Friday, May 27, 2011

Red Warriors Tumbang



KOTA BHARU – Rekod tanpa kalah Kelantan di gelanggang sendiri musim ini, akhirnya lebur setelah kecundang 1-2 kepada T-Team dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi. 

Gol pemusnah menerusi bekas Ketua Pasukan Kelantan musim lalu, Indra Putra Mahayuddin pada m-97 perlawanan memaksa The Red Warriors melepaskan gelaran pendahulu liga kepada Terengganu yang mencatatkan kemenangan besar 5-0 ke atas Pahang malam tadi. 

T-Team yang bertandang ke Kota Bharu dengan misi sukar untuk memburu kemenangan memulakan asakan seawal minit kedua menerusi hantaran lintang Mohd Badrul Hishani Abd Rahman ke dalam kotak penalti namun tandukan Mohd Hafis Safwan Md Kamal tersasar disebelah kanan pintu gol Kelantan. 

Dua minit kemudian, Kelantan kembali membalas serangan kali ini menerusi lorongan cantik Mohd Farisham Ismail kepada Norshahrul Idlan Talaha didalamkotak penalti namun penjaga gol T-Team, Mohd Zairi Hafiezi Idris terlebih dahulu keluar menyelamatkan keadaan. 

Pada minit keenam, pasukan pelawat nyaris memperolehi gol pertamanya menerusi percubaan pemain tengah, Zairo Anuar Zailani dari luar kotak penalti yang memaksa penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat merebahkan badan untuk menepis keluar rembatan tersebut. 

Begitu pun, Kelantan turut berpeluang berada didepan enam minit kemudian menerusi gerakan solo Mohd Nurul Azwan Roya dari tengah padang namun rembatannya cukup lemah untuk menghasilkan gol pertama Kelantan. 

Tiga minit kemudian, Mohd Nurul Azwan sekali lagi bijak memperdayakan Norfazly Alias di penjuru padang tetapi rembatan leretnya sedikit tersasar disebelah kiri pintu gol T-Team. 

Pada m-24,: Muhd Badhri Radzi yang menerima hantaran lintang S Chanturu mensiakan peluang terbaik untuk meletakkan Kelantan di hadapan apabila tandukannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol. 

Pada m-42,: gerakan solo menarik Norshahrul Idlan berjaya memperdayakan tiga pemain pertahanan T-Team namun rembatan kencangnya diselamatkan Mohd Zairi Hafiezi di gawang gol pasukannya. 

Minit-minit akhir babak pertama, T-Team memperoleh gol pertamanya hasil ‘jaringan kontroversi’ menerusi rembatan Mohd Badrul Hisani setelah berlaku situasi kelam kabut di depan pintu gol Kelantan.

Tindakan pengadil membenarkan jaringan tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati pemain Kelantan yang mendakwa bola yang dihantar Mohd Norfarhan kepada Mohd Badrul Hisani sebelum itu sudah pun terkeluar daripada garisan kawasan permainan. 

Tiga minit babak kedua bersambung, pasukan T-Team gagal menjarakkan kedudukan apabila serangan balas pantas menerusi Mohd Norfarhan Muhammad gagal dimanfaatkan dengan sempurna Mohd Haris Safwan didepan pintu gol Kelantan. 

Pada m-55, Zairo Anuar yang menerima umpanan Indra Putra Mahayuddin sekali lagi mencemaskan pintu gol Kelantan apabila merembat kencang ke pintu gol Kelantan namun sempat ditepis keluar Khairul Fahmi. 

Namun selepas itu, pengadil perlawanan, Shokri Nor terpaksa menghentikan perlawanan terhenti hampir enam minit gara-gara segelintir penyokong Kelantan bertindak membaling objek ke dalam padang. 

Begitu pun rentak pasukan T-Team tidak mudah terganggu dengan insiden tersebut sebaliknya kian rancak melancarkan serangan ke pintu gol Kelantan. Hasilnya pada :m-66:, Mohd Norfarhan hampir menambah derita pasukan Kelantan menerusi tandukan tajam di depan pintu gol Kelantan namun diselamatkan sekali lagi Khairul Fahmi. 

Pujian harus diberikan kepada dua pemain pertahanan T-Team, Azizi Matt Rose dan Norfadzly Alias yang beraksi cemerlang mengekang asakan bertali arus pemain Kelantan dalam perlawanan malam tadi. 

Kelantan mempunyai dua peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan selepas itu apabila rembatan kencang Norshahrul Idlan pada -74 diselamatkan Mohd Zairi Hafiezi sementara Muhd Badhri pula mensia-sia peluang terbaiknya apabila menyepak liar pada :m-79: sekalipun tidak dikawal oleh pemain pasukan pelawat. 

