Sunday, May 29, 2011

Kelantan Rampas Kedudukan Tapi Belum Selamat


KUALA LUMPUR - Kelantan berjaya merampas kedudukan pendahulu Liga Super 2011 apabila berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Pahang manakala Terengganu gagal meneruskan rentak cemerlang turun ke tangga kedua apabila tewas 0-1 di tempat sendiri, semalam.

Bagaimanapun saingan sengit terus berlaku di antara tiga pasukan Kelantan, Terengganu dan Selangor tatkala saingan liga berbaki tiga perlawanan.

Di Stadium Sultan Muhammed IV, ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Mohd. Radzi muncul wira selepas menjaringkan gol tunggal pada minit kelapan seterusnya membantu pasukannya menerajui liga atas kelebihan jaringan gol walaupun berkongsi 47 mata bersama Terengganu.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 0-1 kepada Kedah yang memperolehi jaringan melalui rembatan dari luar petak penalti oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke-42.

Di Stadium Shah Alam, Selangor kembali mendapat semula rentak kemenangan apabila mengalahkan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan Fadzli Shaari pada minit ke-48 dan Rudie Ramli pada minit akhir perlawanan.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, pasukan pelawat tidak mempunyai masalah untuk menumbangkan Kuala Lumpur 2-1 dengan Azizan Baba berjaya menyumbat dua gol pada minit kelapan dan 35 manakala gol sagu hati tuan rumah disumbangkan oleh Khairul Anuar Shafie enam minit sebelum perlawanan tamat.

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan bimbingan Norizan Bakar berjaya meraih tiga mata apabila mengalahkan T-Team 2-0 hasil jaringan Mohd. Syazwan Mohd. Roslan minit 45 dan Mohd. Shazuan Mohd. Ashraf Mathews minit 87.

Perlawanan lain menyaksikan Perlis tewas 0-1 kepada Felda United, manakala Harimau Muda berjaya menumbangkan Sabah 2-0.

Kelantan Kembali Terajui Liga

 
KOTA BHARU – Kelantan kembali merampas gelaran pendahulu liga biarpun hanya mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Kekalahan tipis jiran tetangga, Terengganu 0-1 kepada Kedah membolehkan Kelantan mengungguli carta liga menerusi kelebihan jumlah jaringan walaupun berkongsi jumlah mata yang sama.

Seawal minit kedua, Kelantan menjelmakan kegarangannya untuk memburu gol pertama apabila hantaran lintang Mohd Nurul Azwan Roya ke dalam kotak penalti pantas disambut Norshahrul Idlan Talaha namun rembatannya terus ke dakapan penjaga gol Pahang, Mohd Rosfaizul Azuar Ali.

Selang seminit kemudian, pemain pertahanan Pahang, Mohd Shahrizan Salleh yang meluru ke atas sempat melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti namun tersasar jauh daripada pintu gol Kelantan.

Pada minit kelima, hantaran cantik ke belakang oleh Norshahrul Idlan kepada Mohd Nurul Azwan di dalam kotak penalti juga berakhir dengan kekecewaan apabila rembatannya hanya melintasi di depan pintu gol Pahang biarpun Mohd Rosfaizul Azuar sudah tertewas dalam situasi tersebut.

Pada minit ketujuh, Pahang kembali mencemaskan pintu gol Kelantan apabila Azamuddin Mohd Akil bijak melakukan lantaran lintang ke dalam kotak penalti namun Mohd Munir Amran gagal menampan hantaran tersebut biarpun pintu gol sudah ternganga.

Selang seminit kemudian, Ketua Pasukan, Muhd Badhri menceriakan penyokong The Red Warrior apabila menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan malam tadi. Sepakan lambung Mohd Nurul Azwan dari sebelah kiri pintu gol ditampan kemas Muhd Badhri sebelum tolakannya berjaya menewaskan Mohd Rosfaizul di gawang golnya.

Biarpun ketinggalan, pemain Pahang tidak mudah tertekan sebaliknya turut mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan. Hasil pada m-21, rembatan Mohd Munir Amran dari luar kotak penalti hanya sedikit melewati pintu gol Kelantan.

Pada m-24, tindakan Azamuddin Mohd Akil menjatuhkan Mohd Nurul Azwan di dalam kotak penalti mengundang padah apabila pengadil perlawanan tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Kelantan. Namun Norshahrul Idlan gagal merembat tepat apabila sepakannya ditepis keluar Mohd Rosfaizul Azuar.

