Wednesday, May 25, 2011

'Kelantan Lunas Hasrat Balas Dendam'



MISI membalas dendam jelas terpancar pada wajah Datuk M Karathu dan anak didiknya apabila Kelantan turun menentang T-Team dalam perlawanan penting Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam ini. 

Hakikat itu terbit daripada mulut pemain sayap kiri Kelantan, Nurul Azwan Roya yang melaungkan tekad betapa dia dan rakan sepasukan The Red Warriors mahu menebus detik kecewa tewas kepada kelab dari Terengganu itu, 3-4 dalam perlawanan pusingan pertama pada 5 April lalu.

Saya dan rakan sudah bersedia sepenuhnya menanti kunjungan T-Team yang dianggap pasukan yang kuat dan menunjukkan kebangkitan selepas pasukan itu menewaskan Selangor 2-1 di Kuala Terengganu, Khamis lalu.

“Kita tidak boleh pandang mudah keupayaan T-Team walaupun beraksi di laman sendiri kerana kesilapan akan membawa padah kepada pasukan dalam mengukuhkan kedudukan takhta Liga Super,” katanya di Kota Bharu, semalam. 

Sementara itu, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menganggap perlawanan berdepan T-Team akan menjadi penentu kebangkitan Red Warriors selepas terikat 2-2 dengan Harimau Muda A di Stadium Shah Alam, Ahad lalu. 

“Saya akui cabaran pasti sengit diberi T-Team tetapi saya sudah bersedia menggalas tugas sebagai penjaga gol dan harap tumpuan sepenuhnya rakan sepasukan membenam T-Team nanti,” kata pemain kelahiran Kampung Cherang, Kota Bharu itu. 

Motivasi Tinggi Benam T-Team



KOTA BHARU – Pertemuan menarik dua musuh baru bola sepak tempatan, Kelantan menentang T-Team di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini dijangka membuka dimensi baru bagi kedua-dua pasukan bagi melebarkan rekod kemenangan masing-masing. 

Rekod pertemuan sepanjang musim ini seimbang di mana kedua-dua pasukan masing-masing menang sekali daripada dua pertemuan sebelum ini. Dalam perlawanan pusingan pertama Liga Super, skuad kendalian Ahmad Yunus Aliff menang tipis 4-3 di Kuala Terengganu sementara aksi pusingan pertama kalah mati kempen Piala FA, Kelantan berjaya menyingkirkan T-Team menerusi sepakan penalti 6-5 setelah terikat seri 1-1. 

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, pertemuan menentang T-Team memberikan signifikan tersendiri sambil perjuangan The Red Warriors dalam mengejar kejuaraan liga sudah pasti dihimpit dengan dua pencabar terdekatnya, Terengganu dan Selangor yang turut mengintai peluang untuk memintas Kelantan. 

“Kekalahan 4-3 pada pusingan pertama masih lagi dirasai. Jelas saya tidak mahu kecewa lagi dan pertemuan ini harus menjadi medan kebangkitan pemain Kelantan untuk memadamkan keegoan T-Team dengan mencipta kemenangan. 

“Saya tidak mahu merendah diri kali ini dan penting saya katakan betapa Kelantan harus menang di hadapan penyokong sendiri. Biarpun T-Team bersemangat tinggi untuk menghadapi kita, namun kita juga mempunyai motivasi tinggi untuk menang pada pertemuan kali ini. Saya fikir sokongan peminat tempatan juga bakal menyemarakkan pemain kita untuk beraksi cemerlang malam ini. 

“Satu perkara yang saya ingatkan kepada pemain, walaupun kadang-kala aksi T-Team tidak konsisten, namun kebangkitan dengan mereka mengalahkan Selangor 2-1 dan mengatasi Sabah 3-1 membuktikan pasukan kelab yang dibarisi rata-rata pemain berpengalaman itu tidak boleh dipandang mudah,” katanya. 

Karathu berkata, kegagalan mengutip mata penuh di Shah Alam tempohari memberi ilham kepada beliau untuk melakukan sedikit rombakan terhadap pasukan bagi merangka strategi ampuh. 

“Mohd Daudsu (Jamaluddin) terpaksa diketepikan kerana menjalani penggantungan satu perlawanan. Tempat dia akan diisi oleh Mohd Farisham (Ismail) yang akan bermain di posisi bek kanan sementara Mohd Rizal Fahmi (Ab Rosid) kembali menerajui pertahanan tengah bergandingan bersama S Subramaniam. 

“Besar kemungkinan Solehin Kanasian (Abdullah) bakal kembali di posisi sayap kanan sambil tugas penggempur digalas S Chanturu yang akan berpasangan dengan Norshahrul Idlan (Talaha). Ada kemungkinan juga saya merehatkan Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) yang melepaskan banyak peluang dalam pertemuan menentang Harimau Muda tempohari,” katanya.