Wednesday, June 8, 2011

Petronas Untung RM241.2 bilion


Petronas melihat perolehan dan keuntungan yang lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011, didorong kenaikan harga semua produknya dan jumlah dagangan yang lebih tinggi produk utamanya di celah-celah pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh sungguhpun ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS.

Presiden dan ketua pegawai eksekutif Datuk Shamsul Azhar Abbas berkata perolehan meningkat 14.4 peratus kepada RM241.2 bilion daripada RM210.8 bilion.

Keuntungan pracukai meningkat 34.5 peratus kepada RM90.496 bilion daripada RM67.3 bilion sebelum ini.

Syarikat minyak negara itu mengumumkan dividen RM30 bilion kepada kerajaan.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) untuk tahun itu termasuk keuntungan bersih RM9.2 bilion hasil tawaran awam awal Petronas Chemicals Group Bhd (PCGB) dan Malaysia Marine dan Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB).

Tidak termasuk keuntungan itu, EBITDA meningkat 18.5 peratus, selaras dengan perolehan yang lebih tinggi, kata Shamsul Azhar kepada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Pulangan pada hasil bagi tahun itu iaitu 37.5 peratus, sungguhpun kos semakin meningkat, menunjukkan harga yang lebih kukuh dan usaha berterusan kumpulan ke arah keberkesanan operasi.

Harga yang lebih tinggi dan permintaan rancak menyebabkan prestasi yang lebih tinggi bagi semua perniagaan teras, kata naib presiden eksekutif kewangan Petronas Datuk George Ratilal.

"Prestasi Petronas sendiri juga selaras dengan pesaing kami, menunjukkan satu tahun lagi prestasi berdaya tahan kumpulan," katanya.

Beliau berkata perolehan kasar meningkat 12.9 peratus dengan perniagaan hiliran menjadi penyumbang perolehan terbesar pada 42.4 peratus daripada jumlah perolehan kasar.

Tunai daripada operasi adalah RM70.8 bilion berbanding RM56.1 bilion tahun lalu, satu peningkatan 26.2 peratus berikutan perolehan yang lebih baik.

Sejumlah RM34.9 bilion pada perbelanjaan modal digunakan kebanyakannya kepada merancakkan aktiviti eksplorasi dan pengeluaran dan meneruskan usaha-usaha lain.

'Kemenangan moral sebelum final Piala FA'

 KARATHU (kanan) berpuas hati dengan persembahan skuad Kelantan ketika menewaskan Terengganu 3-0 dalam aksi Liga Super kelmarin.

"SATU kemenangan moral buat pasukan sebelum final Piala FA." Itu reaksi ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu sebaik sahaja melihat barisan pemainnya berjaya menumbangkan Terengganu 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Tanpa berselindung, beliau mengakui, kemenangan tersebut melonjakkan lagi moral barisan pemainnya untuk berhadapan dengan Terengganu di pentas final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Menurutnya, kemenangan itu merupakan suatu yang penting buat pasukan dalam usaha untuk mencipta satu lagi sejarah baru dalam kancah bola sepak Kelantan.

"Ia merupakan satu bekalan semangat yang penting buat Kelantan sebelum melangkah ke final Sabtu ini dan lebih manis apabila kita berjaya menewaskan mereka (Terengganu) 3-0 di Kuala Terengganu.

"Kita telah bersedia untuk ke Bukit Jalil, namun kita tidak akan memandang rendah kemampuan pihak lawan dan mereka pasti akan bangkit selepas ini," kata Karathu.

Pengendali berpengalaman itu turut menghamburkan pujian buat barisan pemainnya yang telah menunjukkan satu persembahan terbaik malam kelmarin.

"Saya gembira dengan apa yang telah mereka tunjukkan pada perlawanan malam semalam (kelmarin). Kemenangan ini cukup baik buat kita untuk mencerahkan lagi peluang merangkul kejuaraan Liga Super buat kali pertama musim ini.

"Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh barisan pemain.

"Mereka telah menunjukkan satu disiplin yang tinggi dan bermain secara satu pasukan dengan cara bertahan dan kemudian menyerang," ujarnya.

Tambahnya, untuk baki dua perlawanan selepas ini, beliau akan membuat persedian rapi untuk memastikan Kelantan tidak tercicir tiga mata penting.

"Saya tidak akan mengambil mudah perlawanan selepas ini. Apa yang penting fokus dan sen- tiasa bekerja keras merupakan kunci kejayaan jika kita mahu menang dalam baki dua perla- wanan selepas ini," katanya.

Kemenangan ke atas Terengganu menyaksikan Kelantan mengukuhkan cengkaman di puncak liga dengan kelebihan dua mata ke atas pencabar terdekat, Selangor.

Mat Yo Buru ‘Kasut Emas’

 NORSHAHRUL berharap dapat mengekalkan momentum untuk terus memburu gol dalam pertemuan menentang Terengganu dalam final Piala FA, Sabtu ini.



 15 jaringan dikumpul setakat ini jadi pembakar semangat

NORSHAHRUL Idlan Talaha membuktikan dia lebih berbisa daripada penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya, apabila meledakkan dua daripada tiga gol di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin, sehingga mematikan segala semangat tuan rumah.