Pada m-28, kesilapan penjaga gol, Mohd Rosfaizul Azuar menyepak lemah pantas direbut Norshahrul Idlan yang sempat melorongkan bola kepada S Chanturu namun percubaannya pula dihadang pemain pertahanan pasukan pelawat.

Pada m-43, Azamuddin sekali lagi gagal menyempurnakan peluang terbaik bagi pasukannya apabila rembatan sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol setelah berlaku situasi kelam kabut di depan pintu gol Kelantan.

Seminit babak kedua bersambung, pasukan pelawat nyaris menyamakan kedudukan apabila hantaran lintang Mohd Munir gagal ditangkap kemas Khairul Fahmi namun tolakan Famirul Asraf Sayuti cukup lemah apabila Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid sempat menyepak keluar di atas garisan gol.

Malah, pada m-51, Mohd Munir sekali lagi menjadi duri dalam daging merencanakan corak serangan Pahang apabila sepakan percumanya dari jarak 25 meter nyaris menghasilkan gol namun kecekapan Khairul Fahmi menafikan hajat Pahang untuk menyamakan kedudukan.

Selang seminit kemudian, Kelantan kembali menggandakan asakan dan hasilnya Chanturu turut mempunyai peluang terbaik untuk menjarakkan kedudukan namun rembatan kencangnya dari luar kotak penalti sekadar menerjah jaring sisi sebelah kanan pintu gol Pahang.

Dua minit kemudian, Norshahrul Idlan yang kian dahagakan gol dalam usahanya memburu gelaran penjaring terbanyak liga sekali terlepas peluang apabila kuisannya diselamatkan Mohd Rosfaizul Azuar setelah Mohd Zaiza Zainal Abidin tertolak ke gawang sendiri dalam usahanya menyelamatkan situasi kelam kabut di depan pintu gol pasukannya.

Terdesak untuk mengukuhkan kedudukan, Datuk M Karathu pantas memasukkan Muhammad Ramzul Zahini Adenan pada m-57 untuk menambahkan sengat di bahagian serangan namun aksi mantap benteng pertahanan Pahang sentiasa menyukarkan rangkaian penyerang Kelantan untuk membawa masuk bola ke dalam kotak penalti.

Pemain sayap kiri, Mohd Nurul Azwan turut mempunyai dua peluang terbaik untuk mengukuhkan kedudukan Kelantan namun rembatannya pada m-61 tersasar di sebelah kanan sementara percubaannya empat minit selepas itu tersasar di sebelah kiri pintu gol Pahang.

Begitu di sebalik asakan menggila pemain Kelantan, Azamuddin yang menerima umpanan Ketua Pasukan, Jalaluddin Abu Jaafar sekali lagi turut mencuri tumpuan apabila sempat melakukan rembatan kencang yang melewati pintu gol pada m-69 perlawanan.

Pujian harus diberikan kepada penjaga gol Pahang, Mohd Rosfaizul Azuar yang beraksi cemerlang malam tadi termasuk menyelamatkan percubaan Muhd Badhri dari luar kotak penalti pada m-74.

Sisa perjuangan anak buah Datuk M Karathu untuk menambahkan jaringan tertutup apabila tipu helah Norshahrul Idlan yang memperdayakan Mohd Hazri Rozali di sebelah tepi pintu gol Pahang berakhir dengan hantaran lintangnya gagal ditampan Muhd Badhri di dalam kotak penalti pada m-81 perlawanan.

Sementara percubaan terakhir Kelantan pada perlawanan hanya berbaki tujuh minit untuk ditamatkan juga hampa setelah hantaran silang yang dilakukan Mohd Nurul Azwan hasil serangan balas sempat dikeluarkan Mohd Shahrizan di depan pintu golnya.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, S Subramaniam (Wan Rohaimi Wan Ismail), Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Solehin Kanasian Abdullah (Mohd Izuan Salahuddin), S Chanturu (Muhammad Ramzul Zahini Adenan) dan Norshahrul Idlan Talaha.

FORMASI : 4-4-2

PAHANG : Mohd Rosfaizul Azuar Ali, Mohd Saiful Nizam Miswan, Jalalludin Abu Jaafar (KP), Mohd Shahrizan Salleh, Mohd Zaiza Zainal Abidin (Muhammad Syawal Norsam), Mohd Hazri Rozali, R Surendran (Mohd Faizol Hussin), Famirul Asraf Sayuti, Mohd Munir Amran, Azammuddin Mohd Akil dan Mohd Shafie Zahari.

