Thursday, May 19, 2011

Dua Misi Berbeza Karathu


KOTA BHARU – Ketika ramai yang masih meraikan kejayaan Kelantan mara ke perlawanan akhir Piala FA, pengendali pasukan, Datuk M Karathu pantas mengetepikan kegembiraan meraikan kejayaan tersebut, sebaliknya terus memberi tumpuan terhadap aksi Liga Super yang bersambung hari ini. Malam ini, Kelantan akan bertemu KL Felda United FC dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

“Kita ke Kuala Lumpur dengan dua misi berbeza. Salah satunya mahu mengalahkan Felda United FC dan kemudian mengecewakan Harimau Muda ‘A’ pada perlawanan Ahad ini. Jadi, pertemuan menentang Felda United FC malam esok (ini) merupakan salah satu cabaran yang perlu kita hadapi.

“Walaupun kita pernah menang dua daripada tiga pertemuan sebelum ini, tetapi saya mengetepikan perkara itu. Kemenangan besar 6-0 dalam saingan liga sudah pun berlalu. Saya kira pertemuan ini cukup penting bagi Kelantan, lebih-lebih lagi kita tidak boleh tercicir mata selepas ini.

“Felda United FC ternyata mempunyai sedikit kelebihan kerana mendapat rehat yang cukup berbanding kita. Sedangkan kita terpaksa mengerah tenaga pemain kerana beraksi dalam perlawanan dua kompetitif menentang Selangor pada saingan separuh akhir Piala FA dalam tempoh empat hari,” katanya.

Mengakui tidak banyak pilihan yang ada, melainkan perlu mengalahkan Felda United FC malam esok (ini), Karathu menuntut anak buahnya memfokuskan sepenuh perhatian sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung, sekiranya tidak mahu berputih mata mengejar kejuaraan liga tatkala saingan liga hanya berbaki tujuh perlawanan untuk ditamatkan.

“Pemain perlu menanamkan semangat mahu menang apabila turun beraksi. Saya akui Felda United FC memang dibarisi ramai pemain pengalaman tapi kita tidak perlu terikut dengan corak permainan mereka. Kita turun dengan strategi menyerang, sekalipun mereka bermain secara bertahan.

“Saya mahu pemain bawa pulang enam mata ke Kota Bharu. Memang kita mengharapkan T-Team dapat mengalahkan Selangor di Kuala Terengganu, tetapi saya tidak mahu memikirkan sangat perkara itu. Fokus saya adalah mahu Kelantan mencatatkan kemenangan malam ini, tidak kira berapa jaringan sekali pun.

“Tidak banyak persiapan yang dapat kita lakukan menghadapi Felda United. Kita hanya sempat menjalani latihan ringan hari ini (semalam) sebelum berlepas ke ibu negara. Saya akui pemain kita berhadapan rehat yang tidak mencukupi kerana jadual perlawanan begitu ketat,” katanya.

Namun sedikit melegakan bagi Karathu apabila dapat menggunakan khidmat empat tonggak utama yang disisihkan pada pertemuan menentang Selangor tempohari. Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Nurul Azwan Roya, Zairul Fitree Ishak dan Mohd Farisham Ismail bakal kembali ke dalam kesebelasan utama pemain.

Bandar Red Warriors


 Kerajaan negeri Kelantan akan membina sebuah stadium yang memuatkan 40,000 orang di samping ruang masjid di merata-rata bahagiannya di Bukt Merbau, Pasir Puteh.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Mat dalam satu kenyataan media yang dibacakan selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.


"Saya ingin membuat pengumuman pada hari ini satu berita gembira buat rakyat Kelantan khususnya peminat-peminat sukan tanahair di mana Kerajaan Kelantan telah bersetuju untuk membina sebuah kompleks sukan bersekali dengan Bandar baru untuk kegunaan aktiviti sukan di negeri ini.

"Kompleks tersebut yang antaranya akan menempatkan sebuah stadium utama dengan kapasiti 40,000 tempat duduk bertempat di atas tanah milik kerajaan di Bukit Merbau, Pasir Puteh," kata beliau.

Katanya, kerajaan berhasrat agar stadium yang akan dibina ini turut memuatkan ruang masjid di merata-rata bahagian yang akan membolehkan penonton-penonton solat berjemaah dengan mudah di dalam stadium.

Ini bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang mahukan aktiviti sukan di negeri ini tidak berpisah dari roh Membangun Bersama Islam yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan negeri. 

