Sunday, May 22, 2011

Diserang Wanita Berbogel Akibat Menonton Filem Lucah


Salah satu kisah menarik, yang cukup baik untuk kita ambil iktibar ialah mengenai seorang jemaah haji (lelaki) yang gagal masuk ke Masjidilharam. Lelaki ini tidak sama pakej dengan saya (Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din), jadi saya tidak mengenalinya.

Apa yang berlaku kepada lelaki berkenaan ialah, setiap kali hendak masuk ke masjid, dia tiba-tiba sahaja menjadi panik seperti orang yang ketakutan. Kemudian lelaki itu tergopoh-gapah keluar semula dari masjid dan tergesa-gesa pulang ke rumah tumpangannya. Selepas gagal kali pertama, lelaki itu cuba sekali lagi tetapi apabila orang-orang di dalam masjid memandang ke arahnya, dia terus berlari balik ke rumah tumpangannya semula. Kejadian aneh ini berlaku berulang-ulang kali selama hampir seminggu sehingga lelaki tadi tidak dapat sembahyang di dalam Masjidilharam.

Melihat keadaan yang sungguh aneh itu, seorang sahabat datang memberitahu saya dan minta supaya saya cuba ubati lelaki itu. Saya bersetuju tetapi tidak terus melakukannya. Sebaliknya saya cuba mendapat maklumat mengenai lelaki tersebut terlebih dahulu. Saya sengaja berbuat demikian sebab saya rasa mesti ada sesuatu kesalahan yang telah dibuatnya hingga menyebabkan dia menjadi sedemikian rupa. Jadi saya suruh kawan saya selidiki dahulu latar belakang lelaki itu. Kawan saya pun pergilah berjumpa semula dengan lelaki itu dan minta dia ceritakan apakah sebenarnya yang telah berlaku. Mulanya lelaki tersebut malu untuk bercerita, tapi selepas dipujuk akhirnya dia bersetuju. Ceritanya amat memalukan tapi memberi banyak pengajaran.

Sebenarnya lelaki berkenaan mempunyai hobi yang sangat buruk iaitu menonton filem lucah. Filem lucah sudah jadi macam makanan hariannya malah pada malam terakhir hendak bertolak ke Mekah pun dia sempat lagi menonton filem lucah. Rupa-rupanya, lelaki itu memberitahu bahawa setiap kali hendak memasuki Masjidilharam, dia tiba-tiba sahaja ternampak seorang perempuan yang dalam keadaan bogel menerkam ke arahnya atau seperti mencari-carinya. Maka kerana takut kelakuan perempuan tadi akan memalukan dirinya, lelaki berkenaan melarikan diri.
Selepas mengetahui kedudukan sebenarnya, barulah saya ubatkan lelaki tadi. Saya diberitakan selepas itu barulah dia dapat masuk ke masjid. Itupun cuma sampai ke pintu.

Diceritakan oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

10 Petanda Dia Jodoh Kita

Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)

Gunakan Seluruh Pancaindera 

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.

1.Bersahaja 

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2.Senang Bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3.Terima Kita Seadanya 

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4.Sentiasa Jujur 

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5.Percaya Mempercayai 

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6.Senang Bekerjasama 

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7.Memahami Diri kita 
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8.Tampilkan Kelemahan 

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9.Kata Hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10.Solat Istikharah dan Tawakkal

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

4 Golongan Lelaki Akan Ke Neraka Kerana Wanita


Pertama:-

'Ayahnya' - Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia.Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya.Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat.. tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik oleh anaknya.

Kedua:-

'Suaminya' - Apabila seorang suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat,memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram,apabila suami mendiamkan diri.. Walaupun dia seorang alim (solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal)maka dia akan ditarik oleh isterinya.

Ketiga:-
'Abang-abangnya' - Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh kepala abang-abangnya.. jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM. Tunggulah tarikan adiknya di akhirat.

Keempat:-

'Anak Lelakinya' - Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan diakhirat kelak.. Nantikan tarikan ibunya.

Tugas Sukar Jinak Harimau Muda


KOTA BHARU – Pendahulu liga, Kelantan dijangka berhadapan tugas sukar untuk menjinakkan Harimau Muda ‘A’ apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.

Kejayaan pasukan kendalian Ong Kim Swee mengalahkan T-Team dengan kemenangan 3-1 dan mengatasi Sabah 2-0 di gelanggang lawan, sebelum tunduk melawan 1-2 kepada Terengganu di Shah Alam tempoh hari, memberi isyarat hasrat meraih tiga mata tidak semudah disangkakan.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui, pertemuan menentang Harimau Muda ‘A’ malam ini, merupakan antara ujian terpenting baginya dalam menentukan hala tuju Kelantan memburu kejuaraan pertama, tatkala saingan liga hanya berbaki enam perlawanan untuk ditamatkan.

“Saya sesekali tidak memandang rendah kemampuan pasukan berstatus skuad kebangsaan ini. Buktinya kita pernah menghadapi kesukaran mengalahkan mereka di Kota Bharu pada pertemuan pusingan pertama tidak lama dulu.