FORMASI : 4-4-2

Piya Wira Red Warriors

Gol jaringannya bantu Kelantan rampas persada liga, Terengganu gigit jari tewas 0-1 di halaman sendiri

KELANTAN kembali mendahului persada Liga Super dengan kelebihan jaringan selepas mengutip mata penuh mengatasi Pahang 1-0, sementara pendahulu sebelumnya, Terengganu tersentak apabila tewas 0-1 kepada Kedah di halaman sendiri, malam tadi.

NORSHAHRUL (kanan) melonjak merebut bola mengatasi pemain Pahang, Zaiza Zainal Abidin pada saingan Liga Super di Kota Bharu, malam tadi.

Kedua-dua pasukan mengumpul 47 mata tetapi skuad kendalian Datuk M Karathu merampas puncak liga atas kelebihan jaringan - 46 gol berbanding anak buah Irfan Bakti Abu Salim yang hanya meledak 45 gol. Perbezaan jaringan dan bolos kedua-dua pasukan turut terikat pada 26 gol.

Jaringan ketua pasukan Kelantan, Mohd Badri Radzi pada minit kelapan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, sudah cukup untuk membantu tuan rumah merampas kembali kedudukan teratas yang terlepas ke tangan Terengganu, Rabu lalu.

Norshahrul Idlan Talaha berpeluang menambah jaringan pada minit ke-24 apabila pengadil menganugerahkan sepakan penalti selepas Nurul Azwan Roya dijatuhkan dalam kotak penalti, tetapi pemain dengan jolokan Mat Yo itu gagal menyempurnakan sepakan.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, ketumpulan barisan serangan tuan rumah menyaksikan harapan untuk mengukuhkan kedudukan di persada liga tidak kesampaian apabila tewas tipis kepada Kedah menerusi jaringan tunggal pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-43 - membolehkan skuad bimbingan Wan Jamak Hassan pulang ceria dengan tiga mata.

Di Stadium Shah Alam, Selangor kembali mencatat kemenangan menundukkan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan Fadzli Shaari (m-50) dan Rudie Ramli pada minit terakhir permainan.

Di Stadium Perak, tuan rumah mengukuhkan kedudukan di tangga keempat liga selepas menewaskan T-Team 2-0. Mohd Syazwan Roslan meletak tuan rumah di depan minit ke-45 dan sekali lagi menembusi gawang pelawat pada minit ke-87.

Di Stadium Utama Negeri, Kangar, FELDA United menambah derita buat pasukan tercorot liga, Perlis apabila menang tipis 1-0 hasil jaringan Mohd Lot Abu Hassan tiga minit sebaik babak kedua bermula.

Di Stadium MP Selayang, Harimau Muda A kendalian jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee meneruskan rentak cemerlang sebelum rehat perlawanan antarabangsa menewaskan Sabah 2-0 hasil jaringan K Gurusamy pada setiap babak permainan manakala di Stadium KLFA Cheras, Kuala Lumpur tumpas 1-2 kepada Johor FC.

Tonjol Budaya, Adat



KOTA BHARU: Pelbagai acara kebudayaan dan tradisi masyarakat Kelantan akan ditonjolkan sepanjang tiga hari acara walkaton D’Raja Kelantan 2011-Walk With Me di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, bermula Jumaat ini.

Timbalan Pengerusi Biro Kebudayaan dan Istiadat Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi, Tengku Mahisham Tengku Mustapha, berkata pihaknya menjadikan acara berkenaan sebagai landasan memperkenalkan budaya dan adat negeri ini kepada generasi baru.

Katanya, orang ramai bukan saja berpeluang menyertai acara berjalan kaki bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, malah dihibur dengan persembahan kebudayaan seperti wayang kulit, rebana ubi serta seni silat.

“Kebanyakan persembahan kebudayaan yang diadakan nanti kurang dikenali masyarakat kita sekarang, terutama golongan muda.

“Jadi, sambil mereka menyertai walkaton, kita mahu memperkenalkan budaya ini kembali kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Acara walkaton anjuran pertubuhan itu dijangka memecah rekod Malaysia Book of Records bagi kategori penyertaan walkaton paling ramai.

Pelbagai acara menarik disediakan sempena acara berkenaan termasuk pameran, karnival jualan serta tayangan amal ‘wayang pacak’.

Sementara itu, Tengku Mahisham berkata 10 lokasi hentian disediakan untuk pasukan muzik tradisional membuat persembahan kepada pengunjung.

Katanya, semua hentian terbabit ditempatkan di sekitar kawasan stadium.

“Ini satu daripada tarikan sempena acara itu nanti apabila setiap hentian ditempatkan pasukan muzik tradisional seperti rebana ubi, muzik wayang kulit, gong cina, rebana kerching, pancaragam, gedombak siam, kertok kepala dan muzik seni silat,” katanya.