Tuesday, June 7, 2011

Kelantan Rampas Takhta Liga Super, Tewaskan Terengganu 3 - 0



KUALA LUMPUR: Pertembungan dua pendahulu liga antara Kelantan dan Terengganu menyaksikan Skuad Red Warriors kembali merampas kedudukan teratas Liga Super setelah menang selesa ke atas Skuad Penyu dengan keputusan 3-0 di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam Isnin.

Berbaki dua lagi perlawanan, skuad bimbingan M.Karathu kini mengutip 50 mata bersama Terengganu namun mempunyai kelebihan dari sudut jaringan.

Impian Terengganu untuk menumpaskan Kelantan di hadapan penyokong sendiri lebur setelah Mohd Azuan Solahudin membuka tirai jaringan seawal minit ke-7 dan ditambah lagi dengan dua jaringan pada babak kedua oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-72 dan minit ke-92 masa kecederaan.

Kekalahan itu menyebabkan Terengganu turun satu tangga ke tempat ketiga dengan kekal 47 mata sementara Selangor naik ke tangga kedua dengan kelebihan satu mata setelah menang ke atas lawan malam Isnin.

Selangor mencatat kemenangan besar apabila menumpaskan pasukan tercorot liga, Perlis dengan keputusan 7-1 di Stadium Shah Alam.

Di PAROI, pasukan tuan rumah Negeri Sembilan turut mencatat kemenangan selesa apabila menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri setelah berpesta gol mengalahkan T-Team 4-0 pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman.

Mohd Firdaus Azizul menghadiahkan dua gol buat skuad Rusa pada minit ke-22 dan 42 sementara satu gol masing-masing menerusi S. Kunanlan seawal minit pertama dan Hairuddin Omar (minit ke-46).

Di JOHOR BAHRU, Johor FC gagal mempamerkan aksi menarik di hadapan penyokong sendiri setelah terikat seri 1-1 menentang Perak untuk masing-masing mengutip satu mata pada perlawanan di Stadium Jcorp Pasir Gudang.

Di KELANA JAYA, pasukan Felda United tumpas 1-2 kepada Kedah pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Kelantan Hampiri Gelaran Liga


KUALA TERENGGANU - Kelantan terus mengorak langkah besar untuk memburu kejuaraan Liga Super buat kali pertama selepas mengecewakan Terengganu 3-0 di gelanggang lawan pada ketika saingan hanya berbaki dua perlawanan.

Malah, kemenangan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin semalam memberi kelebihan psikologi buat skuad bimbingan Datuk M. Karathu menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu di Bukit Jalil, Sabtu ini.

Namun, Kelantan masih belum boleh menarik nafas lega kerana terus dihambat rapat oleh penyandang juara, Selangor yang membuktikan kesungguhan untuk mengejar pendahulu apabila membelasah pasukan tercorot, Perlis 7-1 di Stadium Shah Alam.

Pemain Terengganu, Ismail Faruqi Asha'ri (kiri) berebut bola dengan pemain Kelantan, Mohd. Shakir Shaari (tengah) dan Mohd. Abd Aziz Ismail pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu

Beraksi di hadapan lebih 10,000 penyokong sendiri, anak didik Irfan Bakti tidak mampu membendung asakan hebat pelawat yang diketuai penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha.

Ketiadaan Ashaari Samsudin yang digantung satu perlawanan juga menjejaskan corak permainan tuan rumah sehingga mengakibatkan dua lagi penyerang iaitu Abdul Hadi Yahya dan Abdul Manaf Mamat seakan kehilangan punca pada babak pertama.

Pelawat pula sebaliknya bijak mengawal perlawanan dan memanfaatkan peluang terhidang apabila Mohd. Izuan membuka jaringan seawal minit ketujuh setelah berlaku kekalutan di depan gawang tuan rumah yang dikawal Mohd. Sharbinee Allawee.

Bermula separuh masa kedua, tuan rumah mula menampilkan aksi yang lebih kemas, namun masih gagal memecah kebuntuan untuk memperoleh sekurang-kurang gol penyamaan, sebaliknya Norshahrul Idlan bijak menyempurnakan peluang untuk gol kedua pelawat pada minit ke-72.

Norshahrul sekali lagi menjadi duri dalam daging Terengganu apabila menghukum kealpaan tuan rumah dengan gol ketiga pada masa kecederaan, sekali gus menghapuskan sisa perjuangan skuad Penyu.

Sementara itu, Selangor garang mendahului 5-0 pada babak pertama di Shah Alam dengan Mohd. Asrarudin Putra Omar mengetuai amukan skuad Merah Kuning apabila meledakkan empat gol, manakala Rudie Ramli, Fitri Syazwan Raduan dan Mohd. Amirul Hadi Zainal masing-masing menambah satu gol.

Azmizi Azmi tidak mampu melegakan kesengsaraan Perlis biarpun berjaya memperoleh gol saguhati pelawat pada minit ke-75. Selangor kini menghambat Kelantan dengan dua mata di belakang ketika saingan berbaki dua perlawanan. Kelantan mengumpul 50 mata selepas 24 perlawanan, diikuti Selangor 48, manakala Terengganu jatuh ke tangga ketiga dengan 47 mata.

Negeri Sembilan turut mengamuk di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi apabila membelasah T-Team 4-0, bagaimanapun perlawanan semalam dicemari dengan dua layangan kad merah, yang menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan saingan dengan 10 pemain.

S. Kunalan meletakkan tuan rumah di depan seawal minit pertama permainan, sebelum Firdaus Azizul menambah dua gol pada minit ke-22 dan 42, manakala Hairuddin Omar melengkapkan gol keempat pada minit ke-46.

Dalam satu lagi saingan, Kedah memintas Perak untuk menghuni tangga keempat liga dengan 41 mata selepas menundukkan Felda United 2-1 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, pada ketika Perak hanya mampu seri 1-1 dengan Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang untuk meletakkan pasukan itu di tangga kelima.

Kelate.net Sedia 10 Bas ke Bukit Jalil



KELAB penyokong Siber bola sepak ‘Kelate.net’ menyediakan 10 buah bas dan 50 buah motosikal berkuasa tinggi untuk memberi sokongan moral kepada pemain Kelantan dalam perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini. 

Presidennya, Mohd Khairi Yazid berkata bagi mempromosikan sokongan kelab terhadap pasukan Red Wariors, kelab itu akan memasang skrin gergasi di perkarangan Kompleks Media Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam malam ini.
Katanya jualan tiket secara terbuka juga akan dibuat kepada anggota kelab yang ingin menyaksikan perlawanan akhir itu.

Beliau berkata program itu diadakan dengan kerjasama syarikat Karangkraf, Kelab Perantau Ketereh dan Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan Lembah Klang. 

”Inisiatif itu diadakan untuk menunjukkan komitmen kelab terhadap semangat kesukanan terutama membabitkan perlawanan berprestij antara pasukan Pantai Timur itu,” katanya. 

Mereka dijangka bergerak secara konvoi dari Kampung Medan, Petaling Jaya sehingga ke Stadium Nasional Bukit Jalil.