Akhirnya gol penyamaan Kelantan hadir pada :m-86: perlawanan menerusi jaringan Mohd Nurul Azwan yang merembat kencang setelah menerima hantaran pendek Norshahrul Idlan didalam kotak penalti. 

Namun kesilapan pemain pertahanan, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid yang gagal mengeluarkan bola di depan pintu gol Kelantan pada masa tambahan akhirnya dihukum menerusi rembatan rendah Indra Putra menewaskan Khairul Fahmi untuk memastikan rekod tanpa kalah bekas pasukannya di halaman sendiri berakhir malam tadi.: 

Kesebelasan utama pemain : 

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, S Subramaniam, Zairul Fitree Ishak (Mohd Izuan Salahuddin), Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Solehin Kanasian Abdullah (Danial Fadzli Abdullah), S Chanturu (Mohd Nizab Ayub) dan Norshahrul Idlan Talaha. FORMASI : 4-4-2 

T-TEAM : Mohd Zairi Hafiezi Idris, Azizi Matt Rose, Rosdi Talib (KP), Norfazly Alias, Mohd Shahrul Ezrain Samsudin, Zairo Anuar Zailani, Tengku Hasbullah Raja Hassan, Indra Putra Mahayuddin, Muhd Badrul Hisani Abd Rahman (Hisbullah Awang), Mohd Norfarhan Muhammad dan Mohd Haris Safwan Md Kamal (Azrul Hazran Amiludin Baki). 

FORMASI : 4-4-2

Petroleum: Mahkamah Rayuan Tolak, Kelantan Rayu



PUTRAJAYA, 26 Mei: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Kerajaan Negeri Kelantan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan kerajaan persekutuan menjadi pencelah dalam samannya ke atas Petronas berhubung royalti minyak.

Keputusan itu dibuat Hakim Low Hup Beng setelah mendengar penghujahan daripada peguam yang mewakili kedua-dua pihak.

Kerajaan Kelantan diwakili peguam Tommy Thomas.

Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Paduka Husam Musa berkata, beliau meminta Tommy memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan itu.

"Saya telah minta peguam kita untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan di atas kedua-dua  keputusan tadi," kata beliau kepada pemberita di luar kamar mahkamah selepas mendengar keputusan berkenaan.

Menurutnya, Kelantan tetap berpendapat bahawa Kerajaan Persekutuan tidak perlu campur tangan dalam kes ini kerana tidak memberi sebarang impak kepada mereka.

"Kes ini sebenarnya begitu simple. Jika kerajaan Kelantan menang dalam kes ini, lima peratus bahagian (royalti) Kerajaan Pusat  tidak akan berkurangan.

"Kalau Kerajaan Kelantan ditakdirkan kalah dalam kes ini bahagian lima peratus Kerajaan Pusat tak bertambah.  Jadi tidak ada apa-apa  kesan negatif dan positif kepada Kerajaan Pusat.

"Dan kerana itulah kita masih berpendapat bahawa Kerajaan Pusat tidak perlu campur tangan dalam kes ini kerana kes ini adalah kontrak antara Kerajaan Kelantan dengan Petronas," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Tambahnya Kelantan berharap agar rayuan di Mahkamah Persekutuan nanti akan diterima.

"Kita  berharap Mahkamah Persekutuan mempertimbangkan dan memberi keputusan sebaliknya daripada  apa yang diputuskan hari ini," katanya.

Rayuan di Mahkamah Persekutuan boleh dibuat dalam masa 30 hari daripada hari ini.

Sementara itu Mahkamah Rayuan hari ini turut menolak satu lagi rayuan oleh kerajaan negeri berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan permohonan bagi kes saman itu dipindahkan semula ke Mahkamah Komersial Baru (NCC).

Kerajaan negeri mahu kes itu dipindahkan semula memandangkan saman berkenaan pada mulanya difailkan di NCC, tetapi kini akan didengar di Mahkamah Sivil Baru (NCvC).

Pada 30 Ogos tahun lalu, kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana  mendakwa syarikat petroleum nasional itu tidak membayar royalti yang dianggarkan RM800 juta setahun sejak 2005.

Menurut kerajaan negeri, tindakan Petronas itu bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, tetapi juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan negeri antara lain memohon perintah untuk mendesak Petronas supaya mendedahkan kesemua fakta berkaitan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada Kelantan.

Ia termasuk tempoh petroleum dikeluarkan, dijumpai atau diperoleh di pesisir Kelantan; kawasan atau blok tempat petroleum dijumpai dan diperoleh; dan jumlah keseluruhan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada Kelantan.

Kerajaan negeri turut mendesak agar semua pembayaran tunai tertunggak yang ditetapkan oleh mahkamah mesti dibayar dalam tempoh satu bulan daripada perintah mahkamah dikeluarkan.