrizan demi meningkatkan prestasi diri dan pasukan.

“Saya orang baru yang masih memerlukan latihan dan tunjuk ajar. Janganlah bandingkan saya dengan Shahrizan yang lebih berpengalaman,” katanya.