Bagaimanapun rekabentuk secara terperinci terpulang kepada arkitek yang akan diberikan tanggungjawab ini nanti, katanya.

Menurut Nik Aziz, cadangan pembangunan stadium dan kompleks sukan ini terbuka kepada mana-mana pemaju menghantarkan cadangan atas dasar BOT iaitu bina, operasi dan pindah.

"Saya berharap dengan pembinaan kompleks sukan ini nanti, aktiviti sukan di negeri ini dapat berdaya maju dengan lebih baik ke arah membentuk masyarakat yang sihat jasmani dan rohani insya-Allah," katanya.

Fokus Liga Super



"LUPAKAN seketika saingan Piala FA, sebaliknya berikan tumpuan penuh dalam Liga Super jika mahu terus mencabar kejuaraan musim ini."

Itu pesanan ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu kepada barisan pemainnya menjelang pertemuan dengan Felda United di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur malam ini.

Menurutnya, meskipun masih ada baki tujuh lagi perlawanan untuk diharungi, beliau tetap melaungkan keyakinan pasukannya mampu menjadi juara sekiranya berjaya mendapatkan tiga mata dalam setiap perlawanan yang bakal dilalui selepas ini.

"Walaupun dibezakan dengan dua mata dengan pendahulu liga, Selangor, saya tetap tidak akan mengalah dan kita akan terus memberikan tentangan sengit.

"Untuk itu kita perlu fokus dalam setiap perlawanan yang dilalui dan kita tidak boleh terus keciciran mata dalam perlawanan selepas ini kerana Terengganu sentisa menunggu peluang untuk memintas kita," katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Felda United malam ini, Karathu tidak mahu terlalu yakin meskipun mereka pernah membenam Felda 6-0 pada perlawanan pusingan pertama lalu.

Beliau sudah mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak mengambil mudah perlawanan ini.

"Saya yakin Felda United akan turun bermati-matian dalam perlawanan malam esok (malam ini), lagipun semua pemain mereka sudah mendapat rehat yang cukup sebelum menentang kami.

"Jadi saya ingatkan kepada semua pemain saya agar berhati-hati dan tugas penting mendapatkan tiga mata dalam perlawanan ini perlu direalisasikan sebaik mungkin," katanya.

Tambahnya, ini merupakan perlawanan pertama buat pasukannya selepas mengharungi perlawanan berprofil tinggi ketika bertemu Selangor, Selasa lalu.

"Oleh itu saya harap pemain dapat memberikan aksi yang terbaik dalam perlawanan ini dan jangan terlalu dibuai dengan kejayaan menyingkirkan Selangor dalam saingan Piala FA sebaliknya fokus dalam saingan Liga Super" ujarnya.

Stadium Nasional Dapat 'Lampu Hijau'



PERSOALAN pihak mana yang akan membayar RM500,000 sebagai penalti kepada kontraktor terhadap penangguhan kerja penurapan trek di Stadium Nasional, Bukit Jalil bukan lagi menjadi isu.

Menurut penjelasan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad kos penalti berjumlah setengah juta itu adalah ‘masalah dalaman’ antara Perbadanan Stadium Malaysia dengan kontraktor yang terbabit.

“Satu pengumuman rasmi untuk membenarkan beberapa perlawanan antarabangsa berlangsung di Stadium Nasional akan diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam masa terdekat,” kata Azzuddin semalam.

Ini bermakna persahabatan antarabangsa skuad negara menentang tiga kelab Inggeris iaitu Chelsea, Liverpool dan Arsenal pada Julai ini akan berlangsung di stadium yang dibuka pada 1998 itu selain perlawanan kelayakan Piala Dunia skuad bimbingan ketua jurulatih negara K Rajagobal menentang Taiwan (3 Julai) dan pusingan kedua Olimpik 2012 menentang Lubnan (23 Jun).

Malah Azzuddin tidak menolak perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Terengganu juga bakal berlangsung di stadium yang mempunyai kapasiti penonton sehingga 100,000 itu.

Terdahulu beliau hadir pada majlis pelancaran penjualan tiket perlawanan Malaysia dan Chelsea yang dijual mulai esok untuk perlawanan yang dijadual berlangsung pada 21 Julai ini dengan harga serendah RM58, RM68, RM108 sehinggalah tiket VIP yang bernilai RM388.

Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents Group, Julian Kam menjangkakan kehadiran penonton akan melebihi jumlah ketika aksi dua tahun lalu iaitu 55,000 orang.