“Biarpun dibarisi rata-rata pemain muda, namun saya melihat ini merupakan satu cabaran getir kepada pemain senior Kelantan untuk mencatatkan kemenangan malam ini. Standard pasukan ini, sama seperti dengan pasukan yang lain. Jelas mereka mempunyai ramai pemain muda yang berkualiti dan mampu memberi saingan kepada pemain kita.

“Anda sendiri pun dapat lihat, mereka mampu mengalahkan pasukan yang kuat seperti T-Team dan Sabah di gelanggang lawan. Saya tidak mahu mimpi buruk seperti itu, terjadi kepada pasukan kita pada saat persaingan sengit bagi memburu kejuaraan liga kian hangat. Cuma saya berdoa, kita tidak boleh tercicir mata lagi dalam baki perlawanan selepas ini,” katanya.

Menurutnya, beliau dijangka melakukan sedikit rombakan terhadap kesebelasan utama pemain dengan watak penyerang veteran, Muhammad Khalid Jamlus sudah pasti disisihkan kerana mengalami kecederaan, sementara peluang pemain muda, Muhammad Ramzul Zahini Adenan tampak begitu cerah untuk disenaraikan.

“Segala-galanya hanya dapat ditentukan selepas sesi latihan pasukan pada petang ini (semalam). Sudah pasti Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) akan diturunkan bergandingan dengan Norshahrul Idlan (Talaha). Selebihnya saya masih mengkaji formasi pasukan dan mencongak strategi yang akan kita gunakan untuk perlawanan ini.

“Saya perlukan pemain yang cergas dan mampu memberikan lebih daripada 100 peratus dalam perlawanan ini. Kita mengharungi tiga perlawanan yang sengit sejak seminggu lalu. Cuma yang melegakan saya ialah semua pemain utama bebas daripada dibelenggu masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan.

“Apa yang penting, saya mahu pemain saya bekerja keras sepanjang tempoh 90 minit sekiranya kita tidak mahu kecewa pulang ke Kota Bharu. Amat penting kita meraih tiga mata dalam perlawanan ini kerana saingan liga hanya tinggal enam perlawanan lagi untuk ditamatkan,” katanya.

Dalam perlawanan pusingan pertama di Kota Bharu pada 1 April lalu, Kelantan mengalahkan Harimau Muda ‘A’ 2-1 menerusi jaringan Solehin Kanasian Abdullah dan S Chanturu sebelum dibalas menerusi jaringan Mohd Irfan Fazail pada minit-minit akhir babak pertama.

Perebutan Kasut Emas


KOTA BHARU - Penggempur sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha berada pada landasan terbaik untuk dinobat Penjaring Terbanyak saingan Liga Super 2011 apabila mendahului dengan carta senarai penjaring dengan 13 gol setakat ini.

Jaringan terbaru Norshahrul dijelmakan ketika dia membantu The Red Warriors menang menang 3-1 ke atas Felda United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur kelmarin.

Gol jaringannya menerusi sepakan penalti pada minit ke-89 perlawanan, sekali gus menamatkan kemarau jaringan selama 360 minit dalam saingan Liga Super selepas kali terakhir melakukannya ketika menumbangkan juara bertahan Liga Super, Selangor pada 26 April lalu.

Jaringan tersebut menyaksikan penyerang kebangsaan itu mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Super dengan 13 gol mengatasi pencabar terdekat, penggempur Terengganu, Abdul Hadi Yahya dengan kelebihan tiga jaringan dan rakan sepasukan yang juga ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Razhi.

Norshahrul menganggap gol ke-13 di Cheras kelmarin sebagai pembakar semangat untuk menghasilkan lebih banyak jaringan sekali gus muncul penjaring terbanyak liga musim ini.

"Gol tersebut cukup bermakna buat saya selepas gagal menghasilkan jaringan dalam perlawanan sebelum ini.

"Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak jaringan selepas ini dan memanfaatkan setiap peluang yang dimiliki.

"Baki perlawanan selepas ini saya akan gunakan sebaik mungkin untuk meneruskan cita-cita muncul selaku penjaring terbanyak liga musim ini," katanya.

Mengulas saingan memburu penjaring terbanyak musim ini antara beliau dengan Abdul Hadi, Norshahrul memberitahu peluang masih lagi terbuka.

"Walaupun saya berkelebihan tiga jaringan, ia tidak mustahil untuk dikejar. Apa yang penting saya perlu fokus dan cuba menjaringkan gol.

"Selain itu, saya juga akan berusaha membantu pasukan mendapatkan tiga mata penting dalam setiap perlawanan dan memastikan Kelantan berjaya muncul juara Liga Super buat kali pertama," katanya.

KAFA Sedia Bantu Penyokong


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersedia membantu menguruskan pembelian tiket untuk peminatnya menyaksikan perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 11 Jun ini.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya juga telah berunding dengan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk mengadakan perkhidmatan tempahan khas bagi penyokong negeri itu bertandang ke Stadium Nasional.