Kini dengan 15 jaringan dikumpul dalam saingan Liga Super, jumlah yang sama dikumpul Abdul Hadi, membakar semangatnya bagi memburu gelaran penjaring terbanyak - sekali gus merebut Anugerah Kasut Emas, musim ini.


“Saya berharap dapat meneruskan rentak cemerlang bagi mengharumkan nama pasukan Kelantan dalam Liga Super musim ini. Dua gol dijaringkan adalah hadiah bermakna kepada saya sendiri selain menyuntik semangat rakan untuk memburu impian menjuarai Liga Super musim ini.

“Tapi saya tetap menganggap dia (Abdul Hadi) adalah seorang penyerang yang hebat dan saya juga akan melakukan yang terbaik untuk pasukan ketika bertemu Terengganu dalam saingan final Piala FA nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Norshahrul yang lebih dikenali sebagai Mat Yo, berharap dapat mengekalkan momentum untuk terus memburu gol dalam pertemuan dengan Terengganu dalam final Piala FA, Sabtu ini.

Sementara itu, ketua jurulatih, M Karathu berbangga dengan kejayaan anak didiknya kerana mampu meraih kemenangan besar ke atas pasukan liat, Terengganu.

“Semua pemain menunjukkan kesungguhan terutamanya pada posisi tengah dan pertahanan yang dapat mengawal permainan dengan baik dan berjaya mematahkan serangan pihak lawan,” katanya.

Skuad Negara Menentang Myanmar di Kota Bharu


SKUAD bola sepak kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal akan berkunjung ke Kota Bharu bagi mengharungi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Myanmar, 18 Jun ini selepas FAM bersetuju mengadakan perlawanan itu di luar Lembah Klang.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad keputusan dibuat selepas mempertimbangkan permohonan rasmi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk menganjurkan perlawanan itu di Stadium Sultan Mohamed ke-IV.

“Keputusan ini akan memberi peluang kepada penyokong skuad kebangsaan di Pantai Timur melihat aksi pemain negara. Malah selepas perbincangan dengan Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah), selepas ini mana-mana persatuan negeri yang mahu menjadi tuan rumah perlawanan persahabatan antarabangsa boleh berbuat demikian asalkan stadium yang digunakan menepati standard yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media semalam.

Azzuddin berkata, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sudah memberikan kelulusan bagi perlawanan itu diadakan di stadium yang mempunyai kapasiti penonton sebanyak 18,000.

Skuad kebangsaan Myanmar yang dibimbing jurulatih Milan Zivadenovic akan tiba di Kota Bharu pada 16 Jun sementara skuad Malaysia akan berkumpul pada 15 Jun bagi sesi latihan pusat di Wisma FAM Kelana Jaya sebelum bertolak ke venue perlawanan pada 17 Jun.

Perlawanan persahabatan itu antara rangka persiapan Rajagobal dalam menyediakan skuad terbaik menjelang perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil 29 Jun ini dan akan bertandang ke gelanggang lawan pada 3 Julai.

Tiket bagi perlawanan di Kota Baharu berharga RM15 bagi tempat duduk terbuka, RM30 hingga RM50 bagi Grand Stand dan RM5 untuk kanak-kanak.

Terengganu Tekad Balas Dendam Sabtu Ini

 HADI (kiri) seakan-akan hilang rentap setiap kali diasak pemain Kelantan dalam Liga Super di Stadium Sultan Ismail Kuala Terengganu, kelmarin.

LUKA Terengganu disifatkan masih parah dan penawar duka buat barisan didik Irfan Bakti Abu Salim ketika ini harus berkisar kepada usaha membalas dendam ke atas Kelantan dalam final Piala FA, Sabtu ini.

Kekalahan 0-3 dalam saingan Liga Super di halaman sendiri, kelmarin harus menyentap peluang memburu gelaran liga yang kini semakin jelas boleh menjadi milik The Red Warriors.

Apapun, pengendali skuad Terengganu bertekad untuk bangkit memadamkan memori duka itu dengan mengatur strategi lebih berkesan agar pemain tidak mengulangi kesilapan seperti perlawanan tempoh hari.

“Saya agak kecewa dengan persembahan ditunjukkan anak buah ketika tewas kepada Kelantan. Kami akan cuba bangkit pada pentas final nanti,” katanya.

Irfan tidak menafikan kehambaran penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee yang juga penjaga gol skuad kebangsaan sebagai antara punca kekalahan mereka kepada lawan yang disifatkan sebagai ‘gol lembik’ di hadapan penyokong sendiri.

“Sebagai penjaga gol kebangsaan, Sharbinee tidak patut meninggalkan gawang terlalu jauh dan kesilapan itu memberi ruang mudah kepada Kelantan untuk menambah jaringan,” katanya.

Corak permainan Terengganu dilihat pincang tanpa kehadiran penyerang Ashaari Samsudin yang digantung satu perlawanan, mengakibatkan dua lagi penyerang iaitu Abdul Hadi Yahya dan Abdul Manaf Mamat seakan-akan kehilangan rentak.