“Ini peluang terbaik menyaksikan pasukan utama Liga Perdana Inggeris beraksi malah The Blues bakal menyenaraikan pemain utama dalam kunjungan ini serta pemain yang baru ditandatangani,” katanya.

Seludup Dadah Guna motosikal


Sindiket ambil kesempatan ketika kesibukan seberangi Tambak Johor

JOHOR BAHRU: Polis sudah mengambil semua langkah berjaga-jaga, termasuk menempatkan pengintip di pintu masuk sempadan negara terutamanya di Tambak Johor di sini, bagi membanteras penyeludupan dadah antara dua negara.

Ia adalah susulan kejayaan melumpuhkan sindiket penyeludupan dadah ke Singapura, hasil tangkapan tujuh individu termasuk seorang wanita bersama lebih 4.8 kilogram heroin, selain menyita enam kenderaan yang keseluruhannya bernilai RM1.1 juta awal bulan ini.

Gambar hiasan

Kejayaan melumpuhkan sindiket terbabit hasil siasatan polis terhadap kegiatan penyeludupan dadah yang menggunakan modus operandi membawanya dengan motosikal, mengambil kesempatan pada kesesakan ribuan motosikal menyeberangi Tambak Johor pada waktu pagi.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata pihaknya akan meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Jabatan Imigresen menerusi perkongsian maklumat.

“Kita sedang mengesan saki baki anggota sindiket terbabit yang dipercayai cuba merekrut atau mengupah penunggang motosikal baru sebagai pembawa dadah upahan untuk menyeludup bahan larangan terbabit ke Singapura.

“Polis juga sudah menubuhkan pasukan khas bagi menangani masalah ini. Kita sudah merangka perancangan teliti termasuk menempatkan pegawai sebagai pengintip di pintu masuk sempadan negara bagi memudahkan polis mengesan mereka yang disyaki," katanya di sini, semalam. 

Mohd Mokhtar berkata, pihaknya juga meningkatkan kerjasama risikan antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan Biro Narkotik Pusat Singapura bagi mengesan dan melumpuhkan sindiket penyeludupan dadah berkenaan.

Berhubung penahanan tujuh individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 22 hingga 58 tahun yang terbabit dalam sindiket berkenaan, Mohd Mokhtar berkata, semua suspek masih dalam tahan reman bagi membantu siasatan.

“Kita mahu masyarakat juga memainkan peranan dan bekerjasama dengan polis dalam memerangi kegiatan ini. Apa saja maklumat yang mereka ketahui, boleh disalurkan kepada polis," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Kastam Johor, Harun Ishak, berkata pemeriksaan berkala sering dilakukan di Tambak Johor bagi membanteras kegiatan penyeludupan.

“Kita akan meningkatkan lagi pemeriksaan, malah setiap kenderaan akan diperiksa secara teliti supaya penjenayah tidak mempunyai peluang dan ruang untuk menyeludup bahan terlarang itu," katanya. 

Nelayan Laut Dalam Curi Ikan


Warga asing guna bot pukat tunda jual hasil tangkapan ke negara asal 

KUANTAN: Jabatan Perikanan mendakwa nelayan warga asing laut dalam yang bekerja dengan pemilik bot pukat tunda laut dalam rakyat tempatan menjual hasil tangkapan ke negara asal masing-masing bagi mengaut keuntungan, sekali gus menjejaskan pendaratan ikan bagi kegunaan rakyat tempatan.

Dakwaan itu dibuat selepas mendapati hasil tangkapan ikan oleh 1,315 bot pukat tunda laut dalam (C2) gagal menepati sasaran apabila hanya mampu mendaratkan 315,000 tan ikan atau 80 peratus berbanding sasaran pendaratan 349,500 tan sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, berkata siasatan pihaknya mendapati nelayan asing mengambil kesempatan menutup sistem pemantauan kapal (VMS) yang dipasang pada bot bagi mengelak dikesan pihak berkuasa termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). 

Justeru, beliau meminta majikan mereka yang juga pemilik bot pukat tunda laut dalam supaya memantau perkara itu dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa. 

Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pemilik bot jika mendapati turut bersekongkol dan tidak mematuhi peraturan dan syarat pelesenan yang ditetapkan jabatan, termasuk menggantung dan pembatalan lesen bot dan peralatan yang digunakan. 

“Kita akan membuat pemantauan secara berterusan bagi menjamin bot C2 yang menggunakan khidmat nelayan asing mendaratkan hasil tangkapan 100 peratus di eti pendaratan yang ditetapkan. 