"Ini bagi memastikan 60,000 penyokong Kelantan yang bakal menyaksi dan memberi sokongan kepada pemain dari negeri ini," katannya pada majlis orientasi dan pendaftaran Pelatih-Pelatih Akademi Red Warriors Al-Amra (Army) di Pangkal Kala, dekat Kota Bharu semalam.

Pada majlis itu, seramai 320 pelajar pelbagai peringkat umur menyertai akademi itu yang bertujuan melahirkan pemain pelapis yang bakal mewarisi kegemilangan pasukan bola sepak Kelantan.

Annuar berkata, penyokong yang ingin ke Kuala Lumpur secara rombongan supaya menghubungi KAFA bagi mendapatkan tiket.

Katanya, tempahan tiket juga boleh dibuat melalui Internet dan setiap orang boleh membeli empat tiket secara online dengan melayari www.redwarriors@tiket.com.my.

Macho Man Maut Mereta Terbabas di Lebuh Raya





ATLANTA: Penggusti profesional terkenal dengan suara serak dan cermin mata penuh warna, Randy ‘Macho Man’ Savage, maut dalam kemalangan jalan raya di Florida, semalam.

Macho Man berusia 58 tahun.

Laporan polis lebuh raya menyatakan, penggusti yang sering ditemani wanita cantik ketika di gelanggang itu memandu Jeep Wrangler apabila dia hilang kawalan di daerah Pinellas kira-kira jam 9.25 pagi (waktu tempatan).

Menurut laporan itu, kenderaan Macho Man merempuh pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum tersadai di sebatang pokok.

Menurut jurucakap polis, Macho Man - atau nama sebenarnya Randy Mario Poffo - mungkin mengalami “masalah kesihatan” sejurus sebelum kemalangan itu.

“Bagaimanapun, pengesahan hanya boleh dibuat selepas bedah siasat,” katanya.

Seorang wanita yang ada dalam kenderaan sama, dikenali sebagai Barbara L Poffo, 56, mengalami cedera ringan.

Kedua-dua mereka memakai tali pinggang keselamatan ketika kejadian.

Kenyataan World Wrestling Entertainment (WWF) menyatakan, Barbara adalah isteri Macho Man.

“Kehilangan Macho Man akan dirasai WWF dan peminatnya,” kata kenyataan itu. 


AP

Red Warriors Resah


PENGURUS pasukan Kelantan, Azman Ibrahim, bimbang dengan keadaan beberapa pemain yang masih kepenatan, malah ada yang mengalami sedikit kecederaan dan demam ketika Kelantan bakal berdepan Harimau Muda A di Stadium Shah Alam, malam ini.

Menurut Azman, jadual permainan yang ketat tidak memberi peluang kepada pemain untuk mendapat rehat mencukupi sekali gus menyumbang kepada masalah itu.

Bagaimanapun, semangat juang dan kesungguhan tinggi dimiliki pemain skuad Kijang menjadi azimat untuk mempamer persembahan terbaik malam ini. “Saya bimbang dengan keadaan beberapa pemain yang masih kelihatan penat, ada juga yang mengalami kecederaan ringan dan demam, namun diharap pemain segera pulih dan kembali cergas untuk beraksi pada malam ini.

“Jadual memang ketat pada bulan ini menyebabkan pemain letih tapi saya percaya dengan semangat juang dan kesungguhan pemain, Kelantan akan terus berusaha meraih kemenangan,” katanya. Azman berkata, Kelantan perlu terus menewaskan lawan bagi memastikan sasaran menjuarai Liga Super tercapai.

“Kelantan perlu menang untuk mengekalkan kedudukan teratas liga kerana kini hanya dibezakan satu mata dengan Selangor.

“Kesilapan boleh menyebabkan kami keciciran mata dan kedudukan liga dirampas lawan sekali gus menyebabkan pasukan berdepan tugas sukar menjuarai Liga Super tahun ini," katanya yang menaruh keyakinan Red Warriors mempunyai kelebihan untuk mencipta kemenangan selepas berjaya menundukkan pasukan itu 2-1 di Kota Bharu 1 April lalu pada pusingan pertama Liga Super.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, dia perlu mencongak strategi terbaik dalam pemilihan pemain kerana bakal berdepan pasukan kuat yang dibarisi pemain muda yang dipimpin Ong Kim Swee.

“Saya perlu berhati-hati menurunkan kesebelasan utama berikutan pemain masih lagi penat selain ada juga yang cedera ringan dan demam.

“Ketua pasukan, Mohd Badri Radzi misalnya mengalami kecederaan ringan di pergelangan kaki.

“Kami sedar Harimau Muda A pasukan yang kuat kerana dibarisi ramai pemain muda dan berpengalaman beraksi di peringkat antarabangsa tapi saya percaya Kelantan tetap akan memberi cabaran, malah mempamer aksi terbaik untuk meraih kemenangan," katanya.