“Kita akan memantau operasi mereka menerusi VMS yang dipasang di setiap bot bagi menjamin hasil laut didaratkan di jeti perikanan negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pembangunan dan Penyelidikan Tukun Tiruan Kebangsaan 2011 di sini, semalam. 

AHAMAD Sabki (kiri) mendengar penerangan mengenai model tukun tiruan daripada Mohamad selepas merasmikan seminar pembangunan dan penyelidikan tukun tiruan Kebangsaan 2011 di Hotel Vistana Pahang.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pelesenan dan Pengurusan Sumber, Gulamsawar Jan Mohammad dan Pengarah Perikanan Pahang, Datuk Mohamad Mat Saman. 

Sementara itu, Ahamad Sabki berkata, Jabatan Perikanan memerlukan peruntukan RM25 juta bagi meningkatkan hasil pengeluaran ikan negara sebanyak 1.76 juta tan menjelang 2020, di samping menambah 50 tapak tukun tiruan selain menjalankan pemantauan. 

Faktor Penggempur

Senjata tambahan jadi penentu skuad Karathu, Irfan ke final Piala FA 

TUGAS berat menanti dua penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Sharbinee Allawee (gambar) pada final Piala FA antara Kelantan dan Terengganu pada 11 Jun nanti yang bakal menyaksikan pertembungan dua pasukan dengan peledak berbisa musim ini.


Kelantan mara ke final selepas menewaskan Selangor dengan agregat 6-2 manakala Terengganu mengecewakan Pahang dengan agregat 5-2, membuktikan kehebatan barisan serangan masing-masing membocori gawang lawan di timbal balas separuh akhir.

Kini, ketangkasan dan kecekapan dua penjaga gol kebangsaan itu dijangka menjadi penentu untuk menghalang kubu masing-masing kerana Kelantan dan Terengganu menampilkan barisan penyerang cukup ampuh untuk menjelmakan gol. 

Kelantan mempunyai gandingan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Badri Radzi yang gah di tangga teratas dan ketiga senarai penjaring terbanyak Liga Super manakala Terengganu bakal mencabar dengan kelicikan Abdul Hadi Yahaya dan Mohd Ashaari Samsudin yang mengisi tangga kedua dan keempat. 

Sehubungan itu, kedudukan tangga kedua Liga Super yang dihuni Kelantan serta tangga ketiga Terengganu ketika ini, bukan satu kebetulan. 

Namun bukan dua penyerang berbisa itu saja yang menjadi senjata skuad bimbingan M Karathu dan Irfan Bakti Abu Salim. 
Kelantan juga mempunyai Nurul Azwan Roya dan S Chanturu manakala Irfan mempunyai Abdul Manaf Mamat, Ismail Faruqi Ashari dan Reeshafiq Alwi untuk mempertajamkan asakan dan membocori gawang lawan. 

Tidak hairan, pentas final Piala FA 11 Jun ini paling sengit dan bakal menemukan dua pasukan dengan kekuatan seimbang serta mempunyai senjata tersendiri serta misi penting - Kelantan mahu menjulang trofi Piala FA buat kali pertama dan Terengganu memburu kejuaraan kedua selepas 2000. 

Makan Hati Rakan



MOSCOW: Polis di bandar raya ini menahan seorang lelaki yang mengerat rakannya dan menyimpan mayat mangsa di dalam peti sejuk sebelum memakan hatinya, kata pegawai penyiasat, semalam.

Nikolai Shadrin ditahan selepas polis mengesan apartmen tempat dia membunuh warga Moscow berusia 40 tahun, Ilya Yegorov pada awal Mei lalu. “Ketika menggeledah apartmen itu, alat digunakan untuk mengerat mangsa dan hati manusia ditemui. Shadrin mengaku melakukan jenayah berkenaan dan memakan sebahagian hati temannya itu,” kata kenyataan dikeluarkan Jawatankuasa Siasatan. Yegorov dibunuh pada 2 Mei lalu dan polis menemui organ tubuh manusia termasuk kaki, tangan dan sebahagian lengan di Sungai Moscow dan beberapa ruang bawah tanah di barat Moscow, kata polis, Aleksei Saveliev. 

Menurutnya, ketika ditahan, Shadrin sedang memakan stew hati manusia. Dia meremukkan tubuh mangsa dengan penyodok di mana terdapat kesan cap jarinya. Shadrin adalah pesakit hospital jiwa. 

AFP